Sunday, November 11, 2007

Bahasa Inggeris dikuasai bukan didaulatkan

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Gesaan wakil Perhubungan UMNO Johor agar pengajaran Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu ketika membahaskan usul di Perhimpunan Agung UMNO Khamis lalu wajar diambil perhatian serius. Penulis berkongsi pendapat dengan Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menimbulkan isu kedudukan bahasa Melayu itu tahun lalu dan membangkitkannya sekali lagi tahun ini.

Sememangnya peranan bahasa sebagai alat komunikasi terpenting tidak perlu dibahaskan lagi. Bahasa turut memainkan peranan penting sebagai alat untuk mencari dan menimba ilmu pengetahuan. Malah peranan bahasa dalam mempertahankan jati diri dan alat pemerkasaan perpaduan masyarakat tidak boleh dipandang enteng.

Perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai sebahagian bahasa kebangsaan memakan pengorbanan besar. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kedudukan bahasa Melayu mula terjamin dan menjadi wahana memperbaiki dan memantapkan perpaduan di antara kaum.

Majlis Perundingan Negara yang dibentuk ekoran tragedi itu menggagaskan beberapa resolusi penting termasuk penegasan semula pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Penyata Razak dalam Perenggan 12 menyatakan keperluan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi tujuan dan cara mencapainya. Berlandaskan kepada kedua-dua Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib maka terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Bermula dari situlah sekolah aliran Inggeris yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran semua mata pelajarannya ditukar menjadi aliran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu.

Usaha yang dijalankan melalui pendaulatan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya fragmentasi dalam masyarakat akibat kepelbagaian aliran pendidikan. Malah pelbagai aliran pendidikan yang diasaskan penjajah inilah yang menjadi antara penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum.

Memahami sejarah dan kepentingan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya adalah penting agar dalam semangat yang bergelodak untuk menguasai bahasa asing, kita tidak sesekali merendahkan martabat bahasa sendiri yang menjadi asas perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.

Malah dalam mengorak langkah untuk mengangkasakan tamadun bangsa yang gemilang, keyakinan terhadap bahasa sendiri tidak harus luntur sehingga sanggup melakukan tindakan tidak bijaksana.

Banyak negara yang cuba mendaulatkan bahasa asing tetapi akhirnya tersungkur bahkan tidak mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa yang diciplaknya. Sebagai contoh, negara-negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak dianggap negara maju. Sebaliknya negara yang mendaulatkan bahasa sendiri seperti Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman tetap maju dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik.

Namun, semangat mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak pula bermakna kita harus taksub dan beremosi hingga menafikan kepentingan menguasai bahasa asing. Islam turut menekankan keperluan mempelajari bahasa asing dalam meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan.

Di zaman Khalifah Al-Makmun, didirikan pusat pengembangan ilmu, Bait al-Hikmah yang giat menterjemahkan karya-karya besar dalam pelbagai cabang ilmu daripada tamadun Yunani ke dalam bahasa Arab. Cendekiawan-cendekiawan besar seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd menguasai bahasa dan falsafah Yunani tetapi tidak pula timbul polemik pendewaan berlebihan kepada bahasa dan tamadun asing sehingga meminggir dan meremehkan bahasa dan budaya sendiri.

Justeru amat wajarlah jika dikaji secara teliti keberkesanan dasar sebelum ini yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran Sains dan Matematik. Apa yang lebih mustahak ialah untuk merumuskan formula lebih berkesan terhadap cara dan teknik pengajaran bahasa Inggeris. Adalah aneh bagi seorang pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun dari sekolah rendah hingga menengah masih gagal menguasai bahasa itu. Ini pastilah berkait rapat dengan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sekarang yang kurang berkesan.

Apa yang lebih membimbangkan, dalam upaya menguasai bahasa Inggeris, kita seolah-

olah menganaktirikan bahasa sendiri hingga tercetus reaksi melampau meremehkan bahasa kebangsaan yang menjadi asas pembinaan jatidiri bangsa Malaysia yang berdaulat.

No comments: