Sunday, August 23, 2009

Solat sunat kifaratul baul bukan ajaran Rasulullah

Solat sunat kifaratul baul bukan ajaran Rasulullah

SAYA ada kemusykilab mengenai solat sunat yang dinamakan sebagai kifaratul baul. Sepanjang hidup saya inilah kali pertama saya mendengarnya. Khabarnya, solat ini hanya dikhaskan bagi wanita saja atas alasan untuk menghapuskan dosa wanita kerana wanita mempunyai sedikit masalah dalam solat. Contohnya jika tidak lawas membuang air, ia mengganggu tumpuan wanita itu untuk bersolat. Saya benar-benar ingin tahu tentang perkara ini. Bolehkah ustaz menjelaskannya?

Hamba Jahil,

KUALA LUMPUR.

Solat sunat ini tidak pernah diajar oleh Nabi SAW dan tidak pernah diajar dalam athar yang disampaikan kalangan sahabat. Jika seseorang wanita itu mendapati dirinya ditimpa masalah yang berkaitan dengan najis keluar berterusan daripada kemaluan, maka dia dimestikan mengikuti wuduk yang ditetapkan bagi golongan yang menghadapi istihadah.

Menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk, wanita yang sedemikian dianggap sentiasa ‘talabbus binnajasah’ yang menyebabkannya perlu beristinjak apabila masuk waktu solat dan menutup saluran qubul ataupun faraj dengan cara yang diyakini tidak membolehkan najis itu mengalir. Selepas itu barulah dia dibenarkan mengambil wuduk untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat tanpa had.

Apabila masuk waktu solat berikutnya, dia mestilah mengulangi proses yang sama seperti yang sudah dijelaskan sekalipun wuduknya belum batal melalui cara dimaklumi itu.

Selepas berusaha menjaga peraturan yang ditetapkan ini, tiba-tiba seseorang itu masih lagi diserang rasa was-was berhubung kesucian dirinya, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah SWT daripada gangguan dan bisikan syaitan yang mahukannya terus menerus menghadapi kesukaran untuk beribadah kepada Allah SWT.

Muslim perlulah mengetahui bahawa antara rahmat terbesar anugerah Allah SWT buat umat Islam ini adalah Allah tidak akan membebankan mereka dengan perkara yang tidak mampu dilakukan mereka. Hal ini adalah berpandukan kepada ayat terakhir surah al-Baqarah yang bermaksud: “Allah tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat ini adalah jaminan kasih sayang, kelembutan dan rahmat Allah SWT ke atas umat ini. Allah SWT tidak akan memberi azab kepada manusia di atas perkara yang tidak mampu dilakukannya.

Jadi berkaitan dengan perasaan bimbang yang timbul dalam diri yang bertanya, saya ingin menjelaskan bahawa selepas kita berusaha melakukan ketetapan syarak ini, maka hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT.

Tidak perlu ada kebimbangan dan kerisauan lagi selepas itu.

Sehubungan itu, saya menasihati saudara dan saudari agar sentiasa mendampingi ahli ilmu dan majlis ilmu supaya kita dapat mengetahui perkara yang hak untuk diikuti dan meninggalkan amalan-amalan yang dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai sandaran-sandaran dalil.

No comments: