Monday, November 12, 2007

Tajdidi Iman:Fahaman liberal punca umat rapuh ibadah

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

SETIAP hari kita melakukan aktiviti yang menjadi rutin harian dengan matlamat tertentu. Kadang-kadang kita lupa di sebalik matlamat ditetapkan, ada sesuatu terlepas daripada pemikiran iaitu kesedaran bahawa segala perbuatan hari ini ditulis sebagai ibadat jika menepati kehendak Allah.

Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata dalam risalahnya mengenai al-'Ubudiyyah: "Ibadah ialah satu kata nama merangkumi semua disukai Allah dan diredai-Nya; sama ada percakapan atau perbuatan, zahir mahupun batin. Seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, amanah, berbuat baik kepada kedua orang tua, menghubung silaturahim, menunai janji, menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar, berjihad, berbaik dengan jiran, orang miskin dan musafir, membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan lain-lain lagi yang seumpamanya."

Maknanya, ibadat itu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Daripada serendah-rendahnya seperti beradab dalam makan dan minum sehingga sebesar-besar seperti membina negara, mengurus politik pemerintahan, ekonomi, teknologi hingga urusan keselamatan negara.

Agama ini bukan milik orang berjubah dan berserban saja tetapi milik politikus yang amanah, saintis dan pakar ekonomi pintar, yang boleh menjadi pengabdi Tuhan yang tidak kalah hebatnya.

Mungkin ada yang tertanya kenapa Abu Hurairah banyak meriwayatkan hadis Baginda Rasulullah SAW melebihi sahabat terdekat Baginda SAW seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab, tidak diletakkan sebagai sahabat paling utama berbanding keduanya?

Sejarah mencatatkan kedua-dua sahabat utama ini aktif dan sibuk menguruskan hal ehwal umat sehingga tertinggal di belakang daripada Abu Hurairah dalam periwayatan hadis. Abu Hurairah sememangnya menjadi orang sentiasa berada di sisi Nabi SAW dan aktif menghafal hadis Baginda.

Namun, Baginda SAW tetap meletakkan kedua-dua sahabat paling dikasihi itu sebagai orang yang istimewa di hati Baginda SAW kerana sumbangan dalam pengurusan umat menjadi merit besar dalam penentuan kedudukan keagamaan mereka.

Amat bahaya jika kita beranggapan Islam yang baik itu mesti melepak di masjid sepanjang masa dan meninggalkan urusan mencari nafkah demi membangun umat. Ibadat dalam Islam terlalu luas dan menjadi hak milik semua golongan, tidak kira hamba sahaya atau orang kaya, tua dan muda, yang lahir di barat atau timur, semuanya berhak dinilai di sisi Allah sebagai ahli ibadah.

Kadang-kala manusia menilai sesuatu daripada luaran saja, yang bersongkok kononnya lebih alim pada hal yang memakai kot lebih luas pemahaman Islamnya kerana aktif melayari laman web Islam di internet.

Boleh jadi mereka ini lebih berpandangan terbuka dan mahu berfikir dibandingkan orang yang hanya mengamalkan Islam secara ikut-ikutan tanpa dalil, taklid membabi buta dan secara berbahaya serta mengabaikan usaha pencarian ilmu secara mendalam.

Agama ini milik semua, yang berhak menilai siapa yang terbaik ibadatnya hanya Allah. Mengapa kita perlu mengingati diri supaya tetap berada dalam zon ibadat kepada Allah? Kerana ramai yang mengasingkan ibadat dalam kehidupan, mereka mengkotak-kotakkan tempat, waktu dan suasana ibadat menurut fahaman liberal mereka.

Mereka yang menganut prinsip ini dengan selambanya boleh meneguk arak malam ini dan bertahlil esok malamnya. Atau, pergi haji 40 hari dan kemudian lupakan Allah sepanjang tahun. Betapa sempitnya ruang pemikiran mereka mengenai agama.

Mereka rasa layak dipanggil Muslim hanya dengan cukup melakukan ibadat pada saat besar seperti perayaan yang bersifat formaliti. Maka akhirnya agama itu menjadi barang mainan dan sendaan. Tiada roh syariat mengalir dalam darah daging mereka.

Agama tidak dijadikan penggerak dalam membuat keputusan. Agama cuma diamal jika boleh mendatangkan keuntungan. Mereka memakai pakaian mengikut aturan Islam ketika majlis akad nikah di masjid kerana begitulah pakaian untuk ke masjid sedangkan di luar sana bebas lepas semahunya.

Mereka mengenal al-Quran ketika ada saudara mara yang meninggal dunia saja sedangkan al-Quran diturunkan sebagai perintah dan arahan untuk orang yang hidup, bukan untuk sesudah mati dan tiada taklif.

Mereka bersedekah sebagai alat mengumpulkan sokongan dan pujian sedangkan sedekah adalah bukti benarnya iman kepada Allah, bukannya harapan pujian manusia sementara. Pelbagai lagi perbuatan seumpamanya yang amat berbahaya kepada imej dan pengamalan sejati Islam.

Akibat sikap berbahaya ini, agama bagi mereka bagaikan mayat yang dihias dengan secantik-cantik perhiasan, namun tetap ia tiada serinya. Tiada roh Islam yang mengalir dalam tubuhnya.

Apakah wajah Islam sebegini yang mahu digayakan umat hari ini? Jika demikian, sudah pasti rahmat Allah akan menjauh daripada mereka.

Fenomena sempitnya ibadat dalam pemikiran umat adalah disebabkan faktor yang mendasar yang tidak digarap dengan sempurna. Iaitu asas akidah sudah dilangkau bahkan dibuang ke tepi semata-mata mahu menanamkan ibadat yang kering semata-mata dalam kehidupan.

Sungguh bahaya jika melaksanakan ibadat tanpa memahami akidah yang sahih. Persoalan mengapa kita mesti beribadah tidak terjawab, kerana aspek keimanan kepada Allah dan Rasul juga masih terlalu susah dicerna oleh pemikiran umat yang sememangnya cetek ilmu.

Mereka belum memahami bahawa iman itu menuntut ketundukan dan ketaatan. Seperti kata Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah: �Sesiapa yang tunduk kepada seorang manusia pada hal dia membencinya (tunduk dalam keadaan terpaksa), dia tidak dianggap menjadi hamba kepada orang itu. Begitu juga jika dia suka kepada seorang manusia tetapi dia pun tidak mahu tunduk kepadanya maka dia bukan hamba kepadanya juga.�

Untuk beribadah kita perlukan jiwa hamba yang sedia mencintai Allah, taat dan setia dan menyokong syariat-Nya tanpa memilih yang lain. Aspek akidah sebegini belum betul-betul terpacak dalam peribadi umat.

Begitu pula halnya dengan keimanan kepada Rasulullah SAW. Tidak hairan apabila ditanya: �Kenapa kamu melakukan sembahyang dengan cara dan kaedah yang begitu," jawapan mudahnya ialah: "Saya ikut cara orang ramai sembahyang, jika saya salah maka ramai lagi yang lain salah."

Hakikatnya ramai yang tidak tahu bagaimana cara sembahyang Rasulullah SAW, apa dalil dan sandaran Baginda melakukan sembahyang sebegitu. Biasanya manusia jahil hanya akan beralasan: "Emak aku ajar begini, buat sajalah. Tidak perlu nak susah-susah menuntut ilmu."

Pada hal, ibadat yang diterima Allah menurut kesepakatan ulama mestilah memenuhi dua syarat, iaitu ikhlas kepada Allah dan betul caranya menurut ajaran Rasulullah SAW. Betapa pentingnya ilmu dicari kerana tingkat kecintaan hamba kepada Allah dan Rasul-Nya adalah berdasarkan ilmunya mengenai Allah dan Rasul. Bukan cuma ikut-ikutan saja.

Jika ibadat dilaksanakan kerana dorongan akidah yang kuat, maka ibadat itu akan mampu melahirkan peribadi sempurna. Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya perkataan diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diseru kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya ialah supaya mereka menetapkan Rasul menjadi Hakim yang memutuskan hukum di antara mereka. Mereka hanya berkata: Kami dengar dan kami taat. Dan mereka itulah orang yang beroleh kejayaan." (Surah al-Nur, ayat 51)

Alangkah rapuhnya nilai ibadat dalam diri hamba yang tidak memahami akidah yang sahih. Dia beribadah tetapi bersamaan dengan itu dia juga menolak hukum Allah, dia beribadah tetapi sekali gus dia menghina sunnah Rasulullah SAW. Ibadat tidak lebih sekadar aksesori pelengkap untuk mencantikkan penampilan, sedangkan jiwanya sudah mati tanpa disedari, kosong tanpa berpenghuni.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: