Jihad ekonomi, bisnes perlu diperhebat
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
Kesepakatan pemimpin, ulama dan ummah mampu angkat martabat Islam
JIHAD ekonomi dan bisnes perlu digerakkan secara besar-besaran bagi membangunkan ekonomi orang Melayu dan umat Islam di negara ini serta mengangkat martabat umatnya kembali gemilang seperti pada zaman Rasulullah yang juga seorang ahli perniagaan.
Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Dr Abd Malek Awang Kechil turut mencadangkan supaya kurikulum pengajian agama di semua peringkat pendidikan memasukkan sejarah Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya serta perkembangan dan ketamadunan Islam berhubung keusahawanan dari perspektif Islam.
Katanya, kekuatan ekonomi ummah sama ada secara individu atau kolektif akan memberi impak besar kepada umat Islam.
"Atas dasar inilah, gerakan besar-besaran harus dilakukan dengan melancarkan jihad ekonomi dan jihad bisnes untuk melahirkan kebangkitan umat Islam bersaing dan maju dalam ekonomi.
"Walaupun pencapaian ekonomi umat Islam di negara ini masih pada tahap rendah, kesedaran semakin ketara yang menuntut satu transformasi ekonomi ummah dilakukan segera. Oleh itu, bagi menjayakan hasrat murni ini, kesepakatan pemimpin, ulama dan seluruh umat Islam amat penting untuk menentukan kejayaan yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk 'Transformasi Ekonomi Ummah: Pengalaman dan Peranan Semasa Negara MABIMS' � (Perspektif Malaysia) pada Seminar Muzakarah Ulama MABIMS di sini, baru-baru ini.
Seminar itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dan ulang tahun ke-20 penubuhan MABIMS.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Awang Metussin Baki ketika membentangkan kertas kerjanya dengan tajuk sama, berkata apabila menyentuh soal ekonomi Islam, ada sebahagiannya tidak berminat memberi reaksi dan tidak kurang juga yang berpandangan negatif.
Katanya, sepatutnya umat Islam sudah lama berjaya menguasai ekonomi setanding ekonomi bangsa lain kerana asasnya sudah diletakkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW sejak Islam mula bertapak di Madinah lebih 1,400 tahun lalu.
"Rasulullah sudah merancang ekonomi untuk umat Islam ketika mula bertapak di Madinah bersama sahabat baginda, Abdul Rahman Auf menerusi penubuhan pasar untuk aktiviti perniagaan.
"Jadi, seperti yang dianjurkan Islam dan dibuktikan Nabi Muhammad, adalah wajar seluruh umatnya menggerakkan ekonomi untuk mengangkat wadah umat menerusi bidang perniagaan.
"Dalam hal ini negara anggota MABIMS perlu melancarkan dan menggerakkan jihad bisnes untuk memperkasakan ekonomi umat Islam, baik pada peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment