Tuesday, November 13, 2007

Perspektif IKIM: Berakhlak agih laba harmonikan niaga

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


REZEKI HALAL: Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan mampu menghasilkan pendapatan lumayan.

Kemuliaan pemimpin firma utama tanggungjawab sosial bina taraf hidup rakyat

PERNIAGAAN adalah amalan ekonomi yang penting dalam menyusun serta membangun sesebuah masyarakat dan negara. Bahkan, keutuhan sesebuah tamadun masyarakat berkait rapat dengan amalan perniagaan dalam masyarakat terbabit.

Nabi SAW mengingat umat Islam mengenai pentingnya amalan perniagaan. Baginda SAW ada bersabda bahawa 90 peratus punca rezeki di dunia adalah daripada amalan perniagaan.

Memahami peringatan Nabi SAW itu, umat Islam perlu memberi tumpuan penting kepada sektor perniagaan. Dalam hubungan itu, Malaysia berhasrat mewujudkan masyarakat peniaga dan perindustrian Bumiputera yang cemerlang dan berjaya.


Dalam usaha ke arah pencapaian itu, kita perlu membangun satu pendekatan dalam amalan perniagaan yang berdaya maju secara berterusan, menghala kepada keharmonian kehidupan masyarakat keseluruhannya semoga tamadun yang dibina akhirnya menepati keredaan Ilahi.

Memantapkan budaya perniagaan semoga usaha gigih golongan berkenaan terus cemerlang dalam suasana globalisasi ekonomi masa kini, pendekatan perniagaan yang unggul perlu diketengahkan iaitu keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial.

Pendekatan ini jika dihayati dengan tepat pasti akan membawa hasil positif bukan saja kepada prestasi perniagaan, sekali gus dapat membangun keadilan sosioekonomi dan tamadun masyarakat.


Pendekatan itu menganjurkan kepada keharmonian antara kepentingan atau hak peniaga menerusi amalan kebajikan masyarakat. Pendekatan itu turut menjadi asas kepada penyusunan dan pembinaan sesebuah tamadun masyarakat manusia.

Dalam teori perniagaan semasa, pendekatan pemegang saham adalah memberi tumpuan kepada kebajikan hasil daripada perniagaan dinikmati semua yang terbabit seperti pemilik modal, pekerja, pemerintah, pelanggan, alam persekitaran dan sebagainya dalam membangun sektor perniagaan.

Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan bahawa sesebuah sistem pengendalian perniagaan negara, jika ingin maju dan terus membangun, kepentingan peniaga dalam usaha kegiatan dalam apa bentuk perlu mendapat ganjaran atau pulangan yang adil kepada peniaga terbabit.

Keuntungan yang berpatutan daripada usaha perniagaan dan perdagangan kepada peniaga adalah sesuatu hukum tabii serta adil. Prinsip ini menghormati individu peniaga, sekali gus menjaga kepentingan keutuhan hidup bermasyarakat.

Keuntungan dalam perniagaan adalah hasil usaha gigih serta berkesan seseorang peniaga. Setiap kegiatan perniagaan tidak semestinya menghasilkan keuntungan. Ada kala peniaga terpaksa menghadapi kerugian.

Untung dan rugi adalah hukum lumrah. Justeru, memperoleh keuntungan bukan sesuatu yang perlu dipandang serong. Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan berpatutan diperoleh, ia menggambarkan satu kejayaan mulia dan boleh dibanggakan. Ia kerana pendekatan itu mampu membawa kepada perolehan keuntungan berpanjangan.

Mengakui hukum pulangan sebagai sesuatu yang lumrah akan membina semangat setiap peniaga semoga halus dan rapi dalam menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan mereka. Dalam pengiraan awal mereka, kerugian perlu sentiasa cuba dijauhi.

Keuntungan akan diperoleh apabila jumlah hasil mengatasi kos. Jika sesuatu perniagaan diurus dan dilaksana secara positif, jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui jumlah jualan barangan terbabit. Dalam dunia tidak berbatas ini, jumlah jualan tidak terhad. Yang membatasi ialah persaingan sengit daripada pengusaha dan peniaga dalam serta luar negara.

Ruang untuk mengembangkan jumlah jualan, luas terbentang. Berjaya menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan peniaga menguasai saham pasaran barangan itu. Mengikut hukum perniagaan, mutu kegunaan dan harga adalah dua faktor utama menentukan permintaan kepada barangan.

Untuk mencapai kejayaan secara berterusan bagi jangka panjang, strategi penguasaan pasaran untuk sesuatu barangan perlu menjadi strategi organisasi perniagaan. Pencapaian kepada matlamat memerlukan syarikat terbabit dengan usaha kajian dan penyelidikan berterusan.

Matlamat itu tidak mungkin diperoleh menerusi jalan mudah bahkan, ia memerlukan kepada wawasan dan usaha yang jujur serta gigih pihak pengeluar dan peniaga setiap masa. Usaha positif memerlukan akhlak kepimpinan syarikat yang jitu supaya kejayaan berterusan demi kepentingan bersama peniaga serta kebajikan pengguna.

Menerusi barangan perniagaan bermutu serta harga berpatutan, jumlah besar jualan akan diperoleh dan dapat dipasarkan bukan saja dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa. Kejayaan itu dapat meningkat jumlah keuntungan syarikat.

Harga berpatutan juga dapat meluaskan faedah kegunaan barangan kepada golongan pengguna berpendapatan rendah. Kebajikan daripada kepenggunaan barangan makin meluas.

Daripada aspek kos kepada syarikat, beberapa bentuk kos perlu ditangani supaya jumlahnya dapat dikurangkan. Kos membabitkan modal, pengurusan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran.

Menerusi perancangan dan kepakaran tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk mengurangkan pembaziran, nescaya usaha itu akan menghasilkan penurunan kos termasuk kos sosial seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran alam persekitaran.

Kos sosial itu adalah faktor negatif yang turut menjejaskan kemajuan prestasi syarikat dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran sihat, prestasi syarikat akan menurun. Suasana negatif itu jelas akan meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.

Kos langsung dan kos tidak langsung seperti kos sosial perlu diambil kira dalam pengurusan kos syarikat. Ia menepati semangat pendekatan keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial. Kejayaan mengurangkan kos mengikut perspektif di atas adalah suatu kejayaan memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan. Ia juga menggambarkan usaha mengurangkan kos meliputi amalan akhlak pekerja serta alam persekitarannya.

Berdasarkan logik analisis, jelas keuntungan menerusi pendekatan berakhlak adalah suatu pendekatan berdaya maju yang menjelaskan sifat tanggungjawab tinggi dihayati syarikat dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan itu rata-rata menjadi budaya syarikat swasta yang berjaya beroperasi pada peringkat sejagat.

Prinsip keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial jika dihayati akan menghasilkan budaya perniagaan sihat, mampu memperoleh kejayaan syarikat, sekali gus dapat membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.

Dengan pengenalan pendekatan perniagaan ini, semangat juang dan amalan tanggungjawab sosial dapat dicetuskan. Membina budaya positif bukan perkara mudah dan dapat dihasil dalam masa singkat terutama dalam budaya di mana kepentingan individu menjadi teras utama.

Memupuk kesedaran kepada golongan yang berjaya dalam perniagaan untuk sama-sama menangani persoalan sosioekonomi masyarakat jika berhasil adalah satu kejayaan besar.

Pendekatan Islam bercorak syumul yang menyarankan pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial hendaklah difahami dan dihayati. Ia seharusnya dilihat sebagai salah satu garis panduan pendekatan dari awal hingga penghujung kegiatan perniagaan sesebuah syarikat.

Pendekatan ini bukan sekadar untuk mencapai peningkatan keuntungan sesebuah syarikat dan pembangunan ekonomi negara saja, bahkan ia hendaklah diyakini sebagai usaha memantap nilai kemanusiaan dalam membina sebuah tamadun yang mulia.

Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan sangat dituntut Islam. Tanpa usaha gigih dan berkesan ke arah pencapaian kecekapan mengendalikan urusan perniagaan, peniaga Muslim mustahil akan dapat berperanan di arus perdana ekonomi negara dan antarabangsa.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: