Wednesday, August 12, 2009

Awangku Omar teruskan saingan uji kemahiran ilmu membaca al-Quran

Awangku Omar teruskan saingan uji kemahiran ilmu membaca al-Quran





MALAM ini giliran qari Malaysia, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamzah (gambar), memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-52 itu bakal meneruskan saingan negara pada majlis tilawah yang mengumpulkan qari serta qariah daripada pelbagai negara untuk menguji kemahiran dalam ilmu pembacaan al-Quran.

Awangku Omar yang ditemui pada sesi latihan bersama dua tenaga pengajar, Ismawi Duet dan Rahmas Abdullah, melahirkan rasa berdebar di sebalik kegembiraan mewakili negara pada majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ini.



"Saya bersyukur dengan kejayaan pada majlis tilawah peringkat kebangsaan yang membolehkan saya menyertai tilawah peringkat antarabangsa buat pertama kalinya. Pastinya saya insan paling gembira jika berjaya mengharumkan nama negara.

"Bagaimanapun, saya sedar ini bukan pertandingan peringkat daerah tetapi membabitkan qariah dari negara lain yang hebat dalam penguasaan ilmu pembacaan al-Quran. Menyedari itu, timbul juga perasaan berdebar," katanya.

Sementara itu, Ismawi, yang juga bekas qari dari Sarawak yang pernah menjadi johan Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan 1983, yakin dengan kemampuan qari negara untuk menyampaikan bacaan terbaiknya.

Begitu juga Rahmas yang sentiasa mengingatkan qari supaya tidak terlalu memikirkan khalayak yang hadir di Dewan Merdeka PWTC untuk mengelakkan rasa gugup sebaliknya memberi tumpuan kepada misi memperdengarkan bacaan mengikut tuntutan ayat.

Selain dua tenaga pengajar itu, Awangku Omar turut dibimbing guru lain iaitu datuknya sendiri, Pengiran Kerta Pengiran Omar, Bujang Sulaiman, Johari Samad dan Sa'ani Fauzi yang banyak membantu beliau mempertingkatkan penguasaan dalam pembacaan al-Quran secara berlagu.

Bagi pembantu pentadbiran di Tabung Baitulmal Sarawak itu, waktu akhir selepas mengundi ayat, digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki mutu suara yang menjadi kunci kepada kebolehan menyebut huruf dengan betul, menjaga tajwid serta menggayakan lagu.

"Apa juga ruang yang ada akan saya gunakan untuk melakukan persiapan akhir dan besar harapan saya kepada rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya. Kalah menang adat pertandingan dan cita-cita saya ialah melakukan yang terbaik supaya wahyu Allah terus dihayati," katanya.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 disertai 61 peserta dari 34 negara. Seramai 14 hakim daripada 12 negara terbabit dalam menghakimi bacaan qari dan qariah.

Johan qari dan qariah bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM13,600 (AS$4,000) berserta piala pu singan dan sijil penyertaan; naib johan RM10,200 (AS$3,000); ketiga RM6,800 (AS$2,000) dan keempat, RM3,400 (AS$1,000).

Orang ramai dijemput memenuhkan Dewan Merdeka PWTC malam ini bagi memberi sokongan kepada qari negara, Awangku Omar yang akan memperdengarkan bacaan bersama 10 qari serta qariah lain.

No comments: