Monday, August 10, 2009

Sharifah Khasif pikul tanggungjawab berat wakili negara kali kedua

Sharifah Khasif pikul tanggungjawab berat wakili negara kali kedua
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MEMIKUL tanggungjawab membawa nama negara bukan tugas mudah, namun bagi qariah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, peluang mewakili negara buat dua tahun berturut-turut pada Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa, amanah yang akan dilaksanakan sebaik-baiknya.

Beliau yang ditemui ketika menjalani latihan bersama tenaga pengajar disediakan Urusetia Tilawah al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Hasri, bagaimanapun tidak menafikan perasaan berdebar-debar untuk memperdengarkan bacaannya malam ini.

"Ini kali kedua saya mewakili negara, tekanan terasa kerana ramai mengharap yang terbaik. Pada dasarnya saya stabil serta tenang menghadapi saat malam ini berkat pengalaman tahun lalu. Mudah-mudahan Allah takdirkan yang terbaik buat saya," katanya.

Sharifah Khasif yang juga naib johan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa tahun lalu tidak menafikan saingan dihadapi terutama daripada qariah negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menunjukkan penguasaan dalam pembacaan al-Quran secara berlagu selain memiliki mutu suara yang bagus.

Bagaimanapun katanya, beliau positif dengan usaha dilakukan dan mengambil peluang disediakan penganjur untuk menimba pengalaman daripada tenaga pengajar terdiri daripada bekas qari serta qariah yang pernah mewakili negara Rahmas Abdullah dan Ismawi Duet.

"Saya banyak belajar dengan guru dari Terengganu, Kelantan dan Perak sebelum bertanding pada peringkat kebangsaan lalu dan kini menimba ilmu dari tenaga pengajar disediakan penganjur. Saya gunakan kesempatan ini untuk memperbetulkan wakaf ibtida', cara bagaimana hendak berhenti dan mengambil ayat mula," katanya.

Beliau berkata, cabaran dihadapi ialah memastikan mahraj huruf, tajwid dan fasohah selain menentukan lagu sesuai dibacakan untuk ayat yang diundi pada hari ini kerana walaupun kebanyakan qari serta qariah boleh melagukan bacaan, ada kala ia tidak sesuai dengan kehendak ayat.

Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula Rabu lalu masuk hari keenam. Seramai 47 peserta sudah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Malam ini giliran qariah Malaysia memperdengarkan bacaan bersama 10 peserta lain diikuti qari negara, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan yang bakal membacakan ayat dipilihnya malam esok.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 diserikan penganjuran Bazaar Tilawah yang menempatkan 93 gerai menjual serta mempromosikan perkhidmatan disediakan agensi kerajaan, swasta serta usahawan.

Sementara setiap malam diadakan kuiz untuk pengunjung yang hadir di Dewan Merdeka PWTC. Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa turut disokong artis yang mengadakan persembahan sepanjang tilawah yang berlangsung selama lapan hari.

Orang ramai dijemput hadir memenuhi Dewan Merdeka PWTC untuk menghayati bacaan qari dan qariah daripada 43 negara yang mengesahkan penyertaan antaranya Arab Saudi, Sri Lanka, Afghanistan, Yaman dan Croatia.

No comments: