Thursday, November 15, 2007

Mohd. Syakir ubat rindu dengan mengingati Allah

Oleh ZUARIDA MOHYIN


Mohd. Syakir Abdullah.

KALAU saudara baru yang lain sekadar kehilangan kasih sayang keluarga dan teman-teman, apa yang dialami oleh pemuda kelahiran Sri Lanka, Mohd. Syakir Abdullah, 37, lebih memeritkan.

Katanya, siapa yang tidak sedih apabila kasih dan kemesraan yang selama ini tercurah dalam kehidupannya sekeluarga tiba-tiba hilang keceriaan dan sentuhannya apabila ahli keluarga yang lain tidak dapat menerima berita pengislaman beliau.

“Bagi saya, kalau seseorang itu melihat kehidupan ini semata-mata memenuhi kehendak duniawi dan dari segi material, pastinya kehilangan kemewahan daripada harta keluarga menjadi sesuatu yang sukar diterima, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergantung dengan kesenangan tersebut.

“Pun begitu, pegangan dan kepercayaan yang diperoleh dan ditemui dalam Islam mengatasi segalanya, waima dikatakan telah menconteng arang ke muka keluarga atau dikira ‘anak derhaka’.

“Bagi saya, ia bukannya seperti yang mereka sangkakan, apa yang saya pilih adalah jalan yang benar,” terang perunding penjualan dalam pertemuan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.

Malah akui Mohd. Syakir, kebenaran Islam tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak, sekali gus meletakkan Islam sebagai agama yang begitu syumul.

Bahkan katanya, sebelum mengenal Islam, beliau terlebih dahulu menyelami dan menyelidik agama-agama lain. Semuanya bagi memastikan, dirinya membuat keputusan yang jitu dan bukan sekadar ikutan ataupun dengan niat atau mengharapkan sesuatu kepentingan.

“Sepanjang pencarian saya, saya dapati Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna serta sesuai dengan fitrah kehidupan manusia. Islam mampu menjawab apa yang ada di dunia nyata dan di alam selepas kematian.

“Malah dengan Kalam Allah, semua persoalan tentang kehidupan, alam, nabi, rasul, kejadian makhluk dan banyak lagi telah diterangkan secara jelas di dalamnya,” jelasnya.

Sebenarnya, beliau tidak menyangka akan bergelar Muslim suatu hari nanti kerana Islam bukanlah sesuatu yang baru dalam hidupnya. Semasa kecil-kecil dulu, keluarganya tinggal di kawasan yang ramai masyarakat Islam iaitu di Kanday, Sri Lanka.

“Sepanjang pembesaran saya itulah, saya mampu mengikut laungan azan yang berkumandang setiap kali masuk waktu solat. Sehinggalah apabila menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Hidraulik di salah sebuah universiti di Eropah, pada masa itu, semua berkaitan tentang Islam terhenti seketika,” cerita Mohd. Syakir mesra.

Takdir

Terang anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini lagi, mungkin jalannya kepada Islam adalah takdir Ilahi. Ini kerana semasa di Eropah, beliau kerap ke Malaysia atas urusan kerja. Apabila berada di bumi Malaysia inilah, memori tentang Islam berputik kembali.

“Saya mula mendekatkan diri dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau Perkim di Jalan Ipoh, memandangkan ia banyak menyediakan maklumat berkaitan Islam. Apatah lagi, bagi mereka yang sedang berjinak-jinak dengan agama itu,” katanya.

Melihatkan kepelbagaian bangsa yang datang ke Perkim, Mohd. Syakir tidak janggal sepanjang berada di kalangan mereka. Paling seronok ialah sewaktu majlis berbuka puasa yang merupakan satu acara tradisi bagi Perkim. Selain memperoleh ilmu agama, beliau juga sempat berkenal-kenalan antara satu sama lain.

“Lama-kelamaan, hati saya tertarik dan terpikat dengan keramahan masyarakat Muslim di negara ini. Beberapa ustaz yang ada di sana sangat membantu mungkin disebabkan mereka juga di kalangan mualaf,” terang Mohd. Syakir yang mengucap dua kalimah syahadah pada 28 Mei tahun lalu di ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh oleh Ustaz Amran Abdullah.

Selepas pengislaman, Mohd. Syakir terus bertandang ke Perkim untuk mengikuti kelas-kelas agama yang disediakan buat golongan saudara baru. Di samping itu, buku-buku pemberian daripada teman istimewa dan bakal bergelar permaisuri hatinya, Suzana banyak membantu dalam proses beliau mendalami Islam.

“Apa yang paling saya teruja dengan agama Islam ialah bagaimana dekatnya hubungan seorang hamba itu dengan Penciptanya. Dalam ibadat solat misalnya, hanya agama Islam sahaja yang mewajibkan sembahyang lima waktu sehari. Ini membuktikan kekerapan kita bertemu Allah malah kita tidak memerlukan perantara dalam memohon hajat atau berinteraksi dengan-Nya,” kata beliau.

Begitu juga dengan ibadat wajib yang lain seperti puasa, zakat dan sebagainya. Tahun ini merupakan kali kedua beliau menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia.

“Saya masih ingat bagaimana mencabarnya melaksanakan ibadat puasa. Pada tahun pertama saya terpaksa meninggalkan lima hari kerana tidak tahan. Tetapi, tahun ini saya berjaya berpuasa penuh, Alhamdulillah,” cerita Mohd. Syakir berkongsi pengalaman mempraktikkan puasa Ramadan.

Beliau juga bersyukur diperkenalkan dengan Mohamad Zamzam, 63, yang lebih mesra dipanggil pak cik kerana sekurang-kurangnya ada juga insan yang saling ingat-mengingati terutamanya dalam urusan agama Islam.

“Kami selalu sembahyang berjemaah dan ada ketikanya pak cik membantu menerangkan tentang pelbagai persoalan yang terbuku di fikiran,” katanya ringkas.

Jauh di sudut hati Mohd. Syakir, berharap agar ibu bapanya menerima keputusan pengislaman beliau serta sentiasa berdoa agar mereka juga dicurahkan dengan hidayah Ilahi sepertinya.

Sungguhpun mereka belum boleh menerima sepenuhnya, beliau tetap menghubungi mereka, bertanyakan khabar dan mengirim sumbangan sebagai tanda penghargaan dan tanggungjawab seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa.

“Tanpa mereka, saya tidak lahir di dunia ini. Maka walaupun mereka menyisihkan saya, ini bukan penyudahnya. Saya percaya Allah itu Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui akan isi hati hambanya.

“Bagaimanapun, kesedihan itu tidaklah sehingga menimbulkan kekecewaan malah jauh sekali untuk menarik balik lafaz syahadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kerelaan hati serta keinsafan diri ini. Saya akan buktikan kepada mereka tentang kebenaran Islam,” katanya mengakhiri perbualan kami tengah hari itu.

No comments: