Monday, August 17, 2009

Imarah: Masjid At-Taqwa TTDI anjur program untuk remaja

Imarah: Masjid At-Taqwa TTDI anjur program untuk remaja

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

SELAIN usaha, tawakal dengan memanjatkan doa kepada Allah menjadi satu tuntutan yang seharusnya diamalkan terutama bagi pelajar yang bersedia untuk menghadapi peperiksaan pada peringkat sekolah rendah, menengah mahupun pengajian tinggi.

Lebih afdal jika amalan itu dibuat secara berjemaah bagi menghidupkan rasa kecintaan terhadap kebesaran Ilahi, apatah lagi dilakukan dalam suasana penuh ukhuwah sambil disulami rasa keinsafan, diselit pula pengajaran mengenai kesungguhan Rasulullah SAW menghadapi perjuangan.

Itulah yang dilakukan jawatankuasa Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Petaling Jaya baru-baru ini menganjurkan Program Solat Hajat Perdana menghadapi peperiksaan kepada 250 pelajar dari tiga sekolah rendah dan menengah yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aktiviti yang julung kali diadakan itu dimulakan dengan bacaan surah Yasin serta tahlil sebelum disambung dengan ceramah motivasi yang disampaikan pensyarah dari Universiti Malaya, Ahmad Faizal Abdul Hamid selepas solat Maghrib.

Ahmad Faizal menekankan aspek perjuangan dalam menghadapi peperangan oleh Rasulullah SAW bagi menunjukkan betapa sifat tekun dan sabar menjadi kunci kejayaan Baginda untuk menghadapi apa saja situasi selain memberi kaedah khusus membuat persiapan awal menghadapi peperiksaan.

Program itu bukan saja disertai pelajar, malah ramai ibu bapa bersama-sama mendoakan kejayaan anak mereka. Solat Hajat dipimpin Mohd Solleh Abdul Razak turut mendoakan kesejahteraan rakyat yang kini menghadapi wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Pegawai Pentadbir masjid Masjid At-Taqwa, Abdul Salam Mohd Jerais, berkata melihat kepada sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 800 peserta, jawatankuasa akan menjadikan majlis sebegitu sebagai aktiviti tahunan.

"Banyak lagi program sebegini akan diadakan bagi menggalakkan lebih ramai remaja mendekatkan diri mereka dengan masjid," katanya.

No comments: