Gejala sosial 'penjajahan' resap dalam kehidupan Muslim
Oleh Mohd Zamri Shafie
Ibu bapa perlu suburkan ilmu agama untuk didik remaja supaya hidup berlandaskan syariat
KENIKMATAN masa muda hanya datang sekali dalam hidup manusia. Kenikmatan itu tidak harus dipersia-siakan dengan melakukan perkara yang boleh merencatkan hidup seperti perlakuan negatif yang menyelubungi remaja muda pada era moden hari ini.
Perlakuan seks bebas, merempit, lari dari rumah, pembuangan bayi, pengedaran dan ketagihan dadah, alkohol, ponteng sekolah, samseng, adalah 'serangan' bentuk baru yang menjajah dan menyelinap dalam kehidupan umat Islam hari ini.
Hakikatnya, budaya itu berlaku di kalangan anak umat Islam berlatarbelakangkan agama, akademik, profesional, golongan pertengahan, petani, buruh dan sebagainya. Budaya itu tidak mengenal siapa mangsanya.
Kebimbangan ibu bapa terhadap permasalahan remaja masa kini tidak dapat diperkatakan lagi. Anak adalah ujian Allah kepada hamba-Nya. Inilah hakikat yang perlu ditelan oleh insan yang mempunyai anak.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar." (Surah al-Anfaal, ayat 28)
Daripada Aisyah, katanya: "Seorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya dariku ketika itu selain daripada sebiji kurma, lalu kuberikan kepadanya.
Kurma itu dibahagi dua dan diberikannya kepada kedua anaknya itu dan ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah Nabi SAW datang, aku ceritakan hal itu kepada Baginda SAW.
Sabda Baginda SAW: Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Keutamaan mendidik anak ialah menyuburkan ilmu agama yang mampu mendasari hidup mereka dengan landasan syariat Islam dan mengajarkan mereka adab serta keelokan akhlak budi pekerti. Ia mampu melestarikan impian setiap ibu bapa supaya anak mereka menjadi remaja berdikari dan mempunyai personaliti baik pada pandangan masyarakat umumnya dan Khaliq (Allah) khasnya.
Pakej lengkap seorang remaja kamil (sempurna) ialah mempunyai personaliti menarik, sifat positif yang tertanam dalam jiwanya seperti suka membantu orang lain, bersungguh-sungguh, menyayangi diri, ibu bapa dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri serta prihatin.
Namun, realiti yang berlaku, tidak ramai remaja mempunyai personaliti yang baik bagi menggalas harapan agama, bangsa dan negara. Mereka inilah yang perlu diberi perhatian mendepani permasalahan dan menghurai punca segala kekalutan.
Penyakit melanda remaja masa kini sebenarnya sudah lama bertapak disebabkan banyak faktor antaranya suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutama dengan pengaruh media massa dan elektronik.
Zaman ini perempuan Melayu Islam memakai pakaian serba singkat dan ketat yang menjolok mata tetapi tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah pelopor kepada melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.
Ramai anak remaja terbabit dunia cinta dan seks bebas tidak dapat dikawal atau dibendung lagi. Budaya itu resapan paling halus dan kian bertapak kukuh dalam urat salur darah mereka. Akibatnya nanti, orang timur tidak dapat dibezakan dengan orang barat, malah lebih teruk lagi.
Minda anak muda dicemar dengan konsep kehidupan bebas yang membawa kepada kecelaruan perlu kepada pembersihan bersifat berterusan, pembenihan dan penyuburan rohani yang mampu disegarkan dengan iman dan Islam yang padu.
Pembajaan roh perlu digerakkan dengan lebih progresif dan penuh hikmah. Di samping itu, aspek pendidikan mengenai konsep menjauhi perbuatan mendatangkan bahaya perlu disemat dalam diri anak supaya godaan syaitan dan pengaruh buruk dapat dihindarkan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakan seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan malaikat pula ialah galakan supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenarannya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah daripada angkara syaitan." (Hadis riwayat Ibn Mas'ud)
Kehidupan negatif melanda anak remaja perlu kepada asas penting iaitu kembali kepada akal budi Islam. Ia harus bermula pada peringkat -anak mencapai umur mumayyiz, di mana kewajipan menunaikan solat menjadi wajib.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka ketika 10 tahun jika mereka enggan, dan pisahkan tempat tidur mereka." (Hadis riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)
Pengabaian terhadap pelaksanaan solat dalam keluarga akan merumitkan keadaan dan mengusutkan lagi suasana. Kegagalan ibu bapa dan anak menghayati ajaran Islam sepenuhnya sebagai cara hidup akan mengundang malapetaka dalam keluarga serta masyarakat.
Marilah bersama berusaha secara berterusan supaya masa muda dapat dimanfaat dan tidak dipersiakan. Berdoa serta bertawakal kepada Allah SWT untuk melihat anak muda tidak terus hanyut dibawa oleh kelalaian melekakan.
Buangkan jauh-jauh perasaan putus asa melihat perkembangan negatif berlaku depan mata sebaliknya tanamkan semangat untuk membantu mengubah suasana mendukacitakan kepada suasana menggembirakan.
Anak muda yang leka perlu disedarkan daripada mimpi indah hanya sementara untuk mereka dapat berpijak di bumi nyata. Semoga usaha umat Islam memperbaiki kerosakan memberi sinar untuk melihat anak remaja menjadi kumpulan yang akan membina tamadun masa depan yang cemerlang.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment