Tuesday, November 13, 2007

Bukan Yang Pertama (Siri 132)

Oleh SALINA IBRAHIM

Dingin di ruang menunggu bagaikan tidak terasa. Kesepian yang membelenggu suasana sudah tidak menggigit. Sebaliknya debar dan gementar dalam dada yang lebih menekan. Darah mengepam bagaikan tidak ketahuan alunannnya.

Yasmin Zulaikha tersandar lesu di kerusi. Umar Khalil di sebelahnya menggenggam erat tangan si isteri. Anis kelihatan terlentok di deretan kerusi keras di hadapan mereka. Seorang dua jururawat sesekali keluar masuk entah menguruskan apa di dalam.

Dingin penyaman udara ditokok dengan dingin pagi masih tidak mampu menyamankan hati yang lara.

“Mak akan okey. Dia akan okey...” Umar Khalil berbisik, merenung wajah Yasmin Zulaikha, mengejapkan pautan tangannya.

Yasmin Zulaikha membalas genggaman tangan itu, terasa diri selamat di bawah naungan suami. Pandangan Umar Khalil beralih pula pada tangan isteri, melihat jari-jemari yang masih dimerahi inai. Dia cuba menyelami perasaan yang membelenggu dada isteri.

“Insya-Allah,” Yasmin Zulaikha membalas.

Seorang jururawat melintas di hadapan mereka, mengumbarkan senyuman sebelum bergegas masuk ke bilik rawatan.

Yasmin Zulaikha memicit kepala yang terasa pusing. Ingatannya berpusar balik ke wajah emak yang pucat. Subuh tadi mereka gempar sejenak ketika Anis memaklumkan emak mengadu sakit teramat sangat.

“Anis hendak ke bilik air ambil wuduk. Ternampak emak merangkak keluar dari bilik...” beritahu adiknya itu dalam cemas.

“Mak pening sangat. Nampak gelap semuanya. Mak nak ke bilik air, tapi tak nampak jalan...” Emak sempat mengadu, menceceh dalam suara perlahan tertahan.

Dia dan Anis tolong mewudukkan emak sebelum orang tua itu solat baring di atas katil. Kemudian dia mengadu pening teramat dan mahu tidur sebentar.

“Kita pergi klinik ya mak...” Anis memujuk tetapi orang tua itu menggeleng menandakan keengganan.

Umar Khalil yang kerisauan sedikit memaksa dan akhirnya emak mengalah. Namun doktor di pusat rawatan menyarankan supaya mereka ke hospital saja.

“Saya tengok emak encik ni seperti penat sangat. Lebih elok ke hospital. Kami di klinik biasa ni tak banyak kemudahan...” kata doktor kepada Umar Khalil.

Menyirap

Umar Khalil mengisar tubuh. Yasmin Zulaikha tersentak, bercempera ingatan lalu. Dia membetulkan duduk, menegakkan badan. Mengalih pandangan, tertampan pada Anis yang masih lena-lena ayam.

Umar Khalil menerpa bangun sejurus melihat pintu bilik rawatan terbuka. Seorang doktor lelaki keluar bersama seorang jururawat. Yasmin Zulaikha juga sedikit tergesa tergopoh-gapah menurut.

“Emak encik perlu ditahan di wad. Senang kami memantau keadaan...” doktor separuh umur itu bersuara.

“Buatlah apa yang terbaik doktor,” Yasmin Zulaikha menyampuk.

Umar Khalil mengangguk tanda bersetuju.

“Er, satu lagi... eloklah panggil adik beradik lain datang. Saya tidak bermaksud apa-apa, tapi jika apa-apa berlaku, tidaklah terkilan sangat....” doktor itu sekali lagi berhati-hati mengatur bicara.

Yasmin Zulaikha terasa darah menyirap naik ke wajah. Tetapi dia cuba bertenang. Umar Khalil mengangguk, berjanji akan berbuat sesuatu.

Emak kelihatan sebegitu lesu tidak bermaya ketika diusung dan ditempatkan di wad. Namun dia sudah boleh membuka mata dan cuba tersenyum melihat anak menantu mengelilinginya.

Yasmin Zulaikha memegang tangan emak. Mahu mendengar sesuatu dari mulut emak tersayang.

“Mak rasa mak tak lama lagi...”

“Jangan cakap begitu. Mak hanya penat sangat...” si anak cuba menenangkan.

“Minta maaf sebab menyusahkan Min dengan Umar. Patutnya kamu berdua gembira pergi bercuti tapi sekarang kena jaga mak pula...” orang tua itu masih mahu bersuara dalam letih sedunya.

“Kita biar mak berehat. Nanti kita datang balik...” Umar Khalil memegang bahu isterinya.

Menjelang petang, emak dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana sesak nafas pula. Ketika dijengah ke sana, dia sekadar membuka mata sedikit. Sekadar itu isyarat yang mampu diberikan ketika melihat satu demi satu wajah anak menantu dan cucu-cucu yang bergilir-gilir masuk menemuinya.

Yasmin Zulaikha berwajah muram di sudut. Dalam hati paling dalam, memanjatkan harapan yang bukan sedikit. Dia cuba menanam benih optimis dalam diri. Berkali-kali dia berbisik bahawa emak akan selamat walau dalam situasi apa pun dirinya sekarang.

“Zu baliklah dulu, berehat,” Umar Khalil menyarankan ketika melihat dia tersepuk lemah di kerusi keras di luar unit rawatan rapi.

“Zu okey lagi...” dia membalas.

“Zu nak makan, nak minum apa-apa? Abang boleh pergi beli...” Sekali lagi suami menawarkan khidmat.

“Tak mengapa, Zu pergi sendiri. Abang nak kirim apa-apa?”

Umar Khalil menggeleng. Yasmin Zulaikha beredar keluar ke kafeteria, sementara suaminya masuk semula menjenguk emak di dalam kamar.

Menatap

Sepanjang laluan ke kafeteria terasa sunyi sepi. Senja semakin menyerkup alam. Sudah lebih 10 jam dia berada di hospital ini sejak awal pagi tadi. Selepas emak dimasukkan ke wad pagi tadi, mereka pulang sebentar ke rumah untuk berehat. Tetapi nyata hati tidak tenteram untuk berehat. Umar Khalil bergegas keluar semula dan dia mengambil keputusan mengikut.

Anis datang lewat sedikit bersama Abang Yassin, kakak ipar dan anak-anak saudaranya. Kemudian beberapa orang jiran tetangga akrab termasuk Tok Ketua Alang Karim suami isteri tiba. Mereka hanya sekadar dapat menatap wajah emak tetapi tidak boleh berbual apa-apa dengannya.

Melangkah masuk ke ruang kafeteria yang hanya ada dua tiga orang penghuni, membeli secawan kopi dan sebiji roti ban, dia duduk menyendiri di sudut. Merenung kopi hitam di dalam cawan yang mengeluarkan asap nipis, jelas dia sudah kehilangan selera.

Terasa berat dugaan yang melanda. Tetapi selalu dia bisik-bisikkan dalam diri, ini bukan kali pertama diuji. Sudah berkali-kali dia diuji. Makanya dia harus tabah dan kuat.

“Seorang?” Seorang wanita ramah menegur. Tersentak tetapi segera dia mempersilakan wanita itu duduk.

Hukum alam

“Nama kakak Fatiha. Rasa janggal makan seorang. Kawan berdua, boleh juga berbual-bual. Adik tunggu orang? Kalau tak silap, tadi kakak nampak adik di luar unit rawatan rapi....”

“Tunggu mak saya...” lesu dia membalas. Suara terasa serak sebak tidak semena-mena. Terasa wajah tegang dan gagal lagi menarik senyuman.

Wanita di hadapannya tersenyum juga. Walaupun tawar tetapi jelas terasa ikhlas.

“Sabarlah. Kadangkala kita perlu persiapkan diri untuk hadapi kehilangan. Ini hukum alam. Jangan rasa terlalu terikat, kalau tidak, kita akan terseksa sendiri. Belajar untuk melepaskan kerana lambat atau cepat, kita akan kehilangan juga...” lembut teratur suara wanita itu menuturkan.

Yasmin Zulaikha membetulkan duduk. Dia mengangkat cawan, menghirup sedikit, membiarkan kafein mempengaruhi deria rasanya.

“Kakak pernah kehilangan?” dia menyoal ketika cawan kembali mengambil tempat di dalam piring.

“Hospital ini sudah macam rumah kedua kakak sejak tiga empat tahun kebelakangan ini. Tiga anak kakak seorang demi seorang masuk ke sini. Kata doktor, kerana sakit keturunan. Sudah dua anak kakak meninggal dunia, sekarang anak ketiga menunjukkan tanda penyakit yang sama...”

Yasmin Zulaikha termenung panjang.

(Bersambung)

No comments: