Iqra: Menyingkap petua cinta alam perkahwinan
Judul: Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah
Penulis: Zamri Mohamad, Imran Yusof
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM19.50 (Semenanjung Malaysia) RM21.50 (Sabah Sarawak)
ADA mengatakan perkahwinan ibarat pertaruhan, ada pula mengatakan perkahwinan ibarat percaturan dan tidak kurang berpendapat perkahwinan adalah perkongsian hidup dua hati daripada latar belakang berbeza.
Apa juga definisi perkahwinan, buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah menyingkap petua cinta alam perkahwinan, pengalaman sebenar, panduan berguna serta amalan doa untuk melalui alam perkahwinan yang kekal hingga akhir hayat.
Buku ini menjawab persoalan yang selalu bermain di minda pasangan bagaimana untuk menjadi isteri atau suami pujaan, apakah petua untuk membuat kasih sayang terus mekar dan benarkan jika sudah jodoh tidak ke mana.
Ibarat perjalanan ke arah kematangan, buku ini membongkar rahsia cinta dan perhubungan bermula dengan memahami Bahasa Cinta Lelaki, Magnet Cinta: Membuat Orang Tertarik Hati Setiap Masa dan 77 Panduan Melembutkan Hati Lelaki.
Jangan tidak percaya, ada sembilan kesilapan dilakukan lelaki apabila membina perhubungan seperti mengharapkan tuah setiap masa, tidak seimbang dalam kehidupan, terlalu mencari pasangan klon diri dan selebihnya, dapatkan buku ini.
Hakikatnya, kita boleh menjadi Khadijah di hati Rasulullah kerana ramuan kebahagiaan hidup termasuk dalam berumahtangga sudah disajikan melalui penjelasan syarak bagaimana kehidupan perlu dilalui memenuhi fitrah.
Tajuk Rumah Itu Syurga Kita contohnya terus diterapkan hingga ke hari ini melalui pelbagai kempen sedangkan dari dulu lagi ia menjadi antara menu terpenting keluarga. Bagaimanapun, topik itu ditambah dengan elemen lain seperti panduan menyediakan makanan.
Siapa sangka, panduan menyediakan menu keluarga juga boleh menjadi faktor menentukan kebahagiaan pasangan dan semua itu dikembangkan penulis dalam buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah ini.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment