Oleh Hasliza Hassan
Bimbingan Children Islamic Centre bentuk generasi muda berfikiran lebih rasional
MULANYA beliau mencari pusat didikan dan penjagaan kanak-kanak yang dapat memenuhi semua aspek diperlukan anaknya tetapi sebaliknya, beliau sendiri yang mengikuti kursus prasekolah dan akhirnya wujudlah Children Islamic Centre (CIC).
Begitulah mula cerita Pengasas CIC, Qutreen Nada Ahmad, 36, mengenai sejarah penubuhan pusat didikan dan penjagaan kanak-kanak CIC yang awalnya hanya bertujuan memenuhi kehendak hati untuk memberi yang terbaik kepada anaknya.
"Bukan tidak ada institusi prasekolah yang bagus saya jumpa tetapi jika ada pun, tetap ada kekurangan di sana sini. Dan apabila jumpa yang memang bagus pada pandangan saya dan menepati keperluan anak, ia dipelopori bukan Islam pula.
"Sebagai ibu, saya mahukan macam-macam untuk anak saya. Malangnya sukar untuk jumpa pusat didikan yang boleh beri apa yang saya mahukan itu. Akhirnya, saya fikir kenapa tidak saya saja yang sediakan apa yang saya mahukan untuk anak.
"Saya ikuti kursus prasekolah dan buat program untuk anak saya. Apabila ada permintaan, saya sewa rumah di Puchong dan mulakan secara kecil-kecilan," katanya pada pertemuan di pejabat ProQuaz Sdn Bhd di Presint 9, Putrajaya.
CIC yang nama asalnya Pusat Perkembangan Kanak-kanak Nada mula beroperasi pada 1997 dengan objektif melahirkan kanak-kanak cemerlang yang mampu menguasai ilmu dunia serta akhirat dan mahir dalam bahasa Melayu serta Inggeris.
Kemudian, apabila beliau merasakan perlu untuk pusat berkenaan lebih fokus iaitu menjadikannya pusat khusus untuk kanak-kanak Islam, maka Pusat Perkembangan Kanak-kanak Nada bertukar nama kepada Children Islamic Centre.
Selain menyediakan pendidikan prasekolah, kehadiran CIC juga bagi memberi alternatif kepada ibu bapa yang mencari pusat didikan dan jagaan yang menawarkan pendidikan menyeluruh dengan penekanan kepada agama serta kecemerlangan akademik.
Qutreen Nada berkata, selepas tahu hala tuju yang jelas, CIC berusaha mengembangkan program sesuai bagi memenuhi keperluan kanak-kanak Islam dalam bidang pendidikan serta pembangunan sahsiah untuk melahirkan umat Islam yang cemerlang.
Katanya, beliau bersyukur kerana program disusun awalnya hanya untuk memberi yang terbaik kepada anaknya diterima baik ibu bapa yang berkongsi pandangan serupa hingga membolehkan CIC terus bertahan hingga hari ini dan mempunyai 10 cawangan.
"Begitu juga jika dia menjadi penyanyi, biar dia menjadi penyanyi yang memberi manfaat kepada peminat serta masyarakat. Mungkin ada yang pentingkan sijil tetapi saya pentingkan makna dan mahu anak pandai daripada sudut makna.
"Apabila dia faham, tidak kira apa bakal dia jadi di masa depan, dia akan membawa kebaikan kepada semua. Saya harap dapat melahirkan Perdana Menteri di kalangan anak-anak di CIC ini," katanya.
Katanya, beliau percaya pendidikan awal kanak-kanak perlu memasukkan elemen agama secara praktikal serta mementingkan pembinaan jati diri kanak-kanak sebagai seorang Muslim. Kanak-kanak perlu mengenal Allah dan apakah tuntutan-Nya terhadap manusia. Hasilnya, jati diri kanak-kanak dan tindakan semasa dewasa diharapkan berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
Beliau juga mahukan anaknya dapat menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik dan hasrat itu turut diterjemahkan oleh CIC menggunakan kaedah whole word approach untuk bahasa Inggeris, Fonik untuk bahasa Melayu dan 'Mental Arithmetic' untuk matematik.
Qutreen Nada berkata, apa yang dimahukan untuk anaknya, itulah yang disediakan di CIC yang menyediakan perkhidmatan taman asuhan kanak-kanak (taska) untuk kanak-kanak dua bulan hingga dua tahun, Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) menerusi pendekatan Islam dengan menggunakan buku rujukan daripada Iqra' Institute Chicago.
Katanya, kanak-kanak di CIC juga diperkenalkan dengan program Creating Story di mana mereka perlu mencipta mengikut imaginasi bagi memperkayakan mereka dengan kosa kata dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, pada usia awal, otak kanak-kanak dapat menerima maklumat dengan mudah dan program berkenaan memberi peluang mereka mengembangkan idea melalui teknik pengulangan sebutan dalam masa tertentu.
Katanya, agama juga diajar dalam bahasa Inggeris supaya mereka boleh menjadi pendakwah yang mampu berhadapan dengan masyarakat antarabangsa selain mengembangkan syiar Islam kepada bukan Islam supaya dapat memahami Islam yang sebenar.
"Kita juga bimbing kanak-kanak menggunakan rasional. Saya tidak setuju pandangan sesetengah ustaz yang melarang menggunakan akal sebab kononnya tidak sampai. Sebaliknya guna nas. Pada saya, akal tidak bercanggah dengan nas, kerana itulah Allah jadikan kita manusia yang berakal.
"Contohnya, Israk Mikraj tidak masuk akal tetapi kita perlu terima. Itu tidak benar sama sekali. Tidak masuk akal ketika itu tetapi sekarang, angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar sudah pergi angkasa lepas. Maknanya kita tidak boleh kata tidak masuk akal.
"Hadis Nabi SAW juga ada menjelaskan, berfikir satu minit lebih baik daripada ibadat setahun. Ini tandanya berfikir boleh membawa kita kepada puncak ibadat. Ada mengatakan orang akal pintar tidak boleh terima agama. Kita tidak boleh kata begitu kerana ini akan merendahkan agama," katanya.
Justeru katanya, pendekatan pembelajaran untuk kanak-kanak perlu menggalakkan pelajar berfikir secara rasional dengan membimbing mereka memahami sesuatu hakikat itu supaya mereka lebih kreatif tanpa menidakkan kepentingan berpegang kepada al-Quran dan sunnah.
Graduan jurusan ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, cabaran yang dihadapi untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak yang dihantar ke CIC ialah melahirkan pasukan yang bagus.
Katanya, hanya pasukan yang bagus dapat memastikan moto CIC, A Home Away From Home iaitu memberi pengalaman berada di rumah sendiri walaupun jauh dari rumah kepada kanak-kanak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, ada kalanya kegagalan mengekalkan pasukan yang bagus mendesak hatinya untuk menutup pusat didikan dan jagaan yang kini mencapai usia 10 tahun tetapi berkat sokongan suami, Azizi Ahmad, CIC masih terus dipertahankan.
"Moto kita ialah supaya kanak-kanak berasa seperti di rumah sendiri. Oleh itu, guru seperti ibu mereka sendiri. Untuk melahirkan guru yang juga ibu bukan mudah tetapi kita usahakan dengan memberi mereka kemahiran serta kursus.
"Ada juga yang menjadikan pusat kita sebagai batu loncatan. Setelah mengikuti kursus dan latihan, mereka tinggalkan kita. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih ada yang komited untuk memberi pendidikan terbaik kepada kanak-kanak Muslim," katanya.
Qutreen Nada berkata, selain keluarga serta pasukan CIC yang sentiasa bersemangat, beliau sentiasa berpegang dengan falsafah diri untuk melakukan apa yang perlu dan apabila sudah mula berlari, jangan pandang belakang tetapi terus berlari.
No comments:
Post a Comment