Monday, August 10, 2009

Tak perlu takut urus jenazah saudara seagama

Tak perlu takut urus jenazah saudara seagama

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Kursus bantu ummah lebih mudah laksana fardu kifayah setiap kali ada kematian

PENGURUSAN jenazah termasuk amalan fardu kifayah tetapi sebagai umat Islam seharusnya kita mengambil berat urusan membabitkan kesejahteraan masyarakat itu bagi mengelak diri termasuk dalam golongan yang jahil.

Nazir Masjid Al Ehsan Kampung Sungai Serai Hulu Langat, Rusli Ahmad, berkata menjadi tanggungjawab setiap umat Islam saling menasihat serta mengingatkan saudara mereka keperluan mempelajari ilmu fardu kifayah.

Katanya, walaupun masjid mempunyai pihak yang dilantik untuk membantu jika berlaku kematian, tindakan awal ahli keluarga serta jiran yang mempunyai ilmu asas mengenai pengurusan jenazah boleh memudahkan urusan itu.

"Apabila ahli keluarga dan saudara mara ada ilmu, urusan menyediakan peralatan untuk memandikan serta mengkafankan jenazah dapat disediakan terlebih dulu. Apabila pihak yang membantu datang, semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat," katanya.

Ketika ditemui pada Kursus Pengurusan Jenazah Sesi 2009 anjuran Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Masjid Al Ehsan, beliau berkata, masyarakat perlu mengubah konsep menyerahkan tugas fardu kifayah kepada orang lain.

Sebaliknya, tugas itu hendaklah dipikul bersama kerana masyarakat yang akan mendapat manfaat apabila semua pihak mengambil berat mengenai keperluan memahami serta melaksanakan amalan fardu kifayah.

Program Kursus Pengurusan Jenazah Sesi 2009 bermula dengan solat Subuh berjemaah, ceramah teori pengurusan jenazah, solat sunat duha dan ceramah oleh pendakwah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Amir Noor Hezam Amir Edaham.

Ceramah amali diselia Nazir Masjid Al Husna Bandar Sunway, Subang, Zainal Kardi. Sesi amali Muslimah mengenai cara pengurusan jenazah daripada proses memandikan hingga mengkafankan diselenggarakan Ketua Muslimah Surau Seksyen 8 Shah Alam, Hafisah Abd Samad.

Zainal berkata, ilmu pengurusan jenazah tidak terhad kepada perkara memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah, tetapi membabitkan perkara yang dianggap remeh seperti keperluan mempercepatkan pengurusan jenazah.

Umpamanya, apabila berlaku kematian, keluarga serta saudara mara perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan jenazah dapat diuruskan dan disempurnakan dengan segera.

"Kita digalakkan segera menyempurnakan jenazah. Jika berlaku kematian waktu petang, seboleh-bolehnya malam itu juga diselesaikan jika ada kemampuan. Ada antara kita yang melewatkan urusan kerana hendak menunggu anak atau ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata, bagi urusan jenazah yang meninggal dunia dalam keadaan sempurna, pengurusan tidak sukar, sebaliknya jenazah yang mengalami kerosakan seperti hangus terbakar atau berpisah anggotanya memerlukan ketelitian.

Selain itu, menguruskan jenazah yang tidak sempurna keadaan fizikalnya juga menguji ketahanan emosi pihak yang menguruskan untuk memandikan serta mengkafankan kerana tidak semua bersedia berhadapan situasi itu.

Sementara itu, Hafisah mengingatkan mereka yang memandikan jenazah supaya berhati-hati kerana mereka memikul tanggungjawab besar menyimpan amanah jika ada, terutama dalam perkara yang boleh mendatangkan aib kepada si mati.

Katanya, apa juga yang berlaku ketika memandikan jenazah tidak sepatutnya diceritakan kepada orang lain dan sewajarnya menjadi rahsia mereka. Malah, tukang mandi dinasihatkan sentiasa melakukan tanggungjawab itu dengan perasaan kasih sayang.

"Kita hendaklah berlemah lembut ketika memandikan serta mengkafankan jenazah serta menghormati mereka. Aurat jenazah perlu dijaga kerana walaupun dia tidak boleh mengadu atau merungut, maruah tetap perlu dijaga.

"Penting diingat jangan ada rasa takut untuk memandikan mayat kerana niat kita adalah untuk membuat kebaikan serta mendapat pahala daripada Allah. Jika selepas melaksanakan tugas itu timbul rasa takut, banyakkan membaca al-Quran kerana itu semua mainan minda," katanya.

No comments: