Monday, August 10, 2009

Al-Hidayah 'naung' saudara Muslim India

Al-Hidayah 'naung' saudara Muslim India


USTAZ Samuri (kiri) adalah salah seorang tenaga pengajar sukarela di Sekolah Rendah Agama Islam Tamil, Sungai Buloh, Selangor.


PERTEMUAN semula dengan Presiden Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia atau singkatannya, Al-Hidayah baru-baru ini, mirip seperti program 'jejak kasih'. Apa tidaknya, ia adalah pertemuan selepas lebih lima tahun.

Penulis masih ingat kemesraan empunya diri iaitu Abdul Latif Santharan Abdullah dan isterinya, Siti Fatimah Puspalatha Abdullah serta anak-anak mereka, sewaktu menerima kunjungan penulis dan jurugambar di rumah mereka di Kuang, Selangor.

Pada masa itu, anak jati kelahiran Kerling, Selangor ini ditemu bual tentang penghijrahan akidah beliau dan isteri serta serba sedikit portfolio beliau sebagai Presiden Persatuan Al-Hidayah yang ditubuhkan pada 22 April 1999.

Menurut Abdul Latif, 50, yang memeluk Islam kira-kira 24 tahun lalu, idea penubuhan Al-Hidayah mula tercetus ketika beliau mengikuti pengajian di Institut Dakwah Islamiah Perkim, Petaling Jaya (IDP) pada tahun 1988.

Katanya, apabila melihat angka kes murtad di kalangan orang India dan Orang Asli yang semakin meningkat setiap tahun, saya cuba membuat kaji selidik dan pemerhatian secara tidak rasmi.

"Mereka ini murtad kerana tidak mendapat bimbingan berterusan dan pendedahan yang secukupnya mengenai ajaran Islam.

"Apatah lagi, dengan kurangnya pendakwah daripada golongan sebangsa yang menjadikan jurang bahasa sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kes-kes murtad yang semakin menjadi-jadi," jelas beliau.

Oleh itu, kata Abdul Latif, dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti kursus-kursus kemantapan akidah, kelas-kelas fardu ain dan tafsir al-Quran serta mengadakan program ziarah ke estet-estet, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan berleluasanya gejala murtad.

Beliau kini memimpin lebih 600 orang ahli saudara Muslim India di seluruh Malaysia.

Pun begitu, jelas penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun 1999 ini, hasrat penubuhan itu tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja. Ini kerana kekurangan pengalaman selain terpaksa melalui pelbagai cabaran semasa.

Sebelum sah secara rasmi sebagai sebuah persatuan, Al-Hidayah kata Abdul Latif bergerak atas tiket badan sukarelawan.

Ia menjelajah ke estet-estet dan mengadakan kelas-kelas dakwah serta mengajar di rumah-rumah demi memperjuangkan syiar Islam.

Tambah menyukarkan, sikap segelintir masyarakat Islam yang lebih bersikap terbuka kepada golongan yang masih berjinak-jinak dengan agama Islam berbanding sikap prejudis terhadap individu yang telah pun berbin atau berbintikan Abdullah.

Namun berkat kesungguhan serta tidak mengenal putus asa hasrat ini terlaksana jua selepas lebih 10 tahun bergerak secara sukarelawan. Kejayaan ini juga kata Abdul Latif, tidak kesampaian tanpa sokongan dan dokongan teman-teman sepengajian pada ketika itu.

Malah, gelaran pendakwah yang diperoleh sebaik menamatkan pengajian sedikit sebanyak mengukuh keyakinan berdakwah kepada golongan yang bukan Islam, terutamanya kaum sebangsa.

"Sebenarnya, saya cuba mengelakkan persepsi masyarakat majmuk di Malaysia yang menganggap masuk Islam sebagai masuk Melayu.

"Lantaran itu, berusaha untuk menjalani hidup dalam suasana budaya yang baru. Padahal, selagi mana apa yang diamalkan itu tidak bertentangan dengan akidah Islamiah dan ajarannya, maka Islam membenarkan," katanya.

Menurut Abdul Latif, Al-Hidayah menggunakan bahasa Tamil sebagai medium atau perantara utama dalam setiap aktiviti persatuan. Namun, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tidak dipinggirkan.

"Ini kerana penguasaan yang dikira masih rendah dalam bahasa Malaysia dan Inggeris, menjadikan penyampaian dakwah itu sedikit tergugat, begitu juga dengan penerimaan serta pemahaman saudara-saudara baru India," akui beliau.

Abdul Latif memeberitahu, Al-Hidayah adalah satu-satunya persatuan saudara Muslim India yang memperjuangkan kebajikan, hal ehwal dan dakwah Islamiah di kalangan orang India, khasnya dan umat Islam, amnya.

Sehingga kini, ia mempunyai cawangan di Seremban, Negeri Sembilan dan Sungai Petani, Kedah. Operasi di Selangor dan Kuala Lumpur pula terletak di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

"Alhamdulillah sejak berpindah ke lokasi baru ini, kami berjaya menguruskan Sekolah Rendah Agama Islam Tamil yang baru berusia dua bulan. Meskipun masih baru, tetapi sambutan yang diterima, adalah begitu memberangsangkan," jelasnya.

Sekolah itu sedang dalam proses untuk didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kelas ini beroperasi dalam dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang. Setakat ini kami sudah menerima 27 pelajar antara usia enam hingga 14 tahun.

"Seperkara yang menarik di sekolah ini ialah tenaga pengajarnya adalah secara sukarela. Mereka mengajar subjek al-Quran, Bahasa Arab, Akhlak, Tauhid, Bahasa Inggeris, Sirah dan Jawi. Keistimewaan di sekolah ini adalah mengajarkan bahasa Tamil.

"Penguasaan bahasa ini penting, kerana ia adalah satu kelebihan untuk menyampaikan dakwah secara berkesan kepada masyarakat India yang belum memeluk Islam," ujar Abdul Latif yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN).

Tambah beliau, Al-Hidayah semakin bergerak aktif dengan penganjuran pelbagai kelas dakwah yang disampaikan dalam bahasa Tamil serta tidak ketinggalan aktiviti berbentuk kebajikan ahlinya.

"Setiap ahli dikenakan bayaran RM24 untuk tempoh setahun. Selain disediakan kelas-kelas pengajian Islam harian dan bulanan seperti Kelas Bimbingan Fardu Ain dan Kelas Tafsir al-Quran.

"Aktiviti bulanan seperti; Kursus Pemantapan Akidah, Kursus Kefahaman Islam, Kursus Tahsin Ibadah, Kursus Remaja India Muslim Cemerlang dan Program Ziarah Rumah ke Rumah Mualaf, kami turut memberikan kaunseling terutamanya kes-kes murtad di kalangan saudara baru India," jelasnya.

Biasanya, persatuan itu menerima aduan daripada pejabat agama untuk cuba diselesaikan. Cuma perlu ditegaskan di sini, Al-Hidayah tidak menyediakan bantuan kewangan kerana persatuan itu turut berusaha mencari dana sendiri,.

Pada masa yang sama, Abdul Latif turut merencanakan penubuhan sebuah institusi yang dikenali Pusat Tarbiah Al-Hidayah dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau yang juga kaunselor di Pejabat Mufti Selangor berkata, pusat itu akan menyediakan pengajian jangka panjang kepada saudara baru India yang berminat mendalami Islam serta bergelar pendakwah. Sekali gus diharap akan melahirkan ustaz dan ustazah pelapis untuk meneruskan syiar Islam di kalangan masyarakat India.

No comments: