Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
Ahmad berasa tidak sabar dan begitu teruja dengan cuti persekolahan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Pelbagai rancangan diatur dalam mindanya. Pelbagai aktiviti yang dirasakan boleh dilakukan dengan rakan dan keluarga sepanjang cuti yang panjang itu. Namun berbeza pula dengan rakannya Amir. Cuti atau tidak, harinya tetap sama, cuma tidak perlu menghadiri sekolah sahaja. “Tambah bosan sahaja, tidak tahu nak buat apa di rumah.”
ANDA tergolong di golongan mana? Adakah anda di kalangan mereka yang sudah mempunyai rancangan sepanjang cuti sekolah atau adakah anda masih kabur tentang apa yang harus dilakukan semasa cuti?
Bagi remaja seperti Ahmad, sudah tentu masa cutinya dirancang dengan aktiviti yang berfaedah dan terisi, namun bagi remaja seperti Amir, pasti berasa bosan dan hilang arah apabila tibanya musim cuti sekolah. Apakah perancangan yang remaja boleh rangka dalam mengisi waktu ini? Apa pula peranan ibu bapa dalam mengisi masa anak-anak mereka supaya lebih berkualiti dan produktif?
Manfaatkan Cuti Secara Terancang
Cuti persekolahan atau cuti semester yang bakal tiba ini pastinya adalah saat-saat yang ditunggu bukan sahaja oleh pelajar sekolah dan universiti, malah ibu bapa. Tempoh cuti yang panjang ini menyediakan peluang waktu untuk pelbagai aktiviti lain yang tidak sempat dilakukan ketika hari persekolahan atau kuliah.
Namun jika pengisian cuti tidak dirancang dengan sebaiknya, berkemungkinan remaja bakal terheret ke kancah kebosanan atau kelalaian. Sesetengah remaja mungkin cenderung untuk menghabiskan masa dengan menonton televisyen, melayari Internet atau bermain permainan komputer.
Adalah tidak salah bagi para remaja mendapat kerehatan daripada rutin waktu persekolahan atau kuliah dengan aktiviti sedemikian. Tetapi adalah amat merugikan sekiranya sebahagian besar masa pelajar pada cuti panjang ini sekadar dipenuhi dengan aktiviti yang berbentuk hiburan semata-mata.
Maksud hadis Rasulullah ada menyatakan agar kita manfaatkan; waktu lapang sebelum tiba waktu sibuk, dan waktu muda sebelum tua. Justeru remaja harus menyedari akan betapa bernilainya waktu senggang yang tersedia kini lalu menggunakannya secara berkualiti.
Pada ketika ini juga adalah peluang untuk remaja dan ibu bapa berusaha meningkatkan keperibadian masing-masing mencakupi aspek pendidikan yang tidak sempat diberi penekanan pada ketika hari persekolahan. Sebagai contoh, ibu bapa dapat memantapkan lagi pembinaan sahsiah dan rohani dalam diri anak-anak dengan merancang aktiviti-aktiviti yang bersifat spiritual dan kembara.
Dalam Islam, pendidikan harus berjalan sejak dilahirkan sehinggalah ke nafas yang terakhir. Maka proses pendidikan terhadap anak-anak tidak seharusnya terhenti dengan berakhirnya hari persekolahan atau kuliah.
Mengisi waktu dengan aktiviti yang berfaedah semasa cuti panjang ini adalah sebahagian daripada pendidikan berterusan (continuous learning). Ketika ini pendidikan secara tidak formal boleh berjalan dengan ibu bapa boleh menjalankan peranan mereka sebagai murabbi kepada anak-anak dengan lebih berkesan.
Mengikuti Kursus Intensif
Tempoh waktu cuti yang panjang ini juga menyediakan jangka waktu yang ideal untuk remaja mengikuti pelbagai kursus intensif atau kelas pengajian. Dengan memilih mana-mana kursus atau kelas pengajian yang sesuai dengan minat dan bakat maka dapat mengembangkan potensi diri remaja.
Terdapat pelbagai kursus intensif yang boleh diikuti seperti kursus berkaitan teknologi maklumat (aplikasi web, pengaturcaraan), kemahiran teknikal (menjahit) dan pembinaan diri (ucapan umum, kem motivasi). Ilmu yang diperoleh dapat memberikan nilai tambahan kepada remaja apabila melanjutkan pelajaran ke menara gading atau ketika hendak memohon pekerjaan nanti.
Kursus bahasa seperti bahasa Inggeris juga amat bermanfaat dalam meningkatkan kemahiran pelajar dalam sesuatu bahasa itu. Bagi yang bakal menghadapi peperiksaan pada tahun hadapan, mereka juga boleh mengambil tuisyen intensif musim cuti demi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut.
Di samping itu, para remaja juga boleh mengikuti kelas pengajian agama, seperti kelas membaca al-Quran, kelas tahfiz, kursus pengurusan jenazah ataupun kem ibadah. Program-program sedemikian mampu meningkatkan ilmu dan kefahaman agama para remaja serta membentuk jiwa dan peribadi remaja Muslim yang sejati.
Menghidupkan Budaya Membaca
Kesempatan cuti panjang ini adalah waktu terbaik untuk remaja menghidupkan budaya membaca. Remaja boleh memilih sebuah buku atau lebih yang berkualiti untuk dibaca sehingga habis dalam tempoh cuti ini. Kegiatan ini bukan sahaja mengisi masa remaja malah remaja bakal beroleh input yang bermanfaat daripada buku yang dibaca.
Selain itu, remaja juga boleh melawat ke perpustakaan awam atau kedai-kedai buku untuk meninjau dan membaca pelbagai jenis buku yang baru. Amalan sedemikian akan turut menyumbang ke arah mewujudkan minat membaca dalam diri remaja.
Upah Bekerja Amat Bermakna
Bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk bekerja, bekerja juga dapat dilihat sebagai satu pendidikan berterusan kerana ia melatih diri untuk mematuhi disiplin kerja. Hal ini merangkumi aspek penampilan diri, perhubungan awam serta pematuhan etika kerja.
Upah atau gaji yang didapati hasil titik peluh remaja sendiri sudah tentu amat bermakna. Justeru remaja perlu menggunakan wang tersebut dengan cara yang sebaiknya. Sebahagian juga adalah disyorkan untuk disimpan bagi perbelanjaan ke universiti kelak, seperti di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa seorang pelajar swasta perlu membelanjakan RM10,000 bagi setiap semester. Justeru perkara ini seharusnya membuka mata mereka yang bakal menerima upah agar berjimat cermat demi masa depan.
Beriadah, Berziarah Memupuk Ukhuwah
Aktiviti riadah seperti melancong ke tempat peranginan dapat menyegarkan jiwa dan minda serta memberi kekuatan baru kepada remaja. Di samping itu, kegiatan melancong bersama keluarga dapat membolehkan ibu bapa mendekati anak-anak, membina hubungan, serta memahami jiwa dan kehendak mereka.
Amalan berziarah sanak saudara atau sahabat handai juga dapat dilakukan pada ketika cuti sekolah ini. Berziarah tidak terhad kepada musim perayaan sahaja. Malah ketika ini ibu bapa boleh membawa anak-anak berziarah datuk nenek atau sanak saudara di kampung dengan kuantiti masa yang lebih banyak.
Kesimpulan
Musim cuti persekolahan yang bakal tiba ini memberi ruang kebebasan waktu untuk remaja. Justeru remaja perlu bijak merancang agar cuti dapat dimanfaat sebaik mungkin. Perancangan cuti dengan penyertaan ibu bapa dapat memastikan pengisian membina dan seterusnya menyumbang ke arah pembentukan keluarga bahagia.
No comments:
Post a Comment