Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
exco_pgsm@yahoo.com
SAYA dan suami berkahwin atas pilihan sendiri. Keluarga saya dan suami merestui perkahwinan kami walaupun sebenarnya keluarga saya sudah ada calon untuk menjadi suami saya. Rumah tangga yang kami bina aman dan bahagia sehingga sejak dua tahun lalu, saya menghadapi masalah rumah tangga yang agak teruk.
Kami selalu bergaduh disebabkan suami terlalu kasar. Suami saya mula memukul dan memaki saya serta tidak menghormati orang tua saya lagi. Dia juga mengungkit mengatakan ibu bapa saya tidak sukakannya kerana mereka sudah ada calon suami yang lain sedangkan kedua ibu bapa saya menerima beliau sebagai menantu. Kami belum ada anak.
Bagaimana dapat saya menasihati suami dan membuat dia sedar akan kesalahannya. Buat masa ini saya tidak berniat untuk berpisah kerana saya percaya suami masih boleh dinasihati.
Isteri Solehah
Bangi, Selangor
Sikap positif puan dalam hasrat ingin mempertahankan keluarga adalah baik. Hanya puan dan suami saja yang mengetahui apa terbaik bagi keluarga puan. Orang lain hanya dapat membantu saja ke arah itu.
Perselisihan faham adalah lumrah rumah tangga. Namun, jika perselisihan faham itu membawa kepada pergaduhan lebih besar seperti maki hamun dan memukul tanpa sebab munasabah, ia mungkin akan tersasar daripada landasan dibenarkan hukum syarak.
Antara tujuan perkahwinan dalam Islam ialah untuk memupuk kasih sayang dan memenuhi naluri semula jadi manusia. Islam menggariskan peranan, tanggungjawab dan hak suami isteri.
Peranan, tanggungjawab dan hak itu mesti dipikul secara bersama dan tidak boleh dipisahkan. Jika objektif rumah tangga itu tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada isteri atau suami, maka pihak berkenaan boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan berdasarkan alasan dan cara yang dibenarkan hukum syarak.
Antara inisiatif yang boleh puan lakukan ialah meminta bantuan pihak ketiga iaitu kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling atau sesiapa saja yang puan rasa suami hormati.
Bagaimanapun, puan perlu berhati-hati dalam memilih perantara supaya masalah tidak diperbesar yang menimbulkan masalah lain pula.
Puan juga perlu tahu punca perubahan suami. Pastikan sama ada ia berpunca daripada sifat semula jadi suami, tekanan kewangan, tekanan di tempat kerja dan masalah keluarga. Jika puan dapat mengenal pasti puncanya, cara untuk menangani masalah itu akan menjadi lebih mudah.
Umpamanya, jika ia berpunca daripada faktor tekanan kewangan yang menyebabkan suami menjadi selalu tidak tentu pasal dan naik angin, puan mungkin boleh menolong suami meringankan bebannya.
Jika ia sifat semula jadi suami, mungkin ia mengambil sedikit masa bagi suami berubah dan eloklah anda berdua mendapatkan khidmat pakar kaunseling.
Puan juga boleh berbincang sambil membawa kembali kenangan saat bahagia semasa awal perkahwinan dulu. Mungkin dengan ini suami akan sedar kesilapannya dan betapa bertuahnya mengahwini puan.
Hanya dengan perbincangan kita akan mengetahui isi hati pihak satu lagi. Berbincanglah dengan penuh keikhlasan.
Setelah berusaha, berserahlah kepada Allah bagi menentukan hasil usaha puan itu. Berdoalah kepada-Nya bagi membuka ruang di hati suami dan menanam benih kesedaran dalam jiwanya untuk berubah.
Bertawakal kepada-Nya kerana ini adalah ujian yang ditentukan oleh-Nya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi oleh hamba itu.
Di samping itu juga puan perlu mengetahui hak di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan puan terpelihara. Jika khuatir keselamatan puan akan terancam, boleh memohon kepada mahkamah syariah suatu perintah menghalang suami daripada mengganggu dan memukul puan.
Bagi memudahkan mahkamah membuat pertimbangan untuk memberikan perintah tegahan itu, dokumen seperti laporan perubatan, laporan polis dan apa-apa dokumen berkaitan dengan insiden pukul itu hendaklah dikemukakan kepada mahkamah untuk pertimbangan.
Oleh itu puan dinasihatkan supaya mengumpul dokumen itu bagi digunakan jika perlu untuk memohon perintah tegahan di mahkamah nanti. Puan juga berhak memohon di Mahkamah Syariah untuk perintah pembubaran perkahwinan secara fasakh ataupun takliq jika terbukti suami memukul dan mencederakan puan.
Oleh itu, puan perlu bijak membuat keputusan sama ada untuk terus hidup dengan suami ataupun mengakhiri perkahwinan berkenaan.
Jika matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai setelah segala usaha dilakukan dan keselamatan puan juga terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah.
Namun begitu, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat yang sudah ditentukan, mudah-mudahan hidup kita akan diberkati Allah.
Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang soalan, sila kirimkan ke exco_pgsm@yahoo.com
No comments:
Post a Comment