Persoalan Agama: Puasa, sembahyang ditinggal bapa tak wajib diqada
Uztaz Zahazan Mohamed
BAPA saya meninggal dunia baru-baru ini. Sepanjang hayat arwah bapa, kami anak-anaknya yakin arwah ada meninggalkan ibadat solat dan puasa. Masalahnya, kami tidak tahu bilangan hari beliau meninggalkan puasa. Bagaimanakah caranya kami boleh mengatasi persoalan ini?
Anak Prihatin,
KUALA LUMPUR.
Sebelum menjawab soalan ini ada baiknya kita membincangkan kedudukan qada ibadat dalam solat. Secara dasarnya sesuatu ibadat yang ditinggalkan hendaklah diganti, seperti solat contohnya. Demikian pula haji. Ini berpandukan kepada hadis yang bermaksud: “Dan hutang Allah itu lebih berhak untuk disempurnakan. - (Riwayat Muslim)
Cuma persoalan ini semakin kompleks ialah apabila seseorang yang meninggalkan ibadat itu meninggal dunia, apakah kewajipan menggantikan itu masih tertanggung atas waris atau ke atas dirinya sendiri (zimmahnya). Satu lagi persoalan adakah si mati meninggalkan dengan sengaja dalam keadaan dia mampu mengerjakannya lalu dia mengabaikan atau dia meninggalkan dalam keadaan dia memang tidak mempunyai keahlian untuk mengerjakannya.
Sebahagian fuqaha meletakkan syarat bahawa sesuatu ibadat itu boleh digantikan oleh orang lain, sekiranya ia ibadat yang bersifat harta, sebaliknya jika ia ibadat yang membabitkan tenaga seseorang itu sendiri, maka kebanyakan ulama berpendapat ia adalah tertanggung atas dirinya, bukannya orang lain. Ibadat berbentuk harta yang dimaksudkan ialah haji dan zakat, sedangkan ibadah yang merujuk pada tenaga adalah puasa dan solat.
Hujah mereka dalam perkara ini adalah firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat ke 164 yang bermaksud: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah saja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja).”
Ibn Jarir dalam tafsirnya satu pandangan dari Saeid dari Qatadah ayat ini membawa maksud seseorang itu tidak akan memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain.
Demikian juga Ibn Kathir dalam tafsirnya. Sebagai tambahan beliau menjelaskan ayat ini juga mempunyai kaitan dengan ayat ke 18 surah Fatir yang bermaksud: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu daripada kerabatnya sendiri.”
Berpandukan ayat ini ulama secara ijmak mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap kesilapan yang dikerjakan oleh pihak yang lain, sekalipun ayah dan ibunya.
Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk menyebut secara terang pilihannya ialah tidak diwajibkan mengqada ibadat bagi pihak seseorang yang telah mati.
Kata beliau pandangan yang dipilih dalam mazhab ialah pandangan pertama Imam Shafie yang mengatakan bahawa puasa adalah ibadat peribadi yang tidak boleh digantikan oleh orang lain ketika hayat, maka demikian pula tidak boleh diambil gantinya selepas matinya. Ini berdasarkan hadis riwayat Umar ra yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggal dunia, sedangkan dia belum menyem-purnakan puasanya bagi hendaklah dikeluarkan makanan untuk diberikan kepada seorang miskin (untuk setiap hari yang ditinggalkan).
Cuma, al-Nawawi menjelaskan lagi jika sekiranya waris menggantikannya, ia diharuskan kerana ada sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi ada bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka warisnya hendaklah berpuasa untuk pihaknya.”
Ini disebabkan ganti yang diperbolehkan bagi waris dalam konteks hadis ini hanyalah terbatas kepada puasa nazar yang dilakukan oleh seseorang ayah atau ibu yang meninggal dunia itu.
Jadi dalam kes ini, waris yang terdiri daripada anak tidak diwajibkan menggantikan puasa ayah kerana ibadat puasa dan solat tidak sama dengan ibadat haji yang boleh dikerjakan bagi pihak simati. Tambahan pula tidak dikatakan bilangan hari yang ditinggalkan secara tepat.
Nasihat saya memadai bagi anak untuk mentafsirkan bilangan hari yang ditinggalkan itu lalu menyediakan makanan untuk fakir miskin mengikut jumlah yang dianggarkan itu. Seorang fakir miskin nisbahnya untuk sehari yang ditinggalkan. Perkara ini bolehlah dirujuk kepada ibu sekiranya masih hidup ataupun ingatan golongan yang hampir dengannya yang mempunyai rekod kehidupan beliau secara umum atau terperinci.
Jika waris tetap tidak berupaya mengetahui bilangannya, dicadangkan agar melakukan perkara berikut:
l Bersedekah secara istiqamah dengan niat pahalanya untuk simati.
l Meniatkan kebaikan yang dilakukan agar pahalanya diberikan kepada beliau, umpamanya umrah sunat yang dikerjakan ketika di tanah suci dan ibadat yang lain.
l Mendoakan untuk beliau, agar diberikan keampunan atas kesilapannya.
Semoga usaha saudara dan saudari yang bertanya ini adalah satu sumbangan yang amat bermakna untuk ayah yang dimaksudkan oleh Nabi sebagai ikhtiar anak salih seperti ungkapan baginda dalam hadis sahih riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Apabila mati seseorang itu, maka terputuslah amalannya melainkan daripada tiga sumber, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak yang salih yang mendoakan untuknya.”
Kita perlu yakin dengan sebenarnya bahawa walaupun anak yang hidup tidak akan dipersoalkan mengenai dosa ayah dan ibu, namun Nabi pernah bersabda dalam sebuah hadis sahih riwayat Abu Daud dan al-Hakim yang menjelaskan keadaan simati bermaksud: “Mintalah keampunan untuk saudaramu... kerana dia sedang ditanya.”
Andainya suruhan ini diperintahkan kepada kita untuk dilakukan pada rakan dan taulan, sewajarnya ia ia dilakukan kepada ibu bapa kita tentulah lebih-lebih lagi.
Tuhan tidak membebankan perkara tidak mampu dilakukan
SAYA mempunyai satu persoalan yang berkaitan dengan solat sunat yang dinamakan sebagai kifaratul baul. Ini kerana sepanjang hidup saya inilah kali pertama saya mendengarnya. Khabarnya pula solat ini hanya dikhaskan bagi wanita saja, atas alasan untuk menghapuskan dosa wanita kerana wanita mempunyai sedikit permasalahan di dalam solat contohnya apabila pembuangan air yang tidak lawas dan ia mengganggu tumpuan wanita itu untuk bersolat. Saya benar-benar ingin tahu tentang perkara ini. Bolehkah ustaz menjelaskannya?
Hamba Jahil,
KUALA LUMPUR.
Solat sunat ini tidak pernah diajar oleh Nabi SAW dan tidak pernah diajar dalam athar yang disampaikan kalangan sahabat. Jika seseorang wanita itu mendapati dirinya ditimpa masalah yang berkaitan dengan najis keluar berterusan daripada kemaluan, maka dia dimestikan mengikuti wuduk yang ditetapkan bagi golongan yang menghadapi istihadah.
Menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk, wanita yang sedemikian dianggap sentiasa ‘talabbus binnajasah’ yang menyebabkannya perlu beristinjak apabila masuk waktu solat dan menutup saluran qubul ataupun faraj dengan cara yang diyakini tidak membolehkan najis itu mengalir. Selepas itu barulah dia dibenarkan mengambil wuduk untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat tanpa had.
Apabila masuk waktu solat yang berikutnya, dia mestilah mengulangi proses yang sama seperti yang sudah dijelaskan sekalipun wuduknya belum batal melalui cara yang dimaklumi itu.
Selepas berusaha menjaga peraturan yang ditetapkan ini, tiba-tiba seseorang itu masih lagi diserang rasa was-was berhubung kesucian dirinya, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah SWT daripada gangguan dan bisikan syaitan yang mahukannya terus menerus menghadapi kesukaran untuk beribadah kepada Allah SWT.
Muslim perlulah mengetahui bahawa antara rahmat terbesar anugerah Allah SWT buat umat Islam ini adalah Allah tidak akan membebankan mereka dengan perkara yang tidak mampu dilakukan mereka. Hal ini adalah berpandukan kepada ayat terakhir surah al-Baqarah yang bermaksud: “Allah tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat ini adalah jaminan kasih sayang, kelembutan dan rahmat Allah SWT ke atas umat ini. Allah SWT tidak akan memberi azab kepada manusia di atas perkara yang tidak mampu dilakukannya.
Jadi berkaitan dengan perasaan bimbang yang timbul dalam diri saudara dan saudari yang bertanya, saya ingin menjelaskan bahawa selepas kita berusaha melakukan ketetapan syarak ini, maka hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT. Tidak perlu ada kebimbangan dan kerisauan lagi selepas itu.
Sehubungan itu, saya menasihati saudara dan saudari agar sentiasa mendampingi ahli ilmu dan majlis ilmu supaya kita dapat mengetahui perkara yang hak untuk diikuti dan meninggalkan amalan-amalan yang dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai sandaran-sandaran dalil.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment