Friday, July 3, 2009

Tuntut ganti rugi putus tunang

Tuntut ganti rugi putus tunang

Keluarga & Undang-Undang
www.sistersinislam.org.my

Soalan
Saya bakal melangsungkan perkahwinan pada Ogos tahun ini. Baru-baru ini tunang saya minta memutuskan pertunangan kami atas alasan dia mempunyai kekasih lain dan tidak mencintai saya lagi. Dah banyak yang saya dan keluarga telah belanjakan untuk majlis kami. Kebanyakan barangan tersebut adalah sebagai persiapan majlis kenduri kesyukuran dan juga persalinan saya dan dirinya juga. Ada juga barang yang dibeli sebagai persiapan majlis perkahwinan kerana kami merancang untuk hanya bertunang selama dua bulan. Bolehkah saya menuntut semula perbelanjaan yang telah saya keluarkan semasa kenduri pertunangan dan persiapan untuk majlis perkahwinan?

Soraya Jalal
Melaka

Jawapan
Pertunangan merupakan perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan. Apabila suatu perjanjian dipersetujui maka kedua belah pihak adalah terikat dengan syarat perjanjian. Jika memungkiri janji, ia mungkin akan mengakibatkan kerugian bagi pihak yang satu lagi dan sebagainya.

Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, jika seseorang itu telah mengikat tali pertunangan mengikut hukum syarak, tetapi kemudiannya enggan berkahwin tanpa apa-apa sebab yang sah maka pihak yang memutuskan pertunangan itu bertanggungjawab untuk memulangkan pemberian-pemberian pertunangan atau nilainya dan membayar apa-apa yang dibelanjakan untuk membuat persiapan bagi perkahwinan itu. Oleh yang demikian ia boleh dituntut di mahkamah.

Menurut peruntukan perundangan ini, terdapat dua perkara yang boleh dituntut sekiranya mana-mana pihak membatalkan pertunangan tanpa sebab yang dibenarkan syarak, iaitu :

a) Pemulangan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang memutuskan pertunangan atau perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;

b) Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin (dalam situasi ini ialah saudari sebagai bakal isteri) di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perjanjian itu (tidak kira sama ada pihak lelaki atau pihak perempuan yang memutuskan pertunangan) dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh memfailkan saman dan penyata tuntutan di mahkamah syariah.

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa saudari berhak menuntut apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membuat persiapan perkahwinan tersebut sebagai ganti rugi.

Diharap penjelasan ini dapat membantu menyelesaikan persoalan saudari.

No comments: