Monday, August 17, 2009

Undang-undang Islam sering diperlekeh

Undang-undang Islam sering diperlekeh

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Perintah mahkamah syariah tidak dipatuhi, ditohmah tanpa penyelidikan

NEGARA kita mengamalkan dwisistem perundangan iaitu sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang syariah. Kedua-dua sistem ini hendaklah menjadi pelengkap antara satu sama lain dalam menyusun atur masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kedua-dua sistem ini mempunyai fungsinya tersendiri dan perlu dihormati.

Sistem undang-undang sivil sudah diterima pakai masyarakat namun kesedaran mematuhi undang-undang syariah masih pada tahap rendah sama ada di kalangan orang Islam apatah lagi bukan Islam. Undang-undang Islam masih lagi dianggap seolah-olah 'undang-undang kelas kedua' yang tidak memberi kesan apabila tidak mematuhinya. Institusi perundangan syariah sering kali ditohmah tanpa siasatan yang wajar malah tidak keterlaluan jika dikatakan kejayaan institusi agama langsung tidak dapat membuka mata golongan ini.


Malah kebanyakan tindakan institusi agama menjadi daya kritikan pihak tertentu. Umpamanya perintah sah yang dikeluarkan mahkamah syariah tidak dipatuhi malah diperlekehkan atas pelbagai alasan. Sering kali juga bidang kuasa mahkamah syariah dipersoalkan walaupun sudah jelas ia terletak di dalam bidangnya melalui keputusan yang dibuat mahkamah sivil.

Penulis mengambil perbandingan satu isu yang hangat diperkatakan di mahkamah syariah baru-baru ini iaitu isu sebatan. Apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan kepada seorang peminum arak, maka pelbagai rungutan dan kritikan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Ada yang mengatakan hukuman itu salah, ada pula yang mengherdik mahkamah syariah kerana tidak berperikemanusiaan dan tidak kurang juga yang memperlekehkan keputusan itu tanpa terlebih dulu mengkaji apakah sebenarnya hukuman yang dijatuhkan.

Namun apabila mahkamah sivil menjatuhkan hukuman sebatan, hampir tidak kedengaran suara yang sama menangisi hukuman yang dijatuhkan itu walaupun hakikatnya sebatan sivil jauh lebih dahsyat kesannya berbanding sebatan syariah. Kenapa perbezaan sebegini berlaku? Mungkin persepsi yang diambil ialah apa saja yang dikeluarkan dari sebuah institusi Islam, ia pasti tidak baik. Persepsi inilah yang perlu diperbetulkan kerana mahkamah syariah mempunyai jurisprudennya yang tersendiri. Segala tindakan yang dilakukan tidaklah lari dari apa yang diperuntukkan oleh hukum syarak.

Kesedaran mematuhi undang-undang syariah ini amat rendah kerana masih ada pihak berkuasa sendiri yang tidak menyedari ada undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana kewujudan enakmen ini hanya 'disedari' baru-baru ini saja. Namun pelaksanaannya sehingga kini masih menjadi tanda tanya!

Begitu juga kesalahan tidak mematuhi perintah mahkamah syariah. Atas apa juga alasan, kesalahan ini amat kurang didakwa di mahkamah syariah yang menyebabkan suami atau bapa umpamanya mengambil kesempatan untuk tidak membayar nafkah isteri atau anak. Begitu juga isteri atau ibu yang tidak mematuhi terma perintah hadhanah anak.

Sebenarnya memang ada golongan yang tidak berapa takut mengingkari perintah mahkamah syariah kerana tidak merasai akibat keingkarannya. Tambahan pula kesalahan di mahkamah syariah hanya membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan gagal memberi pengajaran kepada orang Islam.

Sudah sampai masanya Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) itu dipinda bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang bagi kesalahan syariah lain supaya hukuman kesalahan dikenakan hukuman lebih berat. Tindakan ini boleh menyuntik keinsafan ke arah penghayatan dan pematuhan undang-undang syariah di dalam negara.

Mahkamah syariah sebagaimana mahkamah sivil tidak mengaplikasikan logik akal semata-mata. Tatkala mahkamah sivil terikat dengan prosedur dan undang-undang, mahkamah syariah pula dipandu nas dari hukum syarak. Hakim mahkamah syariah tidak teruja dengan kemampuan akal semata-mata, tetapi memberi penekanan berat kepada nas yang diterima pakai. Umat Islam tidak mempunyai pilihan selain menerima hukum yang ditetapkan secara qatie. Inilah keunikan mahkamah syariah yang perlu diinsafi masyarakat tanpa mengira sama ada mereka itu Islam atau sebaliknya.

No comments: