Oleh Abdurrahman Haqqi
SUAMI isteri suku Minangkabau turut mengamalkan pemberian harta sepencarian dikenali sebagai harta suarang. - Gambar hiasan |
Negara Islam boleh contohi kanun diguna pakai masyarakat Melayu bahagi harta suami isteri
DALAM ruangan pada 24 Disember 2006 di halaman 15, penulis menyebut: "Penulis belum pernah membuat, membaca atau mendengar kajian berkaitan dengan penawaran konsep harta sepencarian di negara Asia Barat dan negara Islam lain. Apakah mereka menerima atau menolak konsep berkenaan?" Pernyataan penulis ini sudah terjawab pada Khamis lalu.
Pada hari itu ketika membaca akhbar harian Emiriah Arab Bersatu (UAE), al-Ittihad, penulis dapati berita seorang pelajar warga negara berkenaan yang berjaya mendapatkan gelaran doktor falsafahnya daripada sebuah universiti Tunisia dengan membuat kajian tesisnya bertajuk harta sepencarian dalam undang-undang perkahwinan Islam dan pentingnya UAE mengamalkannya di mahkamah syariah.
Penulis berada di Abu Dhabi dari Selasa hingga Khamis lalu menghadiri seminar ilmiah tahunan ke-17 Fakulti Undang-Undang Universiti UAE. Tajuk seminar tahun ini adalah Electronic Transactions: E-Government and E-Commerce. Penulis membentangkan kertas kerja berkaitan masukan fikah dalam kesahihan kontrak transaksi elektronik dalam Perintah Transaksi Elektronik Brunei Darussalam 2000. Pembentang dari Malaysia diwakili Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Abu Bakar Munir dan Prof Madya Siti Hajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Dalam berita al-Ittihad itu, dilaporkan pelajar terbabit yang juga polis berpangkat Leftenan Kolonel sudah menyerahkan hasil kajiannya kepada Menteri Dalam Negeri UAE, Syeikh Saif Zaid al-Nahyan untuk diberi perhatian.
Laporan itu menyebutkan kajian harta bersama suami isteri berdasarkan konsep syarikah mudharabah dan ia semesti diterapkan dalam masyarakat UAE yang semakin maju serta bertamadun dengan perempuannya mendapat hak dan kewajipan sejajar termasuk dalam soal perkahwinan.
Di Nusantara, harta sepencarian sudah dikenali sejak lama. Oleh itu, kita mendapati ia wujud di kalangan beberapa masyarakat terkemuka di Nusantara.
Sebagai contoh ia disebut harta carian laki bini oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan; harta pencarian menurut masyarakat Melayu Sarawak; harta pencarian di kalangan masyarakat Islam Melanau Sarawak; harta gono gini dalam masyarakat Jawa; hareuta sihareukat masyarakat Aceh; harta suarang menurut masyarakat Minang; harta guna kaya dalam masyarakat Sunda; harta druwe bagro dalam masyarakat Bali; harta barang perpatangan menurut masyarakat Kalimantan dan harta usaha sama masyarakat Terengganu.
Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh ketika perkahwinan antara suami dan isterinya, hasil sumber atau usaha mereka bersama dan ia mesti mengikut syarat ditentukan hukum syarak.
Ada beberapa pendekatan untuk mengaitkan harta sepencarian dengan undang-undang Islam. Ada yang mengatakan ia adalah sharikah al-abdan; ada yang mengatakan diakui atas dasar siyasah shar'iyyah; ada yang mengatakan atas dasar upah (ujrah), dan ada yang mengatakan atas dasar adat yang baik.
Dengan cara ini penyelesaian terhadap tuntutan kes harta sepencarian dapat dibuat menurut kaedah harta mush, kaedah upah, kaedah pembahagian saham dan kaedah adat.
Kita tidak mempertikaikan pendekatan ini kerana walaupun ulama di rantau ini dalam mencari dasar hukum harta sepencarian berbeza pendapat, dalam kenyataannya ialah harta sepencarian sudah menjadi undang-undang rasmi di rantau ini.
Dari segi undang-undang, di Brunei Darussalam harta sepencarian ditakrif oleh Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 bab 2 (1), Tafsiran sebagai: "Harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".
Di Malaysia harta sepencarian ditakrif dalam peruntukan atau seksyen 2 (1) mengenai penafsiran setiap akta atau enakmen negeri. Sebagai contoh, Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan No 303, Tahun 1984, mentakrifkannya: "Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak".
Namun dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan No 1, 1983 ada kelainan kerana mentakrif harta sepencarian dengan hanya mengatakan:
"Mempunyai erti yang sama dengan apa yang sudah diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982" yang pada intinya menyamai peruntukan Akta Wilayah Persekutuan. Di Indonesia, harta sepencarian atau harta bersama ditakrifkan oleh Undang-Undang Perkahwinan No 1, 1974 pasal 35 sebagai harta benda yang diperoleh selama perkahwinan."
Jelas kepada kita harta sepencarian di ketiga-tiga negara di atas mempunyai pengertian yang sama iaitu aset yang diperoleh bersama oleh suami isteri secara perseorangan atau bersama sepanjang hubungan perkahwinan mereka wujud selagi tidak ada perjanjian lain yang mengubahnya.
Dalam undang-undang di atas disebutkan mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah aset yang diperoleh oleh pihak itu ketika perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi antara pihak terbabit.
Ketika menjalankan kuasa ini mahkamah perlu mengambil perhatian beberapa perkara termasuk takat sumbangan yang dibuat setiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset dan hutang oleh satu pihak bagi manfaat bersama serta keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.
Harta sepencarian tidak merangkumi harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau melalui pembahagian harta pusaka. Pemiliknya berhak secara keseluruhan ke atas harta itu.
Bagaimanapun, jika harta itu dikerjakan bersama suami isteri ketika perkahwinan dan hasilnya meningkatkan nilai harta berkenaan, pihak yang satu lagi boleh menuntut upah jika terjadi perceraian.
Jika isteri menolong mengusahakan tanah, dia berhak kepada setengah daripada harta itu tetapi jika hanya memberikan sumbangan secara tidak langsung dia berhak mendapat satu pertiga.
Umpamanya, tanah suami atau isteri sebelum perkahwinan (harta bawaan) kemudian mereka bercucuk tanam di tanah itu. Harta ini tidak dikira sebagai harta sepencarian, tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah.
Sebaliknya mengenai harta yang dimiliki secara warisan dengan suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan melainkan mengusahakan tanah itu bersama isteri dan kemudian daripada hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain, maka harta yang diperoleh ini dikira sebagai harta sepencarian.
Jika saudara kita di Asia Barat mahu mengambil kira pandangan Nusantara dalam hal ini, kemungkinan besar mereka akan sependapat dengan hasil kajian warga UAE itu, seperti UAE juga sudah menerima penggubalan undang-undang perniagaan nombor dua awal dekad ini yang digubal warga negara Malaysia, Prof Abu Bakar, Dekan Fakulti Undang-Undang UM. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment