Bersama YaPEIM: Nilai ekonomi daripada perspektif agama dan budaya
ETOS keusahawanan berkait dengan nilai ekonomi oleh itu, umat harus disedarkan mengenai hakikat setinggi mana Islam membuat gambaran dan menempatkan harta kekayaan, seterusnya sejauh mana Islam menghargai kegiatan perekonomian.
Yang jelas, harta (mal) termasuk dalam senarai lima keperluan asasi yang menjadi matlamat syariat atau maqasid al-shariah. Selain kata mal (harta), al-Quran juga menggunakan kata lain untuk harta iaitu khayr yang bermakna kebaikan.
Oleh itu, harta dianggap suatu yang perlu, mulia dan dilindungi sehingga pencerobohan terhadap harta orang lain adalah jenayah berat yang membawa hukuman potong tangan. Bekerja mencari harta halal adalah amal mulia di jalan Allah.
Ketika ditanya apa yang terbaik untuk dimakan, Rasulullah SAW menjawab, yang terbaik adalah hasil titik peluh sendiri dan perniagaan halal.
Sekembalinya dari perang Tabuk, Rasulullah SAW melihat tangan Sa’d ibn Musa al-Ansariy melepuh, sementara kulit tubuhnya tampak kehitam-hitaman akibat terpanggang oleh panas matahari, lalu Baginda SAW bertanya kenapa tangannya menjadi seperti itu.
Sa’d menjawab: “Kerana saya mengerjakan tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga tanggungan saya. Mendengar jawapan itu Baginda SAW segera menyambar tangan yang melepuh itu lalu menciumnya sambil berkata: Inilah tangan yang tidak akan disentuh api neraka.”
Peristiwa dan dialog itu berlaku begitu singkat, tetapi cukup untuk mengungkapkan hakikat ketinggian nilai ekonomi yang jika diletakkan dalam perspektif Islam adalah suatu bersifat murni. Kegiatan ekonomi adalah amal pengabdian dan wahana mendapatkan rahmat kasih sayang Tuhan.
Nilai ekonomi juga termasuk dalam komponen nilai utama kebudayaan Melayu. Harta kekayaan selalu dilambangkan dengan kata emas. Memang sudah sejak lama Melayu menyedari emas mempunyai nilai kewangan lebih kukuh.
Pemberian mas kahwin oleh suami kepada isteri dalam akad nikah walaupun dalam bentuk wang tunai tidak hanya sebagai keperluan sara hidup, lebih daripada itu ia adalah lambang maruah atau kehormatan diri.
Etos keusahawanan juga harus berteraskan nilai ilmu, tidak hanya kerana tuntutan k-ekonomi yang banyak dikaitkan dengan realiti perekonomian masa kini, tetapi memang Islam selamanya menjunjung tinggi nilai ilmu.
Sejarah Islam sendiri bermula dengan revolusi keilmuan dengan bukti nyata perkataan iqra’ (bacalah) sebagai kalimat pertama ditanzilkan. Betapa kritikalnya nilai ilmu dapat difahami daripada kenyataan bahawa dalam lima ayat pertama surah al-‘Alaq, iqra’ diulang dua kali.
Kata ilmu diulang tiga kali dan disebut perkataan al-kalam iaitu alat tulis terpenting sepanjang sejarah. Ilmu dalam pengertian Islam bukan sekadar maklumat, tetapi kebenaran. Selain itu, kata ilmu selalu terangkai dengan kata manfaat.
Sebutan ilmu bermanfaat terasa lebih kuat dan lebih tepat berbanding istilah ilmu yang produktif yang popular ketika ini. Ilmu bermanfaat tidak cuma harus produktif, tetapi relevan dan membawa kebaikan.
Revolusi keilmuan sudah tersebar luas menjadi bahagian daripada proses Islamisasi di mana-mana, termasuk alam Melayu. Gerakan pendakwahan di rantau ini, dari satu segi adalah gerakan revolusi celik huruf.
Dengan demikian kemahiran tulis baca dan seterusnya tradisi ilmu tidak lagi menjadi monopoli pujangga istana, tetapi sudah tersebar luas, merakyat dan membudaya. Demikianlah buat kali pertamanya proses pendemokrasian ilmu berlaku di bumi Melayu.
Gerakan itu berhasil mentransformasikan masyarakat setempat daripada masyarakat berbudaya mitos, tahyul dan dongeng kepada masyarakat bertradisi ilmu berasaskan kebenaran wahyu dan pemikiran ilmiah akliah.
Sejak itu kesedaran mengenai nilai ilmu tumbuh dan berkembang menjadi nilai kolektif seperti diabadikan dalam pantun tradisional, timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab.
Baca kitab adalah kata-kata jelas mengungkapkan makna keilmuan. Pantun yang cukup merakyat itu juga membawa mesej bahawa usaha menguasai ilmu harus bermula seawal mungkin (belum tumbuh gigi). Selain itu, penguasaan ilmu dalam perspektif etos Melayu mencapai tahap setinggi mungkin.
Demikianlah mesej yang terkandung dalam pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.
Ungkapan berguru kepalang ajar adalah pernyataan menolak penguasaan ilmu yang alang-kepalang atau tidak mencapai tahap memadai. Dengan kata lain, sebenarnya sudah sejak lama Melayu menolak kualiti tidak berapa baik dalam bidang penguasaan ilmu.
Sebagai suatu idealisme bangsa, nilai ilmu turut mencorakkan perwatakan wira tradisional Melayu, Hang Tuah yang disebut menguasai 12 bahasa dunia. Demikianlah, Hang Tuah sebagai wira zaman tradisi adalah perwujudan citra manusia ideal yang mencerminkan nilai bangsa Melayu, termasuk nilai ilmu.
Andainya citra kecendekiawanan Hang Tuah hendak diungkapkan dalam bahasa masa kini, mungkin kita dapat mengatakannya sebagai ilmuwan global yang menguasai ilmu pelbagai budaya dan dengan demikian berkompetensi menjadi pemain global.
Manusia ideal dalam budaya Melayu juga diungkapkan dengan kata orang budiman. Yang menjadi kata kuncinya adalah budi, kata yang selalu terangkai dengan kata-kata lain seperti akal budi, budi bahasa dan budi pekerti.
Dengan demikian, orang budiman adalah ungkapan yang mengekspresikan keutuhan dan keseimbangan watak manusia unggul yang dicirikan oleh sejumlah kualiti: manusia berilmu, bijaksana, taat beragama, berakhlak mulia dan suka berbakti.
Sambungan kertas kerja Felo Utama Akademi Pengurusan YaPEIM, Datuk Dr Siddiq Fadzil, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment