Monday, August 31, 2009

1Malaysia kerangka terbaik kekalkan perpaduan

1Malaysia kerangka terbaik kekalkan perpaduan

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


MUHAMMAD UTHMAN (duduk empat dari kiri) bersama AJK Nuim pada mesyuarat mengenai 1Malaysia dan majlis berbuka puasa di Hotel Singahsana, Petaling Jaya, kelmarin.

Nuim minta gagasan ikut elemen asas perlembagaan, tidak dipengaruhi sentimen sempit

GAGASAN 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai pengertian luas ke arah pembinaan negara Malaysia yang bersatu padu dengan menerima prinsip sedia ada termasuk saling menghormati antara kaum, agama dan hak keistimewaan masing-masing.

Justeru, Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (Nuim), yang dianggotai ulama, intelektual Islam tanah air dan kakitangan kerajaan untuk melahirkan idea bernas, penyelidikan dan perbincangan tidak terkecuali turut memberi pandangan mengenai 1Malaysia.



Pengerusi Nuim yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady, berkata untuk pertama kalinya Nuim mengadakan perbincangan terhadap persepsi di kalangan ahli berkaitan 1Malaysia.

Katanya, berdasarkan perbincangan itu, Nuim mengambil pendirian untuk menerima 1Malaysia sebagai kerangka terbaik untuk menyatupadukan pendirian Malaysia sebagai negara yang mampu mara lebih maju dengan iklim kehidupan aman damai dan sejahtera.

1Malaysia bukan seperti Malaysian Malaysia yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.


"Bagi orang Islam ia juga dapat menjalani kehidupan Islam dengan cara yang baik. Antara perkara yang dibincangkan ialah pelaksanaan 1Malaysia perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk Perlembagaan Islam, kedudukan Islam, bahasa dan hak Raja-Raja dan institusi agama di negara ini.

"Negara ini terbentuk daripada sejarah dan tradisi yang sudah sedia ada seperti institusi kesultanan, raja-raja dan Majlis Fatwa Kebangsaan, institusi majlis agama dan kedudukan agama Islam.

"Kita mahu setiap kerangka yang ingin dilakukan perlu mengikut keperluan kita sebagai sebuah negara bangsa, tidak dipengaruhi sentimen sempit sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat bekerjasama dan menimbulkan keresahan sosial," katanya selepas mengetuai mesyuarat pertama Muim mengenai 1Malaysia serta majlis berbuka puasa di Hotel Singahsana, Petaling Jaya, kelmarin.

Muhammad Uthman berkata, semua elemen penting dalam asas perlembagaan negara jangan diketepikan kerana ia sebahagian daripada sistem kehidupan sedia ada.

Katanya, apa yang perlu ialah merapat serta mempereratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan hilangkan prasangka buruk mengenai perkara tertentu, khususnya agama.

Sebaliknya, masyarakat perlu mengamalkan hubungan mesra antara satu sama lain tanpa mengikis jati diri mereka.

"Bukan Islam juga jangan fikir, Islam jahat dan ingin mengikis atau merendahkan agama mereka. Setiap masyarakat juga perlu saling menghormati agama lain walaupun berbeza pegangan.

"Bagi umat Islam kita menghormati agama lain. Kita tidak serang bukan Islam seperti merobohkan rumah ibadat dan tokong. Jika kita memahami hak kepentingan masing-masing, gagasan 1Malaysia mampu dicapai dengan jaya," tambahnya.

Beliau mengharapkan dengan konsep 1Malaysia itu akan memberikan persepsi positif dan bukan menimbulkan salah faham terhadap perkara sensitif dan menganggap isu agama boleh diperkotak-katikkan sesuka hati.

Katanya, ini penting untuk mengelakkan menularnya keresahan jika perkembangan spiritual itu tidak difahami dan diambil kira oleh semua pihak. Ketika ditanya isu perpaduan sekarang, beliau mengulas, kini apa yang dilihat seakan terhakisnya budaya saling menghormati di kalangan masyarakat dan keadaan itu membimbangkan.

"Ini dapat dilihat dalam medium tertentu. Ramai blogger menulis mengenai isu kenegaraan, hak keistimewaan kaum dan meremehkan institusi Raja, agama dan majlis fatwa.

"Komen yang negatif itu tidak membantu. Negara yang bertamadun, memerlukan budaya dan nilai murni walaupun mereka berbeza agama dan pendapat. Kita juga tidak mengamalkan budaya 'koboisme` dan setiap perkara yang ingin diluahkan mestilah dengan saluran yang betul.

"Contohnya, sesuatu yang menyentuh pemimpin kena cari jalan dan disampaikan ikut saluran betul dan bukan tunjuk sepanduk di tepi jalan dan memburuk orang lain. Dalam al-Quran juga melarang umatnya melakukan aktiviti sebegitu," katanya.

Beliau berkata, bagi umat Islam, kebebasan bercakap atau memberi pandangan tiada hadnya, tetapi perlu mengikut lunas Islam serta dalam kerangka peradaban negara bertamadun kerana kehidupan bersendikan adat manakala adat juga bersendikan kitab. Apa yang penting, masyarakat Islam umpamanya, perlu kembali kepada wacana arus perdana intelektual Islam.

Oleh itu, katanya, Nuim akan membukukan hasil mesyuarat mengenai 1Malaysia itu sebagai input kepada kerajaan supaya gagasan 1Malaysia mengambil kira rangka asas sedia ada dan sekali gus mampu merungkai segala salah faham, terasa terpinggir atau ketinggalan.

Beliau berkata, perbincangan seterusnya mengenai isu sama akan diadakan dari semasa ke semasa kerana ahli Nuim menunjukkan minat mendalam berkaitannya.

Sesungguhnya, 1Malaysia adalah tonggak ke arah pencapaian Wawasan 2020 dengan bangsa yang bersatu padu dan kuat, selain mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan minda yang progresif dan dinamik.

No comments: