Selangor bagai promosi kesalahan jenayah syariah
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Sering kali istilah sensitiviti digunakan bagi mengelak umat amalkan cara hidup mengikut Islam
TINDAKAN Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan penjualan arak penghujung tahun lalu amatlah dikesali. Alasan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu amatlah pelik dan tidak masuk akal. Malah baru-baru ini pula Abdul Khalid berpendapat lebih baik menggunakan konsep kawalan sendiri dan enggan mengenakan peraturan kawalan jualan arak walaupun di kawasan majoriti penduduk Islam.
Apa yang dicadangkan Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkaitan dengan penjualan arak yang berleluasa itu hanya peraturan membabitkan orang Islam. Tidak langsung timbul masalah dengan masyarakat berbilang bangsa atau cubaan untuk melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam.
Orang bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing. Ini juga menggambarkan keretakan dan keampuhan kerajaan diterajui PKR di negeri itu. Penulis tidak berhasrat menulis isu politik tetapi secara objektifnya hanya menyentuh aspek perundangan dan hukum syarak yang menunjukkan betapa silapnya Menteri Besar Selangor itu.
Apa yang lebih menyedihkan ialah DAP menggesa supaya diambil tindakan terhadap Hassan yang mengutarakan cadangan itu walaupun hakikatnya undang-undang yang diperjuang Hassan adalah undang-undang Syariah yang mendapat perkenan Sultan Selangor.
Seperti dinyatakan di atas, peraturan dicadangkan hanya dilaksanakan terhadap orang Islam dan isu berbilang kaum dan agama tidak harus diketengahkan. Sering kita berlindung di bawah sensitiviti ini bagi mengelak daripada mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Namun, sebenarnya kita mengorbankan jati diri umat Islam serta menerjah keluar tatacara kehidupan yang dianjurkan Rasulullah SAW.
Demi menjaga sensitiviti ini, kerajaan Selangor sebenarnya mempromosikan kesalahan jenayah kerana bagi umat Islam menjadi kesalahan minum arak di tempat awam atau kedai minuman yang memabukkan. Bukan minum saja yang menjadi kesalahan, membuat, menjual menawarkan untuk jualan, mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan juga adalah satu kesalahan.
Perkara ini jelas termaktub di dalam seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Termaktub dalam Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
l Seksyen 18 (1) � Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
l Seksyen 18 (2) - Mana-mana orang yang membuat, menjual, menuar-uarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Menerusi seksyen ini, pihak berkuasa atau kerajaan mesti berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan arak dan dalam memberikan lesen itu harus diletakkan syarat penjual arak bukan orang Islam. Kerajaan negeri perlu menghormati Islam sebagai agama negeri dan Persekutuan lebih daripada segalanya kerana kedudukan Islam disebut secara khusus dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Kerajaan negeri tidak harus menutup sebelah mata terhadap peruntukan ini.
Secara jelas, tindakan Selangor itu akan mempromosikan kesalahan itu kerana kebanyakan penjual di kedai serbaneka 24 jam umpamanya ialah orang Islam. Mereka menanggung risiko ditangkap dan dituduh atas kesalahan dinyatakan di atas.
Yang peliknya, masyarakat Barat mula sedar pentingnya membatasi penjualan arak. Di negara umat Islam adalah minoriti dan kawalan itu dibuat bukan atas dasar Islam tetapi demi menjaga kepentingan awam dan mengelak kebejatan masyarakat. Hal ini dapat diterima oleh masyarakat umum. Nampaknya seolah-olah orang Timur ingin menjadi Barat dan orang Barat menggayakan pula budaya Timur.
Di mana salahnya? Orang Barat sebenarnya jelak dengan budaya mabuk yang selalu mengoyak susun atur masyarakat serta merosakkan keamanan dan kedamaian setempat. Pelbagai usaha diambil bagi memberi kaunseling menyedarkan agar menjauhi arak. Pelbagai peraturan digarap bagi mengawal atau membataskan penjualan arak. Semua ini tidak pula mendapat bantahan atau reaksi negatif daripada orang ramai.
Jelaslah DAP telah menunjukkan belangnya di dalam isu ini dan enggan berganjak walaupun hakikatnya undang-undang jenayah syariah sedang berkuat kuasa di Selangor. Adakah Kerajaan Negeri Selangor sendiri menjadi alat untuk mempromosi kesalahan jenayah syariah yang dewan negerinya sendiri meluluskan?
Penulis adalah Peguam Syarie, Peguambela dan Peguamcara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment