Kisah cinta Halimatul Saadiah
ADALAH menjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantar anak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak mereka dapat menghirup udara yang sedar dan membesar dengan sihat. Anak-anak ini akan disusui oleh wanita daripada kaum Bani Sa'ad.
Wanita-wanita yang menyusui biasanya lebih tertarik kepada anak-anak orang kaya. Mereka tidak berminat untuk menyusui anak seorang fakir mahupun yatim.
Halimah merupakan seorang wanita yang selalu menjadi ibu susuan. Pada tahun itu, keluarganya ditimpa kemiskinan. Tanah menjadi tandus dan ternakan mereka menjadi kurus kering. Akhirnya Halimah dan suaminya memutuskan untuk ke Mekah bagi mengambil seorang bayi untuk disusui. Mereka berharap upah yang diberikan akan dapat menampung keperluan hidup mereka pada waktu itu.
Unta yang dinaiki mereka itu sangat lemah. Halimah risau kalau-kalau unta itu mati sebelum sampai ke Mekah.
Anak Halimah selalu menangis kelaparan. Unta yang dibawa juga sudah tidak mengeluarkan susu kerana kekurangan zat. Halimah juga tidak mampu menyusui bayinya lagi.
Akhirnya mereka sampai di Mekah. Semua bayi yang ada sudah diambil oleh wanita-wanita yang lebih dahulu tiba di Mekah. Hanya tinggal seorang bayi lelaki bernama Muhammad. Ayahnya sudah meninggal dunia dan keluarganya miskin. Kedudukan mereka sangat mulia di antara tokoh-tokoh Quraisy, namun wanita-wanita lain enggan mengambilnya kerana dia yatim dan miskin pula.
Halimah melihat Muhammad terbaring dalam keadaan lapar di ranjangnya yang kasar. Tiba-tiba Halimah berasa kasihan terhadap Muhammad. Allah menanamkan rasa kasih dan cinta di dalam hati Halimah. Wanita itu terus jatuh sayang apabila melihat Muhammad.
Halimah pun membawa anak yatim itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, Halimah membelai Muhammad dengan penuh kasih sayang. Beliau meletakkan tangan ke dada bayi itu sehingga Muhammad tertawa. Beliau mencium dahi Muhammad. Halimah berasakan seolah-olah Muhammad itu seperti anaknya sendiri.
Halimah pun menyusui Muhammad. Alangkah terperanjatnya Halimah apabila mendapati bayi itu mampu menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Anaknya sendiri juga menyusu sehingga kenyang dan tidur. Halimah juga merasa tubuhnya lebih sihat daripada yang sebelumnya.
Tidak berapa lama selepas membawa Muhammad pulang ke perkampungannya, nasib keluarga Halimah berubah. Tanah yang tandus menjadi subur. Binatang ternakan yang kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Hidup Halimah gembira sekali.
Halimah tahu bahawa kebaikan itu telah datang bersama anak yatim yang disusuinya. Cinta Halimah kepada Muhammad semakin bertambah dari sehari ke sehari. Anak yatim itu telah diberkati oleh Yang Maha Esa.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment