Imarah masjid dengan aktiviti agama pada Ramadan
KERAJAAN mahu melihat semua masjid dapat dicerna dan dipenuhi dengan empat kategori amalan utama iaitu sebagai tempat menyebar dakwah, melaksana aktiviti keilmuan, ibadah dan agama serta program khidmat masjid dan kemasyarakatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pengisian dan program dan aktiviti masjid perlu digembleng agar memenuhi empat kategori amalan itu.
Katanya, maju mundurnya amalan dan tahap penghayatan terhadap agama Islam boleh diukur sejauh mana masjid di sesuatu tempat itu berjaya diimarahkan oleh seluruh umatnya.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dengan urusan, saya ingin melihat masjid dapat dicernakan dengan aktiviti agama dan mengimarahkannya setiap masa.
"Jadi, dengan kedatangan Ramadan ini, ia boleh dilaksanakan sebagai permulaan mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti agama," katanya pada majlis penyampaian bantuan Ihya Ramadan kepada Masjid dan Surau dalam Wilayah Persekutuan di Masjid Imam Al-Ghazali, Kepong di sini.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.
Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, sempena menyambut Ramadan tahun ini, MAIWP meluluskan peruntukan bantuan Ihya Ramadan, program keceriaan dan kebersihan masjid dan surau termasuk bantuan kepada golongan asnaf membabitkan orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM2.6 juta.
Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan juga memberi sumbangan RM177,000 untuk membiayai program yang sama dengan kerjasama MAIWP dan Jawi untuk disalurkan kepada 66 masjid, 69 surau Jumaat dan 432 surau biasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Diharapkan dengan bantuan ini akan menjadikan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dapat diimarahkan dan melaksanakan program Ihya Ramadan dengan semangat penuh keimanan," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment