Tiada alasan elak laksanakan perpaduan di kalangan umat Islam
Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
DEKAT di mata jauh di hati, apa lagi bila jauh di mata bertambah jauh di hati. Agaknya begitulah lebih tepat gambaran kedudukan masyarakat hari ini. Perhubungan serta pertalian semakin renggang dan lerai, perhubungan kekeluargaan, jiran tetangga bukan saja retak, malah ada yang sudah terbelah.
Sedangkan Allah SWT sudah mengingatkan supaya mengelak daripada perpecahan dalam firman yang bermaksud: "Jangan kamu bercerai-berai, sebab kamu akan lemah dan lenyaplah kekuatan." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Sedikit masalah diperbesar dan dikusutkan. Hidup seperti suatu perlumbaan, siapa cepat dia ke depan. Harta sekelumit direbutkan, serendah jawatan dan kedudukan jadi rebutan gelora nafsu membara sedangkan semua itu hanya sementara pinjaman dari Tuhan pencipta segala-galanya.
Apabila masalah meruncing, jalan penyelesaian bagaikan tiada lagi, musyawarah dan perbincangan diketepi walau ada segelintir mengharap suatu masa nanti biduk akan berlalu dan kiambang pasti bertaut. Namun, biduk sudah lama berlalu tetapi kiambang masih juga tidak bertaut.
Manusia hidup sendiri, kau dan aku berbeza kerana kubur masing-masing dan terasing. Pelbagai cadangan disuarakan untuk menyatu kembali antara mereka bertelagah tetapi semua hanya tinggal cadangan.
Umat semakin mengecil lantaran perbalahan dan perpecahan. Hidup tiada penyatuan, umat menjadi rapuh serapuh iman meskipun ilmu melimpah ruah. Al-Quran sudah menjelaskan manusia itu makhluk terbaik untuk menyeru kepada kebaikan bukan kepada perbalahan dan kehancuran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahawa kamu semua adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia bagi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah."
Menjadi kewajipan setiap manusia untuk hidup tolong menolong, tidak bermasam muka apa lagi mencetus permusuhan dan perbalahan kerana Islam itu sendiri terbina atas tanggungjawab iaitu tolong-menolong dan kasih sayang serta melarang umatnya daripada berpecah belah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jangan kamu semua termasuk golongan kaum Musyrikin yakni daripada golongan orang yang memecahbelahkan agamanya dan mereka golongan yang berlainan. Setiap segolongan itu senang (condong sekali) dengan pendirian yang ada pada pihak mereka itu sendiri." (Surah ar-Rum, ayat 32)
Apabila terjadi perselisihan atau perbezaan pendapat, seharusnya segera mencari jalan penyelesaiannya supaya persaudaraan kembali kukuh, bukan dibiarkan perselisihan berterusan sehingga menyebabkan perpisahan yang akhirnya melemahkan kalangan umat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sukakah kami saya beritahu sesuatu yang pahalanya lebih utama daripada puasa, solat dan bersedekah? Iaitu mendamaikan antara dua pihak yang sedang berselisih, sebab rosaknya perdamaian itulah yang akan menghancurkan."
Walaupun perselisihan pendapat tidak dapat dielakkan, ia bukan alasan untuk kita menghancurkan persaudaraan. Kita tentu menginginkan masyarakat yang harmoni dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan erat.
Bayangkan betapa cantiknya Islam. Alangkah indah apabila umat Islam saling sayang-menyayangi, nasihat-menasihati bukan saling tuduh dan membenci.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seharusnya kaum Muslimin itu nasihat-menasihati di antara mereka bagaikan satu anggota badan jika menderita sebahagiannya maka menjalar ke anggota yang lain dan tidur pun terganggu sehingga hilang sakit anggota itu."
Atas kesedaran itulah kita harus insaf perselisihan dan pertelagahan tidak memberi sebarang keuntungan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak beriman seseorang kami sehingga ia menyintai saudaranya seperti mana ia menyintai dirinya sendiri."
Sarjana Barat, Sir Hamilton A R Gibb pernah berkata: "Tidak pernah ada satu badan atau lembaga pun yang berhasil dengan gemilang menyusun unsur bangsa manusia yang berselerak berada dalam satu ikatan berasaskan persamaan kecuali Islam."
Islam menghendaki Muslimin itu berada pada satu susunan dengan satu ikatan kukuh. Ini kerana Islam itu sendiri menghimpun seluruh kaum muslimin dalam satu keyakinan, iktikad, syariat dan persaudaraan.
Pengukuhan persaudaraan dan perpaduan perlu dikembalikan, perselisihan serta pertelagahan dihentikan kerana pengukuhan umat dan perpaduan dituntut supaya umat dapat berdiri tegak sebagai satu ummah serta menjalankan amanah Allah SWT serta memelihara kesejahteraan negara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment