Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
IZAM menunjukkan pek himpunan enam perencah TaHa. |
Perencah, air mineral TaHa tepati konsep halalan toyyiban, tambah pilihan pengguna
LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) yang mendapat pengiktirafan dunia kerana pengurusan haji berkesan kini melangkah setapak lagi dengan menghasilkan produk makanan menerusi anak syarikatnya, TH Global Services Sdn Bhd (THGS).
Syarikat itu meneroka industri makanan halalan toyyiban dengan memperkenalkan perencah dan air mineral jenama TaHa yang berada di pasaran sejak Mei lalu.
Ketua Pegawai Operasi THGS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, berkata pengeluaran jenama TaHa menjadi pelengkap serta memberi lebih pilihan kepada pengguna.
Katanya, langkah ini juga membantu masyarakat yang memerlukan produk mudah disediakan dan diyakini status serta sempurna penghasilannya.
"TGHS meneroka industri makanan halalan toyyiban selepas melakukan penyelidikan serta memahami keperluan masyarakat.
"Memang ini cubaan besar walaupun tidak dinafikan ada pihak bertanya kenapa sekarang sedangkan jenama lain sudah lama menyediakan produk rempah campuran.
"Kita melihat pasaran industri halal besar dan masih ada ruang untuk menyemarakkan lagi. Jadi, kenapa tidak," katanya.
Mohamed Izam berkata, THGS menjalankan kajian mengenai bentuk produk sejak Ogos tahun lalu dengan melihat kegiatan masyarakat di samping mengambil kira maklum balas yang diterima apabila ia berada di pasaran.
Berdasarkan kajian termasuk menyoal orang ramai, THGS akhirnya mengeluarkan perencah sebagai permulaan mendekati pengguna. Selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), THGS melalui usaha sama syarikat Bumiputera berjaya menghasilkan seterusnya mengeluarkan lima perencah jenama TaHa.
Landasan pertama digunakan untuk memperkenalkan produk baru itu ialah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2009 dan ternyata masyarakat memberi sambutan memberangsangkan.
"Alhamdulillah, ia mendapat sambutan pengunjung Mihas dan ini memberi keyakinan kepada kami. Tidak dinafikan, sebagai anak syarikat Tabung Haji, ia menjadi kelebihan.
"Kita pastikan perencah TaHa menepati konsep halalan toyyiban iaitu bukan saja menggunakan sumber mentah halal, malah proses penyediaan juga bersih sempurna.
"Matlamat kita bukan hanya menghasilkan produk, tetapi memenuhi tanggungjawab memastikan pengguna mendapat produk terbaik serta sempurna.
"Oleh itu, kita pastikan produk TaHa tidak mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan," katanya.
Himpunan perencah TaHa mengandungi enam jenis iaitu rendang ayam, asam pedas, tom yam, sambal tumis, mi kari dan kari ikan dibungkus dalam pek kotak kecil untuk kemudahan pembeli.
Produk TaHa sangat praktikal dan mudah kerana pengguna hanya perlu menyediakan bahan mentah dan masak menggunakan perencah itu. Selain menjimatkan masa, rasanya seakan menggunakan ramuan segar.
Perencah berharga RM3.30 setiap pek atau RM16.50 bagi pek kombo menggabungkan semua perencah kini boleh diperoleh di kedai runcit serta pasar mini sekitar Lembah Klang.
Mohamed Izam berkata, pihaknya juga dalam usaha memastikan perencah TaHa mudah diperoleh di pasar raya dan pasar raya besar sebelum Ramadan.
Pada masa sama TGHS juga aktif mempromosikan produk berkenaan dengan mengadakan sesi pengenalan sampel supaya pengguna dapat rasa serta mengenali jenama TaHa.
THGS merancang menghasilkan lebih banyak produk makanan dan minuman TaHa. Syarikat turut mencari peluang kerjasama membina rangkaian di pasaran tempatan serta antarabangsa.
"Bagi umat Islam, kita percaya makanan memberi impak besar kepada perwatakan dan kerana itu agama mengingatkan kita supaya berhati-hati dalam pengambilan makanan. THGS membantu menyediakan keperluan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment