Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
BUMI tidak selamat lagi untuk kehidupan! Ini bukan momokan sang penyair tetapi sudah banyak terbukti hakikatnya di depan mata. Perubahan iklim dunia dengan suhu melampau dan kemusnahan alam di mana-mana menjadikan kehidupan makhluk bumi semakin terancam.
Kadar kepanasan suhu bumi semakin jauh daripada upaya manusia mengawalnya meskipun 70 peratus dari permukaan bumi dilitupi air dan bermacam teknologi moden direka cipta.
Malah kebakaran berlaku di mana-mana pada bila-bila masa. Kejadian banjir, ribut taufan dan ribut salji melanda tanpa mengikut ‘jadual manusia’ lagi.
Pakar peramal iklim dunia pula semakin tidak berupaya untuk mengesan dan berteori terhadap gelagat fenomena alam mutakhir ini, terutama di kawasan yang mengalami perubahan cuaca ekstrem.
Apa lagi untuk mengawal dan mengesan isi khazanah yang sarat terpendam dalam perut bumi daripada memuntahkan lahar dan memusnahkan persekitaran silih berganti di sana sini tanpa belas kasihan.
Adakah ini petanda hayat bumi sudah di penghujung dan Kiamat sudah dekat? Yang jelas elemen keseimbangan ekologi bumi ciptaan Allah s.w.t. untuk melancarkan kelangsungan hidup manusia dan makhluk hidupan lain sudah hilang.
Puncanya adalah angkara kerakusan dan ‘kedajalan’ manusia sendiri sebagai antara makhluk hidupan di muka bumi ini.
Allah s.w.t. menjelaskan ini melalui marfum-Nya; Ingatlah ketika Allah berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (wakil) di muka bumi.’ Mereka (para Malaikat) berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi manusia yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: `Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah 30).
Setiap kejadian alam maya ini dikhususkan untuk memanfaat manusia dan seluruh isi alam. Tetapi manusia yang ditugas untuk memakmurkan bumi sendiri yang menyebabkan kemusnahannya.
Allah s.w.t. telah menjelaskan melalui firman-Nya; Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untuk apa yang di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmati Nya lahir dan batin. Di antara manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang terang. (Luqman: 20).
Hakikatnya, tiada kejadian dan makhluk yang kekal. Manusia yang sememangnya lemah, haloba dan mudah tunduk pada hawa nafsu, tidak akan dapat melaksanakan amanah Allah bagi memakmurkan bumi.
Sayyid Quthb melalui tafsir Fi Zhilalil Quran berkata; “Mengenai kekuatan alam, sikap manusia yang Muslim ialah berusaha mengenalinya dan bersahabat dengannya (alam), bukan takut dan memusuhi. Sebab kekuatan manusia dan kekuatan alam bersumber dari iradah dan kehendak Allah s.w.t., sentiasa tunduk patuh pada iradah dan kehendak-Nya serta saling membantu dan memerlukan untuk bersama-sama menuju kepada Allah Penciptanya’.
Ini dijelaskan melalui firman-Nya: Tidakkah engkau lihat bahawa Allah menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia jalankan air itu menjadi mata air dalam bumi, kemudian dengan air itu Dia tumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam warnanya, kemudian tumbuhan itu menjadi kering sehingga engkau lihat kuning warnanya kemudian Allah menjadikannya pecah-pecah. Sesungguhnya tentang demikian itu menjadi peringatan bagi orang-orang yang berakal. (az-Zumar: 21)
Jika apa yang tersurat dan tersirat pada Kalam Allah dikaji dan difahami, tidak timbul persoalan adakah planet lain sedia menerima makhluk terutama manusia, bagi kesinambungan hayat penghuni alam jagat setelah bumi tidak selamat lagi.
Namun, kerana manusia diberi kelebihan daripada lain-lain makhluk melalui akal fikiran dan nafsu, menjadi tanggungjawab manusialah membetulkan kesilapan untuk kembali kepada tugas hakiki sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.
Jadi bukanlah sesuatu yang aneh apabila Pengarah Strategi Antarabangsa dan Pengurangan Risiko Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geneva, Salvano Briceno melalui penyelidikannya, mengatakan manusia punca utama kemusnahan bumi dan akibatnya memberi kesan kepada manusia itu sendiri.
Menurut Briceno, kira-kira 105 juta penduduk bumi terdedah kepada sekurang-kurangnya tiga bahaya akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia sendiri.
Kata beliau, kajian juga mendapati perubahan iklim dan kemusnahan bumi tidak berlaku secara semula jadi melainkan berpunca dari aktiviti manusia.
“Inilah harga yang perlu dibayar oleh manusia akibat perbuatan mereka yang menyebabkan perubahan iklim dan kemusnahan bumi,” tegasnya.
Briceno berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk, Kemusnahan Semula jadi dan Pengurangan Risiko pada Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Persidangan dua hari pada 29 dan 30 Oktober anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tinggi British itu menghimpun lebih 30 profesional dalam penyelidikan dan kajian iklim dunia.
Mereka mewakili pelbagai agensi penyelidikan antarabangsa dan rantau Asean berbincang dan berkongsi maklumat serta hasil kajian bagi menangani kesan perubahan iklim dunia.
Pengarah Perubahan Iklim Antarabangsa, Analisis dan Udara United Kingdom, Henry Derwent pula berkata, pengunaan sasaran pengurangan pengeluaran karbon (CERT) adalah salah satu langkah mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang melepaskan karbon dioksida di atmosfera.
“Konsep ini (CERT) dapat meningkatkan penggunaan sumber tenaga tanpa karbon daripada solar dan elektrik,” katanya dalam kertas kerja bertajuk, Kemusnahan Semulajadi dan Pengurangan Risiko.
Isu perubahan iklim bumi kini turut menjadi agenda penting pemimpin dunia kerana ia memberi impak bukan sahaja pada kesihatan dan keselamatan manusia tetapi pada ekonomi dan seluruh ekosistem global.
Namun keberkesanan Protokol Kyoto yang digubal 1997 untuk dikuatkuasa sejak Februari 2005, melalui mekanisme insentif kewangan dan teknologi mesra alam masih jadi tanda tanya, terutama bagi negara miskin dan kurang membangun.
Perlaksanaan Protokol Kyoto ini akan berakhir pada 2012, tetapi sumber kewangan dan teknologi mesra alam yang dicanangkan negara maju lagi kaya tidak pernah mengalir ke negara miskin dan kurang membangun.
Semua sumber dan teknologi menangani pengawalan pelepasan gas kloro floro karbon (CFC) dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pensijilan Certified Emission Reduction (CER) bagi mewujudkan Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) sebaliknya terus dimonopoli dan berlegar di kalangan negara-negara kaya yang maju sahaja.
Itulah yang dibangkitkan para peserta Malaysia dan Asean pada persidangan di PWTC lalu apabila masing-masing mahu peruntukan kewangan direalisasikan, manakala teknologi baru dikembangkan melalui kontrak usahasama antara sesebuah kerajaan dengan kos yang minimum.
Persidangan dua hari di PWTC yang dihadiri lebih 200 peserta itu akan disusuli pertemuan lebih penting dalam Forum Protokol Kyoto pada Persidangan Pihak Terbabit (COP) di Bogor, Bali Indonesia awal Disember ini.
Keseriusan dunia dalam menangani perubahan iklim bumi diteruskan dengan perbincangan peringkat menteri-menteri negara seluruh dunia di Poland (2008) dan Denmark (2009) nanti.
Ini kerana menurut Penasihat Ekonomi Pasukan Strategi Ulasan Stern Antarabangsa dari United Kingdom, Su-Lin Garbett, jika perkara itu tidak ditangani secara serius, seluruh dunia mungkin mengalami kemunduran ekonomi yang menyebabkan kehilangan lebih banyak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, semakin besar risiko perubahan iklim dunia akan lebih besarlah kadar kesusutan ekonomi negara dan dunia.
“Pelaburan dunia bagi menangani perubahan iklim bagi tempoh 10 hingga 20 tahun ini hanya akan memberi impak bagi tempoh 50 tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Impak Ekonomi Terhadap Perubahan Iklim.
Sebab itu tegas Garbett, perkongsian pandangan dan penguatkuasaan undang-undang perlu digembleng oleh semua peringkat dari seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment