Ulul Albab: Takwa matlamat pengurusan puasa Ramadan
Abdurahman Haqqi
BIDANG pengurusan antara kegiatan kemanusiaan yang sangat penting sejak dulu. Tanpa pengurusan berkesan semua matlamat hidup dan kehidupan manusia gagal kerana ia proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti di sekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dengan keluarga, komuniti atau organisasi hingga negara. Kata kerja mengurus (management) berasal daripada bahasa Itali maneggiare iaitu menangani dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin - manus (tangan). Perkataan Perancis mesnagement banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan bahasa Inggeris management pada abad ke-17 dan 18.
Mohammad Fauzi dalam Pengurusan: Definisi, Sejarah, dan Konsep, secara umum menulis pengurusan boleh ditakrifkan sebagai seni melaksanakan proses kerja yang terancang, dilaksanakan bersistematik, teratur dan mempunyai panduan. Konsep pengurusan mencakupi tiga elemen utama iaitu pengurus, organisasi dan tatacara atau panduan pengurusan.
Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubung kait yang seimbang. Pengurusan dikendalikan pengurus yang adakala bertindak sebagai mastermind dan pada keadaan yang lain sebagai pelaksana.
Sebagai mastermind, pengurus memimpin kelompok subordinat yang bertindak melaksanakan visi, misi dan objektif mengikut perancangan. Usaha mengarah dan memantau perkembangan pelaksanaan dikendalikan pengurus dengan pendekatan subjektif berdasarkan kepemimpinan dan kemampuan memanipulasikan kebolehan berkomunikasi. Sebagai pelaksana, pengurus membimbing dan bergerak seiring subordinat melaksanakan visi, misi dan objektif.
Sama ada sebagai mastermind atau pelaksana, pengurus bertindak berdasarkan tatacara dan panduan. Pengurus ada kuasa bagi membolehkannya melaksanakan tanggungjawab mengemudi organisasi di samping menjalankan fungsi mengetuai orang bawahan. Kuasa diperoleh sama ada sumber perundangan seperti ditetapkan Perlembagaan yang digubal pada masa organisasi ditubuhkan atau diberikan dengan persetujuan kolektif semua ahli dalam organisasi.
Kuasa pengurus secara ideal dibayangi etika yang jika dikendalikan dengan baik dan menghormati the spirit of ethic membolehkan pengurus mengemudi organisasinya dengan adil, penuh hormat dan berwibawa.
Secara teori, pengurusan ditakrif Mary Parker Follet (1868-1933) ‘sebagai seni untuk mencapai sesuatu melalui orang lain’. Di pihak lain, Free-Content Encyclopedia Wikipedia, menyatakan pengurusan boleh ditakrif menurut fungsinya sebagai tindakan mengukur kuantiti pada tempoh tetap dan berdasarkan kepentingan, mengubah suai rancangan asal atau tindakan mencapai maklumat yang dirancang. James A F Stoner dan Charles Wienkel pula menyatakan, pengurusan ialah proses merancang, menyusun, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat.
Secara praktikal, berdasarkan takrifan pengurusan di atas, kita dapati lima komponen fungsi pengurusan iaitu perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawalan dan penilaian. Bagaimanapun, Unesco mempunyai proses sendiri yang disebut Planning, Organising, Directing and Controlling (PODC).
Fungsi perancangan ialah mengenal pasti perkara yang hendak dicapai berdasarkan matlamat dengan menggunakan strategi mencari jalan mencapai tujuan serta mengatur program atau projek mengikut strategi berasaskan matlamat. Fungsi penyusunan membabitkan kerja penstrukturan dengan cara pembahagian kerja mengikut kegiatan dan tingkat autoriti.
Fungsi pengarahan penting bagi menjamin aktiviti organisasi berjalan teratur, lancar serta harmoni. Ia merangkumi faktor motivasi, kepimpinan dan sistem komunikasi. Fungsi pengawalan bertujuan memastikan prestasi organisasi dicapai mengikut perancangan dan fungsi penilaian untuk mengetahui kejayaan yang dicapai.
Ibadat puasa pada Ramadan ialah projek besar tahunan yang mempunyai matlamat agung dan mulia yakni ketakwaan seperti difirmankan Ilahi bermaksud: “Hai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah al- Baqarah: 183) Projek agung dan mulia ini tanda kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia mukmin agar mereka meraih banyak manfaat puasa Ramadan. Al-Quran menyebutkan maksudnya: “Dan adalah Dia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang beriman (di dunia dan akhirat)” (Surah al-Ahzab: 43).
Bagi fungsi perancangan puasa Ramadan, seorang mukmin sudah mengenal pasti perkara yang hendak dicapai berdasarkan matlamat iaitu takwa dengan menggunakan strategi mencapainya serta mengatur program atau projek mengikut strategi berasaskan matlamat.
Fungsi penyusunan pula membabitkan kerja penstrukturan sepanjang Ramadan dengan cara pembahagian kerja mengikut aktiviti dan tingkat autoriti yang kita miliki dalam mengamalkan ibadat.
Fungsi pengarahan anggota badan selama Ramadan penting bagi menjamin aktiviti itu berlangsung dengan teratur, lancar serta dalam suasana harmoni. Ia membabitkan faktor motivasi, kepemimpinan dan sistem komunikasi menerusi kedalaman ilmu puasa atau fiqh al-siyam. Fungsi pengarahan tidak berhasil dengan sempurna tanpa pengawalan bertujuan memastikan prestasi Ramadan dicapai mengikut perancangan. Selepas itu, fungsi penilaian diperlukan bagi menilai tahap kejayaan puasa Ramadan dicapai atau gagal.
Jika puasa Ramadan sebagai projek agung dan mulia ini tidak diurus dengan berkesan, kita akan menghadapi kegagalan yang merugikan. Bagi pengurusan Ramadan berkesan, setidak-tidaknya kita memperhatikan komponen fungsi pengurusan seperti dihasilkan pakar daripada fungsi perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawalan dan penilaian atau PODC + E (evaluation). Dengan mengamalkan proses pengurusan PODC + E, insya-Allah kita mencapai matlamat puasa iaitu takwa yang berkesan seperti dibuktikan pendahulu kita sehingga digelar sebaik-baik umat manusia.
Oleh kerana takwalah yang bersemarak dalam hati ketika mereka mengerjakan puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa juga yang mengawal hati daripada kerosakan ibadat dengan maksiat walaupun yang berbisik di hati. Orang yang dihadapkan ayat suci al-Quran sedar tingginya takwa di sisi Allah SWT dan berat timbangannya di dalam neraca Allah. Takwa ialah matlamat yang ditujukan jiwa mereka dan ibadat puasa hanya alat mencapainya. Selamat menunaikan puasa Ramadan. Taqabballahu salih al-a’mal!
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment