Bersama Prof Dr Sidek Baba
SEJARAH pembentukan bangsa Malaysia tidak dapat menafikan kepentingan bangsa Melayu sebagai bangsa teras.
Pembinaan perlembagaan negara tidak saja mengambil kira faktor universal dan setempat, malah memberi peruntukan bagi mengukuhkan bangsa teras supaya menjadi pancang dalam kekuatan bangsa Malaysia.
Konsep bangsa teras tidak harus dilihat dalam perspektif perkauman atau bangsa lain sebagai bangsa kelas kedua atau ketiga.
Corak budaya dan kehidupan yang mengakar sekian lama di bumi Malaysia ini adalah pancaran nilai dan amalan yang memupuk jiwa harmoni serta damai di kalangan warganya.
Bangsa teras adalah penting bagi Malaysia kerana ia menjadi faktor kestabilan dalam konteks bangsa yang berbilang. Ia tidak harus menafikan pembabitan bangsa lain dalam proses bina negara dan merasai kemakmuran secara bersama.
Bangsa teras adalah bangsa yang dirujuk sebagai bangsa pengimbang yang memberi ruang kepada setiap warga negara bergerak maju dan menyumbang terhadap pembangunan negara.
Sejarah subur tradisi Baba dan Nyonya di Melaka memperlihatkan bagaimana kelompok daripada tamadun besar mampu melakukan penyesuaian dengan masyarakat setempat teras tanpa perlu mereka memeluk agama Islam.
Asas ini amat menarik untuk dikaji walaupun gelombang kedua kedatangan orang luar ke Malaysia suatu ketika dulu membawa orientasi yang berbeza daripada tradisi Baba dan Nyonya.
Sejarah membuktikan pendekatan asimilasi dalam beberapa hal berjaya mewujudkan integrasi yang hebat.
Kekuatan masyarakat teras yang dimulakan Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melaka memberikan landasan kekuatan bangsa Melayu sebagai perancang, ahli strategi, pentadbir, ahli perniagaan dan maritim yang berjaya mengundang lebih 84 negara berdagang (Kitab Sejarah Melayu).
Sejarah Tun Perak dan kemajuan Melaka adalah lambang pembebasan tahyul dan fahaman feudal yang menebal dan membawa bangsa Melayu ke cabaran hidup sebenar.
Melaka pada zaman Tun Perak amat dibanggakan kerana bangsa Melayu mampu menjadi teras dan pelabuhan Melaka menjadi pusat pelabuhan masuk yang terkenal.
Ternyata Melaka selepas zamannya terjebak dalam kemelut kepemimpinan yang 'lupa' dikelilingi oleh penasihat yang 'berkepentingan' dan akhirnya Melaka dijajah untuk ratusan tahun.
Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang adalah satira klasik membayangkan kerakusan nafsu pemimpin pada waktu itu melupakan amanah kepemimpinan dan amanah rakyat.
Sejarah boleh mengulangi jejak. Amat penting bangsa teras mempunyai kekuatan sebagai bangsa pembimbing dan bangsa memimpin dengan kualiti kepimpinan dan pengikut yang mantap dan berwibawa.
Bangsa teras adalah bangsa yang memiliki ilmu, keahlian dan kebijaksanaan. Bangsa ini dicontohi dan dihormati orang lain. Ia bukan dihormati semata-mata kerana status-quo atau kenyataan sejarah menyebabkannya demikian. tetapi keupayaan mengurus negara dan sistem menjadikannya dihormati.
Sejak merdeka kuasa politik masih berada di tangan orang Melayu, kemajuan pendidikan berkembang dengan baik, penguasaan ekonomi masih dalam pertikaian dan upaya kepemimpinan memperlihatkan cabaran baru hasil faktor setempat dan dunia.
Keupayaan bangsa teras yang seharusnya mampu menimbulkan rasa hormat orang lain ialah terletak kepada wibawa yang dimiliki. Antara wibawa yang membentuk jalan berfikir dan bertindak bangsa Melayu ialah kekuatan Islam yang menjadi pedoman hidup dan upaya pengurusannya.
Islam yang seharusnya mendasari jalur berfikir orang Melayu tidak saja sifatnya rohaniah tetapi terbentuk dengan tunjangan ilmu yang sifatnya membina jalan tamadun. Asas fardu ain yang sekian lama dikembangkan kepada anak tidak memadai menghadapi cabaran terkini.
Cabaran terkini tidak saja di sekitar persoalan akhlak dan tingkah laku tetapi menuntut upaya intelektual serta saintifik yang tinggi supaya perubahan atau kemajuan yang dibina berada dalam acuan kita sendiri.
Acuan kita sendiri tidak saja melihat kepentingan ilmu Barat dan Timur sebagai faktor berbanding yang menyumbang tetapi dalam masa sama harus memiliki kemampuan mengolah pembangunan modal insan dengan memperkasa sistem pendidikan yang lengkap.
Pendidikan lengkap bakal menemukan kekuatan ilmu konvensional dan gandingan ilmu Islam yang mampu mendukung tamadun.
Dasar pendidikan negara menghantar pelajar terpilih ke luar negara adalah suatu langkah bijak mendedahkan generasi muda terhadap ilmu baru dan kajian terkini bagi membolehkan pelbagai ilmu pengetahuan diambil yang sifatnya menyumbang ke arah perubahan dan pembangunan negara.
Pada masa sama, perlu ada suatu pendekatan supaya modal insan yang terbaik dikenal pasti dan diperkasa bagi latihan pada tahap tinggi supaya kualiti pencapaiannya dapat menyumbang ke arah mengangkat martabat bangsa teras sebagai bangsa yang mampu mengolah zaman dan membimbing perubahan.
Pendekatan ini harus dijadikan keutamaan supaya negara mempunyai tenaga pakar yang mampu menghasilkan penemuan baru yang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment