Wednesday, July 8, 2009

Peguam Syarie Menulis: Pinda peruntukan tertentu benar orang bukan Islam hadir mahkamah syariah

Peguam Syarie Menulis: Pinda peruntukan tertentu benar orang bukan Islam hadir mahkamah syariah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Institusi sivil kena iktiraf perintah pihak syarie agar tiada unsur melampau

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membincangkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pertikaian perkahwinan membabitkan pasangan bukan Islam yang berkahwin melalui Undang-undang sivil dan salah seorang daripada pasangan itu memeluk agama Islam.

Justeru, PGSM mencadangkan pendekatan menyelesaikan pertelingkahan menggunakan prinsip syariah menerusi sistem mahkamah syariah, berbanding undang-undang sivil serta mengesyorkan pendekatan itu adalah ruang lingkup niat secara literal dan spiritual Perlembagaan Persekutuan.

Cendekiawan Islam sudah menyediakan panduan cukup berhubung prinsip Islam (hukum syarak) dalam masalah ini dan sebahagian prinsip itu ialah dalam keadaan membabitkan perkahwinan bukan Islam, apabila seorang pasangan memeluk Islam, selepas tamat edah, perkahwinan mereka secara automatik dibubarkan, jika pasangannya tidak masuk Islam.

Dalam keadaan seorang isteri tidak mahu menganut agama Islam mengikut suaminya, apabila tamat edah, isteri akan hilang haknya untuk menuntut tanggungan daripada suami yang masuk Islam, kecuali jika dia mengandung, tanggungan patut diberi oleh suami sehingga melahirkan anak.

Bagaimanapun, apabila salah seorang memeluk agama Islam, suami masih mempunyai tanggungjawab menanggung perbelanjaan anak sehingga mereka mencapai umur baligh.

Begitu juga perkara berhubung kait dengan anutan Islam salah seorang pasangan, agama anak bawah umur baligh automatik dikira sebagai Muslim apabila anutan seorang daripada pasangannya.

Ia berpandukan kepada artikel Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman yang dilaporkan di Berita Harian (15 Mei 2009) berhubung dalil penting mengenai isu ini iaitu merujuk firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan." (Surah al-Thur, ayat 21)

Mazhab Syafie mengambil dalil di atas sebagai dalil yang kuat berkenaan anutan Islam anak bawah umur apabila salah seorang pasangannya memeluk agama Islam.

Dengan demikian, hak Muslim boleh mendesak kerajaan supaya mereka ditadbir oleh prinsip Islam tidak boleh dipersoalkan, kerana masalah ini akan membabitkan orang bukan Islam.

Hakikatnya, semua prinsip Islam yang dinyatakan di atas jelas merangkumi keadaan orang yang asalnya bukan Islam dan berkahwin menerusi undang-undang perkahwinan sivil kemudian memeluk Islam.

Keadaan yang akan dinyatakan adalah seorang Muslim boleh menuntut kepada Persekutuan untuk membenarkan dirinya ditadbir oleh prinsip Islam meskipun pihak yang satu lagi bukan Islam.

Berpandukan panduan dibuat cendekiawan Islam, sekali lagi tidak dapat dinafikan orang bukan Islam mempunyai pelbagai cara memulihkan keadaan walaupun diambil daripada prinsip Islam dalam menyelesaikan masalah ini.

Ada dalil kukuh menyatakan seorang daripada pasangan bukan Islam sama ada suami atau isteri masih boleh menuntut hak penjagaan anaknya walaupun anaknya menjadi Muslim apabila ibu atau bapanya memeluk agama Islam.

Sudah tentu ibu bapa yang bukan beragama Islam mahupun ibu bapa beragama Islam perlu membuktikan kesnya bagi menyokong tuntutannya. Hakim perlu memutuskan berdasarkan fakta serta bukti dan hakim boleh memberikan hak penjagaan anak orang Islam kepada bukan Islam jika mereka layak.

Pandangan ini menolak pandangan mengatakan tiada kaedah pemulihan yang boleh didapatkan oleh bukan Islam mengikut undang-undang Islam (hukum syarak).

Malah, kandungan dalam Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1 Perlembagaan Persekutuan dilihat bertentangan dengan perkara 3 (1) yang memberikan mahkamah syariah bidang kuasa hanya ke atas orang Islam saja.

Sedangkan PGSM berpendapat menjadi tanggungjawab mahkamah syariah untuk menentukan masalah membabitkan pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam, terutama dalam pertikaian perkahwinan.

Kita ada penyelesaian melalui perundangan Islam. Oleh itu, ia akan memperlihatkan kepatuhan kepada Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1, mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya untuk orang Islam.

Perkara ini jelas bertentangan dengan hukum syarak dan oleh kerana itu `ultra vires` kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Orang bukan Islam mengikut hukum syarak boleh dan dibenarkan dan tanpa halangan untuk memberi keterangan di mahkamah syariah tetapi bukan Islam rasa terhalang kerana peruntukan di atas.

Masalah isi kandungan Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1, diterjemahkan sebagai syarat awal dalam pelbagai enakmen negeri yang mengawal bidang kuasa mahkamah syariah. Adakah untuk menerangkan kebenaran orang Islam ditadbir oleh prinsip Islam dalam masalah ini seterusnya menutup pintu kepada orang bukan Islam untuk datang ke mahkamah syariah?

Perlembagaan mesti dipinda untuk membuang keterbatasan Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1, khasnya dalam permasalahan berhubung pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam.

Pertikaian perkahwinan berkenaan anutan Islam seorang pasangan diselesaikan melalui pindaan peruntukan Akta Undang-undang Pembaharuan (LRA) termasuk Seksyen 51 dengan memaksa pasangan beragama Islam menuntut haknya mengikut undang-undang sivil di mahkamah sivil.

Jika kita terpaksa meminda LRA untuk memaksa orang Islam membawa masalah ini ke mahkamah sivil, cadangan itu jelas akan menjadi ultra vires Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan ini tidak termasuk Perkara 121 1 A mengenai bidang kuasa mahkamah syariah.

Ia juga menjadi satu yang ganjil untuk melakukan sedemikian kerana kedudukan Islam ketika zaman penjajahan dan ketika permulaan Persekutuan sudah diiktiraf dan penggunaan undang-undang Islam kepada orang Islam dikekalkan.

Adalah penting diambil perhatian penggunaan sebenar hukum syarak boleh dilihat dalam pelbagai enakmen Islam lama. Contohnya, enakmen lama Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No 3 1952 menyediakan untuk pengesahan bahawa kanak-kanak yang lahir hasil perkahwinan bukan Islam akan secara automatik disahkan Islam apabila seorang pasangan memeluk agama Islam.

Ia adalah misteri bagaimana peruntukan itu yang selari dengan undang-undang Islam sebenar sudah terhakis ditelan zaman sehingga enakmen terkini menetapkan kepada ibu bapa yang masuk Islam untuk mengislamkan anak mereka.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak tidak secara automatik masuk Islam. Jika amalan ini tidak dihentikan, ditakuti kemudian kita akan mendapati kedudukan Islam mengikut Perkara 3 (1) hanya menjadi ilusi.

Saranan PGSM, bagi kerajaan untuk menasihat haruslah dengan pendekatan konsisten dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan orang Islam mengamalkan apa dituntut ke atas mereka, adanya hukum syarak jelas disahkan oleh cendekiawan Islam.

Meminta kerajaan meminda peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang bukan Islam hadir ke mahkamah syariah menentukan masalah membabitkan pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam.

Jika pindaan seksyen 51 dibuat, ia haruslah dibenarkan hanya untuk setakat tujuan pentadbiran. mahkamah sivil mesti mengiktiraf perintah yang dibuat oleh mahkamah Syariah, mahkamah sivil tiada bidang kuasa melampaui, melangkau atau meminda perintah mahkamah syariah.

Ia adalah satu-satunya cara membenarkan pasangan bukan Islam dilepaskan dan mendapat dekri yang mutlak (Perintah Pembubaran) supaya dapat membenarkan pasangan bukan Islam meneruskan kehidupan mereka.

Semua `relief` sampingan hendaklah dimohon di mahkamah syariah bahawa orang bukan Islam mendapat kaedah penyelesaian dan keadilan melalui perundangan Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

No comments: