Wednesday, August 12, 2009

ISA wajar dipinda selari keadilan diperjuang Islam

ISA wajar dipinda selari keadilan diperjuang Islam

Oleh Musa Awang

Kajian dari perspektif Islam bantu kerajaan perbaiki Akta Keselamatan Dalam Negeri

AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di negara ini dan mutakhir ini kedengaran desakan oleh pelbagai pihak supaya dimansuhkan.

Menurut akta ini, sesiapa saja boleh ditahan polis 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan atas tindak-tanduk yang dianggap mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Seseorang yang ditahan ISA 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan keluarga tidak dibenar melawat tahanan.

Selepas 60 hari, tahanan boleh ditahan lagi dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Jika perintah penahanan dua tahun ditandatangani, tahanan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting, Perak untuk tempoh ditetapkan dan baru keluarga dibenarkan melawat.

ISA dirangka RH Hickling dan dijadikan undang-undang pada 1960. Sejak akta itu digunakan, ia dipinda lebih 20 kali. ISA adalah undang-undang tahanan pencegahan.

Dalam masyarakat pelbagai agama dan kaum, undang-undang seperti ini perlu bagi membendung tindak-tanduk yang mengancam atau menggugat keselamatan negara.

Pada 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau mengatakan ISA adalah undang-undang yang perlu dan mengemukakan hujah: "Kami (kerajaan) tidak pernah menyalahgunakan ISA.

"Semua mereka yang ditahan di bawahnya terbukti mengancam masyarakat secara umum."

Dalam keadaan kestabilan kaum di negara ketika ini seperti bom jangka dengan bukan Bumiputera lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dan membelakangkan kontrak sosial serta prinsip jus soli, sejarah yang makin dilupakan, apakah jaminan yang boleh memastikan bom itu tidak meletup. Bukankah ISA antara jaminannya?

Perkara 149, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mencegah kegiatan subversif.

Kuasa menangani kegiatan dan anasir subversif ini terlalu luas sehingga boleh merangkumi apa saja keadaan yang dianggap mengancam ketenteraman awam termasuk yang belum berlaku.

Ada pihak yang mengemukakan hujah penahanan tanpa perbicaraan adalah kezaliman. Nada suara mereka selari dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang dipelopori Amerika Syarikat dan Britain.

Realitinya sekarang, Amerika Syarikat dan Britain ada juga undang-undang pencegahan yang hampir sama iaitu Patriot Act dan Terrorist Act di Britain yang membenarkan kerajaan menahan sesiapa saja tanpa perbicaraan jika disyaki menjadi anasir atau penyokong keganasan.

Walaupun ISA diwujudkan untuk membendung unsur komunis selepas merdeka, kita perlu melihat sejarah. Selepas dikuatkuasakan akta ini mengalami 20 pindaan.

Cadangan dan perkara yang perlu dipinda dalam ISA.

# Pindaan kepada Seksyen 73 (1) ISA yang menyatakan sesiapa pun boleh ditahan polis 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Tahanan 60 hari adalah tempoh lama dan tidak munasabah. Dalam kes membabitkan keselamatan negara, ia sepatutnya segera disiasat polis dan diberi keutamaan. Adakah adil dan wajar seseorang ditahan tanpa perbicaraan 60 hari sedangkan polis mempunyai bukti dan menjalankan siasatan berlaku tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara, sebelum tangkapan. Tempoh yang mungkin munasabah, paling lama ialah 21 hari.

# Seseorang yang ditahan di bawah ISA juga perlu dibenar mendapatkan khidmat peguam dalam tempoh tahanan itu dan perlu dibenar berjumpa keluarga sesuai dengan kehendak Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

# Pindaan juga perlu kepada Seksyen 8 Akta ini yang sebelum ini menyatakan selepas 60 hari, tahanan boleh ditahan dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Seksyen ini perlu dipinda dengan kuasa menahan seseorang oleh mahkamah saja.

Kuasa diberi kepada Menteri Dalam Negeri yang membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk mahkamah dibatas atau dimansuhkan.

# Peruntukan dimansuhkan pada 1989 yang membolehkan mahkamah menyiasat kuasa menteri di bawah peruntukan ini perlu diadakan semula dengan beberapa pindaan.

Kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara teknikal berkenaan penahanan di bawah ISA, tanpa melihat apakah rasional tangkapan sama ada benar demi keselamatan awam atau bermotifkan politik.

Suatu badan atau suruhanjaya bebas yang terdiri daripada kerajaan, pembangkang, aktivis masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dibentuk bagi mengkaji apakah ISA sinonim dengan kestabilan dan ketenteraman awam?

Adakah kestabilan negara ini berpunca daripada undang-undang seperti ISA? Suruhanjaya bebas ini juga perlu mengkaji apakah benar penganiayaan di bawah ISA berlaku?

Suatu kajian dari perspektif Islam oleh pakar Islam dan mufti juga perlu dijalankan adakah ISA ini bercanggah atau tidak dengan justifikasi di sisi Islam sebagai agama rasmi negara.

Adakah Islam membenarkan seseorang ditahan sedemikian jika wujud unsur yang disyaki membahayakan Islam dan penganutnya?

Bukankah Islam membenarkan rakyat mengkritik pemerintah? Tetapi bagaimanakah cara kritikan yang boleh dibuat menurut Islam? Mengapa ada pihak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Islam tidak pula ditangkap mengikut ISA?

Penulis adalah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

No comments: