Oleh SALINA IBRAHIM
MADAH emak bersimpang-siur di minda, terasa lunak di telinga, sedap dihadamkan di lidah fikir, kenyang ditelan oleh perut keinsafan. Madah emak terasa sejuk bagaikan air yang jatuh dari pergunungan membasahi kepala fikir, menyegarkan taman akalnya, dan bakal menumbuhkan benih-benih baru yang kekal bertahan.
Sudah lama dia rindukan nasihat emak yang lembut lunak dan indah begitu. Terasa segar minda apabila mendengar kalimah yang manis itu. Kata-kata yang baik juga suatu doa, justeru dia berharap itulah doa emak untuknya. Doa emak untuk dia yang bakal memulakan episod baru dalam kehidupan.
Madah emak, alangkah...
Dia memejamkan mata, cuba menghayati kalimah manis milik Asma binti Kharijah Fazari.
“Mak pinjam pesanan Asma binti Kharijah Fazari untuk diberikan kepada Min. Mak akan cukup puas kalau Min ingat, hayati dan amalkan pesanan itu...” suara dan wajah emak menggoda mindanya.
Yasmin Zulaikha membuka mata, tersentak bagaikan disergah sesuatu. Dia terasa tubuh menggigil tiba-tiba. Kata-kata emak entah mengapa menumbuhkan suatu ketakutan yang tidak terhanggau dek mindanya. Kata-kata itu juga buat dia terasa masa semakin menghampiri puncak, terasa detik bagaikan terhenti seketika.
Adakah itu satu tanda atau sememangnya minda dia sahaja yang sengaja buat perangai?
“Itu kan satu pesanan biasa,” suami mengujarkan ketika dia meluahkan ragu yang bertunas di minda.
“Tapi Zu rasa luar biasa...” dia membalas, merenung mata Umar Khalil di sebelahnya.
“Ada-ada sajalah Zu ni...” Umar Khalil bagaikan tidak ambil parwah.
Dia terkesima sedetik. Terasa Umar Khalil agak memperlekehkan naluri dan hati kecilnya. Terasa suaminya itu seperti tidak mengambil berat langsung akan rasa hatinya ketika ini.
Umar Khalil menoleh, terperasan wajah isteri yang berubah muram. Akal sedar cepat memberitahu sesuatu. Akal sedar cepat mengajar supaya meluahkan simpati dan mengujarkan kata-kata pujukan.
nikah
“Zu, fikir dan doa yang baik-baik saja, okey. Isteri abang ni terlalu banyak berfikir. Sejak sebelum nikah lagi, Zu selalu fikir yang bukan-bukan. Fikiran yang ragu-ragu itu membuatkan syaitan mudah merasuk, mengganggu dan mengacau...” Umar Khalil meletakkan tangannya ke atas kura tangan isteri.
Cepat mengemukakan rasional. Pantas tersedar minda isteri yang terkacau dek perkara bukan-bukan.
“Entahlah, Zu rasa macam-macam. Penat agaknya...” dia membalas lewa.
“Itu sebenarnya perasaan normal. Itu tandanya Zu ada hubung kait yang amat rapat dengan mak. Bukan sekadar rapat dari segi fizikal tetapi dari segi mental juga. Sehingga Zu dapat rasa apa yang mak rasa...” Umar Khalil melanjutkan bicara apabila melihat si isteri diam memikir.
“Abang saja nak ambil hati kan...” dia balas renungan mata Umar Khalil.
Si suami tersenyum lembut. Terasa terperangkap.
“Apa lagi yang abang boleh kata? Abang hanya harap yang baik-baik saja mengenai mak. Abang harap, abang boleh menumpang kasih mak Zu. Abang harap abang boleh jaga mak Zu sebab dulu abang tak sempat jaga mak abang...”
Yasmin Zulaikha terdiam. Ada sayu terjentik ke hati. Dia cuba imbas semula sejarah lampau Umar Khalil. Teringat cerita suaminya itu mengenai ibu bapanya yang lama berpergian ke rahmatullah. Ibunya meninggal dunia lebih awal ketika Umar Khalil masih bersekolah rendah kerana kanser payudara. Sejak itu bapanya menyendiri dan tidak berhajat langsung untuk mencari pengganti sehinggalah dia menyusul ke alam sana lima tahun kebelakangan ini.
“Abang hanya sempat berkhidmat sekejap saja pada arwah ayah. Hanya sempat menjaganya ketika dia sakit. Itu pun sekejap sangat, beberapa bulan saja...” demikian dia terhimbau kisah Umar Khalil.
Sebagai anak, dia mengharapkan yang terbaik sahaja untuk emak. Dia masih perlukan emak, masih mahukan bimbingan terutamanya selepas melangkah ke alam baru sekarang. Emak bakal jadi gurunya yang terbaik, itu yang pasti.
Lagi pun sejak dahulu, dia memang mengagumi keutuhan istana cinta emak dan Allahyarham abah. Justeru dia memerlukan ramuan dan rahsia agar rumah tangganya juga sempurna seperti itu. Kalau pun tidak boleh jadi sempurna, tetapi sekurang-kurangnya dia dan Umar Khalil hidup dalam tenteram.
Malam tua merangkak menuju dinihari. Di luar tentu gelap bukat. Di dalam hatinya pula, ada samar masih bertarung. Dia terbayang-bayang wajah emak yang tenang dalam letihnya. Dia terngiang-ngiang suara emak yang sendu tetapi penuh redha.
Dalam hati, dia mengulang-ulang surah Al-Ikhlas, Al-Alaq dan An-Nas; minta dijauhkan gangguan makhluk-makhluk yang tidak diingini. Dia sedar gangguan mindanya barangkali disebabkan rasa bimbang terhadap kesihatan emak. Maka disebabkan itu dia kerap berfikir yang bukan-bukan.
“Mak pinjam pesanan Asma binti Kharijah Fazari untuk diberikan kepada Min. Mak akan cukup puas kalau Min ingat, hayati dan amalkan pesanan itu...” lagi larik bicara pesanan emak datang dan pergi dalam minda luar sedarnya. Berulang-ulang menjadi talun yang bergema-gema.
“Emak penat. Tapi mak puas hati. Mak seronok sangat. Mak lega tengok anak perempuan mak sudah lepas dan selamat berumah tangga. Mak serahkan Min pada Umar dengan senang hati...” kalimah itu pula sekejap datang dan sekejap menghilang dalam cepu kepala.
Dia melihat senyuman paling manis tersungging di wajah emak.
Dia lihat kepuasan yang tidak terhingga terselit dalam bicara emak.
“Min masih perlukan emak. Min nak belajar banyak lagi daripada emak...”
“Min cepat belajar. Min sudah pun belajar sekarang...”
“Emak...”
“Kak Min! Abang Umar!”
“Zu...”
“Kak Min!!”
“Zulaikha!”
Dia tersentak, terentak bangun.
Terpinga-pinga melihat Umar Khalil dalam samar di sebelahnya.
Sejenak baru dia tersedar, ada suara Anis di luar bersama ketukan yang agak tidak teratur di pintu kamar.
Umar Khalil sedikit menerpa ke pintu, merenggangkan daun kamar dan terdengar suara Anis yang semacam cemas.
“Zu... mari tengok mak cepat!” Umar Khalil menggesa.
(Bersambung)
No comments:
Post a Comment