Ulul Albab: Kitab al-Umm penyerlah ilmu agama sejagat
Oleh Abdurrahman Haqqi
Imam al-Shafie lahirkan kitab induk menjadi pegangan umat Islam sejak zaman berzaman
MASYARAKAT antarabangsa sedang meraikan perayaan tahunan Hari Ibu sekarang. Ibu dalam bahasa Arab disebut 'al-umm' ialah sumber inspirasi hidup anak manusia keturunan Adam dan Hawa as. Sempena Hari Ibu ini, kita juga ingin membincangkannya tetapi bukan ibu yang mengandungkan kita tetapi ibu yang melahirkan kitab penyerlah ilmu agama sejagat yakni kitab al-Umm karangan Imam Agung al-Shafie.
Untuk mendakwa bahawa seseorang itu bermazhab satu-satu mazhab, dia mestilah memiliki syarat yang tidak boleh diketepikan begitu saja. Ia sama seperti seseorang mendakwa dia graduan satu universiti, maka dia memerlukan persyaratan yang ditetapkan pihak universiti terbabit bermula daripada syarat kemasukan, pengambilan program belajar dan proses pembelajaran serta kelulusan program.
Adalah janggal jika seseorang mendakwa dia bermazhab Mazhab Shafie, sebagai contoh, tetapi dia tidak tahu siapa Imam Shafie, apa kitab karangannya, bagaimana metodologi pengambilan hukumnya, siapa ulama yang menjadi tonggak utama mazhabnya, apa kitab teras mazhabnya dan sebagainya.
Jika dibandingkan dengan mazhab lain daripada sudut khazanah keilmuan mazhab, maka mazhab Shafie mempunyai keunikannya tersendiri. Keunikan inilah yang menjadikan mazhab Shafie sebagai mazhab yang hidup seolah-olah Imam Shafie itu sendiri berada bersama pengikutnya. Dengan perkataan lain, mazhab Shafie adalah mazhab yang mendepankan 'keturunan' atau 'nasab' dalam pengeluaran satu-satu hukum syarak yang mana jika tidak jelas nasab (baca: sanad) maka hukum itu tidak akan diterima ashab, istilah untuk lingkaran ulama mazhab yang dipromosi kegunaannya oleh Imam Nawawi.
Perkara ini penting, kerana kebelakangan ini sering kali pengkaji mengkaji dan menulis fikah Shafie tetapi bukan daripada sumber asalnya. Jika demikian, hasil daripada pengajian berkenaan tidak dapat diterima dan tidak dapat dipandang sah secara ilmiah. Bagaimana mengatakan itu adalah pendapat Imam Shafie apabila yang dijadikan rujukan, sebagai contoh, kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib Syarbini, atau bagaimana dipandang sah apabila mengatakan bahawa pendapat ashab Shafie begini atau begitu, sementara buku yang dijadikan pegangannya adalah kitab Safinah al-Najah.
Dibandingkan dengan mazhab fikah lainnya, mazhab Shafie adalah mazhab yang paling banyak kitab fikahnya, kata Aep Saepulloh dalam "Studi Literatur Fiqh: Pengantar Studi Fiqh Madzhab Syafi'i" yang ditulis di depan kuburan Imam Shafie di Masjid Imam Shafie, Kaherah pada 2005.
Nasab hukum mazhab Shafie berasal daripada kitab pertamanya yakni al-Umm yang ditulis Imam Shafie di Mesir selama lebih daripada empat tahun. Kemudian kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Muzani dalam kitab bertajuk Mukhtashar al-Muzani. Dua abad kemudian kitab Mukhtashar al-Muzani ini disyarahkan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab yang diberi nama Nihayatul Mathlab fi Dirayah al-Madzhab.
Murid Imam al-Juwaini yakni Imam Ghazali meringkaskan kitab gurunya itu dalam kitab bertajuk al-Basith. Tidak puas dengan al-Basith, Imam Ghazali meringkasnya menjadi al-Wasith, kemudian al-Wasith diringkas pula menjadi kitab al-Wajiz dan terakhir, kitab al-Wajiz ini diringkas lagi menjadi kitab al-Khulashah.
Di samping al-Khulashah, kitab al-Wajiz juga diringkas semula oleh Imam al-Rafie dalam kitab al-Muharrar. Selang beberapa lama, datang Imam Nawawi meringkas al-Muharrar menjadi kitab fenomenal yang bertajuk Minhaj al-Thalibin yang mana kemudian menjadi pegangan utama ulama Syafi'iyyah dalam berijtihad dan berfatwa. Kitab ini diringkas oleh Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari dalam kitab al-Manhaj dan kitab al-Manhaj pula diringkas oleh Imam al-Jauhari menjadi al-Nahj.
Mengapa kita menganggap kitab Minhaj al-Thalibin sebagai kitab fenomenal? Ia kerana daripadanyalah mazhab Shafie zaman terakhir berhulu seperti yang kita lihat dalam kitab syarahan ke atasnya.
Imam al-Rafie kemudian mensyarah kitab al-Wajiz tulisan Imam Ghazali dalam dua kitabnya yakni al-Syarh al-Shaghir dan al-Syarh al-Kabir yang terkenal dengan kitab al-'Aziz. Kemudian Imam Nawawi meringkas al-Aziz menjadi Raudhah al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, lalu Ibnu Maqarra meringkas al-Raudah menjadi al-Raud dan Imam Zakaria al-Anshari kemudian mensyarah al-Raud ini dalam kitabnya bertajuk al-Asna.
Selepas itu, datang Ibnu Hajar al-Haitami meringkas kitab al-Raud ini dalam kitabnya bertajuk al-Na'im. Kitab al-Raudhah juga diringkas oleh Ahmad bin Umar al-Muzjid al-Zabidi dalam kitabnya bertajuk al-'Ibab, kemudian Ibn Hajar al-Haitami mensyarahnya menjadi al-Ii'ab walaupun tidak sampai selesai mensyarahkannya. Imam Suyuthi juga meringkas kitab al-Raudhah ini dalam kitabnya berjudul al-Gunyah, dan mengumpulkannya menjadi kumpulan pantun dalam karyanya bertajuk al-Khulashah, akan tetapi tidak selesai. Imam al-Qazuwaini kemudian meringkas buku al-Aziz karya Imam Rafie dalam karyanya berjudul al-Hawi al-Shaghir, kemudian dikumpulkan dalam nadham oleh Ibn al-Wardi dalam karyanya berjudul al-Buhjah. Lalu kitab al-Buhjah ini disyarah oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Anshari dengan dua syarah (hanya tidak disebutkan nama syarah ini). Kemudian datang Ibnu al-Maqarri meringkas buku al-Hawi al-Shaghir menjadi al-Irsyad, kemudian al-Irsyad ini disyarah oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam dua syarah. Selepas masa Ibnu Hajar al-Haitami ini baru munculnya kitab berupa hasyiyah daripada kitab sebelumnya.
Daripada penjelasan di atas, nampak jelas bagaimana kaitan dan kesinambungan kitab fikah mazhab Shafie ini antara satu dengan lainnya. Ia kemudian menyebabkan kitab fikah mazhab Shafie ini lebih banyak apabila dibandingkan dengan mazhab fikah lainnya. Dengan saling berkaitan antara satu kitab dengan yang lainnya juga menyebabkan cara penempatan bab fikah dalam kitab fikah Shafie menjadi sangat berdekatan dan hampir sama. Cuba anda perhatikan bagaimana bab yang disusun dalam kitab al-Umm hampir sama penempatannya dengan buku Minhaj al-Thalibin atau syarahnya.
Kitab Minhaj al-Thalibin ini dinilai buku yang sangat penting, bahkan terpenting antara buku periode pertama mazhab Shafie. Umumnya, kitab ini menjadi rujukan utama ulama Syafi'iyyah dalam menetapkan sebuah permasalahan. Oleh itu, kitab ini mempunyai syarah dan hawasyi yang sangat banyak. Antara syarah terhadap buku ini ialah Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini, al-Manhaj wa Syarhuh oleh Sheikh al-Islam Zakaria al-Anshari, Tuhfah al-Muhtaj oleh Ibnu Hajar al-Haitami, Nihayah al-Muhtaj oleh Imam al-Ramli yang terkenal dengan jolokan al-Shafie al-Shaghir, dan yang terakhir ialah Zad al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj oleh Sheikh Abdullah bin Hasan Ali Hasan al-Kuhaji. Demikianlah sekadar pengertian dari sudut lain mengenai ibu sempena Hari Ibu tahun ini. Ibu yang melahirkan salasilah zuriat ilmu mazhab Shafie pegangan umat Islam rantau ini sejak zaman berzaman. Selamat menyambut Hari Ibu dan selamat mengkaji kitab al-Umm yang bererti ibu atau induk. Wallahu alam.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment