Wednesday, August 12, 2009

Mempertingkat pemahaman Islam secara berkesan

Mempertingkat pemahaman Islam secara berkesan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Ikim mengambil pendekatan proaktif selesaikan masalah melalui tiga pusat penyelidikan

PENDEKATAN secara proaktif mengenai pemahaman Islam secara berkesan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mampu memberi kesan mendalam kerana pendekatan itu memberi tumpuan bagaimana Islam daripada hanya menceritakan apa itu Islam.

Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, berkata mengemukakan bagaimana Islam mengikut prinsip al-Quran dan as-Sunnah yang mampu diterjemahkan dalam suasana semasa akan menampakkan Islam agama mengutamakan penyusunan manusia sama ada pada peringkat individu serta masyarakat.

Katanya, pemahaman Islam adalah untuk mewujudkan peradaban yang perlu difahami sebagai satu cara hidup yang membina individu pada peringkat pandangan hidup, akhlak, pemikiran dan meningkat kemahiran serta kepakaran.

"Islam juga perlu difahami sebagai satu pendekatan kepada penyusunan masyarakat hingga wujud sebuah tamadun atau peradaban manusia. Dalam konteks Malaysia masyarakat majmuk, pendekatan Islam disandarkan kepada nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dapat kita sesuaikan," katanya.

Beliau berkata, Ikim mengambil pendekatan proaktif menyelesaikan masalah melalui tiga pusat penyelidikannya iaitu Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial; Syariah, Undang-udang dan Sains Politik serta Sains dan Teknologi.

Katanya, isu yang dibangkitkan Ikim melalui penyelidikan seterusnya dibincangkan dalam seminar, kemudian diterbitkan sebagai rujukan selain pandangan dikemukakan di akhbar. Melangkah ke depan, penubuhan stesen radio Ikim.fm melengkapkan medium penyebaran maklumat Ikim.

Isu yang dikemukakan merangkumi kesan serta impak globalisasi, bagaimana bentuk perubahan serta pengurusannya. Ikim turut menjadi pelopor pembangunan piawaian (Standard Malaysia) berkaitan pendekatan Islam, piawaian makanan dan kosmetik.

Perkembangan ekonomi, masalah alam sekitar, keselamatan makanan, pembangunan belia, wanita serta rumah tangga, sains teknologi dan hubungan antara agama turut menjadi perhatian Ikim untuk dibincangkan bagi mencari kaedah terbaik menghadapi cabaran di setiap bidang.

Nik Mustapha yang memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Ikim berkuat kuasa 1 Ogos berkata, institut berkenaan menggunakan pendekatan ke arah pencapaian hidup dalam bentuk ilmiah sesuai peranannya sebagai badan penyelidik dan pemikir.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perlu ada lebih banyak perbincangan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam khususnya mengenai isu semasa atau yang dirasakan memerlukan tumpuan daripada kaedah Islam.

Katanya, melalui jalan muzakarah dapat merapatkan perbezaan pandangan dan menggalakkan perbincangan ke arah memikirkan jalan penyelesaian terbaik selain merapatkan hubungan supaya masing-masing lebih saling memahami antara satu sama lain.

"Perbezaan pandangan lumrah tetapi apabila dibawa berbincang, ia dapat mengurangkan jurang perselisihan. Jika diizinkan dan mendapat sokongan, saya mahu membawa alim ulama, mufti dan cendekiawan Islam dan bukan Islam supaya kita ada kesefahaman, walaupun berbeza pandangan," katanya.

Menjawab persoalan pendekatan Ikim yang terlalu berbentuk akademik, beliau melahirkan pandangan ia perlu bagi disesuaikan dengan matlamat untuk memahami isu melalui fakta yang dikumpulkan dengan terperinci, bukan sekadar andaian.

Contohnya, isu keciciran pelajar yang ingin ditangani perlu mengetahui sama ada ia melanda pelajar luar bandar atau pinggir bandar, latar belakang keluarga, masalah dihadapi dengan bantuan pakar untuk memahami kenapa berlaku keciciran.

Tanpa memahami isu sebenar dan hanya 'tembak' saja, tidak akan menjurus kepada menghasilkan tindakan berkesan. Sedangkan, usaha adalah untuk mencari penyelesaian bukan sekadar perbincangan yang beremosi.

"Kita ingin kemukakan rumusan yang boleh memberi penyelesaian atau mengubah kepada lebih baik. Tidak dinafikan bukan semua masalah boleh diselesaikan kerana hasrat kita adalah mendidik bukan reaktif kepada keadaan.

"Ikim bukan macam bomba, jika ada api datang dan padamkan. Kita memberi bimbingan kerana jika pada awal lagi bangunan dibina dengan kaedah dapat mengurangkan kemungkinan kebakaran, kuranglah risikonya," katanya.

Berbekalkan pengalaman selama 16 tahun bersama Ikim, Nik Mustapha yang memulakan kerjaya sebagai Felo Kanan sebelum dilantik Penolong Ketua Pengarah dan Pengarah Pusat Ekonomi, Kajian Sosial dan Teknologi turut merancang memperkasakan bidang perundingan.

Beliau berkata, Pusat Perundingan dan Latihan Ikim (PPLI) mempunyai banyak modul latihan tetapi dari segi perundingan ia belum diperluaskan supaya dapat diterjemahkan segala penyelidikan serta kajian dalam bentuk pelaksanaan.

Sementara dalam bidang yang Ikim tidak mempunyai kepakaran, institut berkenaan akan menjadi pelopor dan mendapatkan pihak mempunyai kepakaran untuk bersama menjayakan bidang perundingan memenuhi keperluan semua pihak.

Satu lagi peranan boleh diperluaskan Ikim melalui kemampuan yang ada ialah pembangunan program pengajian peringkat sarjana sebagai satu kekuatan dan keperluan umat Islam hari ini untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan yang sentiasa berkembang.

Nik Mustapha berkata, Ikim akan mengenal pasti bidang yang boleh diketengahkan melihat kepada kemampuan dimiliki institusi itu supaya niat mewujudkan pusat pendidikan nanti selari dengan misi, visi serta fungsi Ikim.

"Kita ada banyak perjanjian persefahaman dengan organisasi luar seperti Asian Institute of Management, Universiti Monash yang boleh kita gunakan kepakaran mereka untuk membentuk kursus diploma.

"Kita bukan mahu menjadi universiti tetapi dengan kerjasama dan izin Allah, ia dapat dilaksanakan sebagai satu lagi peranan Ikim untuk menyediakan program berkualiti ke arah meningkatkan pemahaman mengenai Islam," katanya.

Berkongsi aspirasi itu, beliau melahirkan keyakinan akan kemampuan Ikim untuk terus menghasilkan sumbangan besar memenuhi amanah diberi seterusnya meletakkan institut itu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat antarabangsa.

No comments: