Friday, July 10, 2009

Solat duha sebagai roh rezeki

Solat duha sebagai roh rezeki




REZEKI melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiap orang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yang bermanfaat.

Namun untuk mencapai kenyataan itu bukanlah mudah. Ini kerana wang yang melimpah dan kedudukan yang tinggi bukanlah sesuatu yang dapat membawa serta menjamin keberkatan hidup yang sejati.

Ini membuktikan rezeki yang melimpah tidak menjamin kehidupan yang berkat. Rezeki yang melimpah juga tidak menjamin hidup yang harmoni, bahagia dan tenang.

Allah berfirman: Sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka melampaui batas pada muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran tertentu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. (asy-Syura: 27)

Kita sering melihat orang yang diberi rezeki yang melimpah tetapi menggunakan kekayaan mereka bagi mengingkari Allah, membelanjakan pada jalan sesat dan digunakan bagi mencari tempat di neraka. Bukankah itu kebodohan yang nyata?

Sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya memakan rezeki yang baik dan jangan mengikut jejak syaitan. Sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang nyata.

Rezeki yang halal dan berkat dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati. Ia juga dapat membawa kemuliaan di sisi Allah. Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat duha.

Solat Duha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki yang diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.

Hal ini telah dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Nabi pernah berwasiat kepada sahabat terdekatnya iaitu Abu Dzar al-Ghifari supaya melaksanakan solat Duha, solat Witir dan puasa tiga hari dalam setiap tengah bulan.

Kekasihku Muhammad berwasiat kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa solat duha dilakukan bukan semata-mata mengharapkan rezeki, ia dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Yang pasti, solat duha menambah amal soleh. Malah Allah turut akan mengampunkan dosa-dosa kita, seandainya ia dikerjakan secara istiqamah.

Lantaran itu, kekuatan spiritual yang terdapat dalam solat ini mempengaruhi kepentingan duniawi dan ukhrawi. Secara tidak langsung, ia memenuhi dua aspek iaitu kepentingan bagi kejayaan di dunia dan kebahagiaan

di akhirat kelak.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad SAW banyak menganjurkan amalan solat duha ini. Bertepatan dengan seruan itu, PTS Millennia Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan buku berjudul Magnet Rezeki dengan Solat Duha yang telah diterjemahkan daripada buku Menyingkap Mukjizat Shalat Dhuha karya Muhammad Mokhtar.

Buku ini memotivasikan kita agar tidak sahaja kaya wang tetapi pada masa sama membina kekayaan jiwa demi kebahagiaan di sana.

Ia juga membongkar rahsia memperoleh rezeki yang melimpah-ruah melalui wahana solat duha. Ia membuka perspektif baru mengenai rezeki dan kekayaan bagi seorang Muslim.

Disokong dengan bukti-bukti yang menjelaskan bahawa melalui solat duha yang istiqamah, sesiapa sahaja mampu memperoleh rezeki yang berganda dan diberkati.

No comments: