Tuesday, May 26, 2009

Tajdid Iman Cari maslahat agung, elak mudarat lebih besar

Tajdid ImanCari maslahat agung, elak mudarat lebih besar

Oleh Dr Juanda Jaya


NEGARA ini mengamal demokrasi memilih wakil rakyat menerusi pilihan raya. - Gambar hiasan

Umat Islam terbabit politik elok bercermin pada sejarah cucunda Rasulullah

POLITIK sering dituduh sebagai dalang kejahatan dan kezaliman yang merosakkan umat manusia dari zaman berzaman. Hakikatnya, politik bersifat berkecuali, yang mengotorkannya adalah orang berdiri mewakilinya dengan sikap dan niat yang buruk.

Seperti sistem ekonomi, ia bergantung kepada mereka yang mengamalkan sistem pelbagai itu. Bagi sistem sosialis dan kapitalis, yang menjadikan ia zalim adalah kerakusan pejuangnya, maka ia mewujudkan ekonomi yang zalim.

Sedangkan Islam tetap menawarkan sistem adil lagi syumul dan kesempurnaannya. Seperti ekonomi, politik diperlukan untuk membina tamadun yang maju. Alangkah silapnya jika manusia menuduh Islam menghalalkan politik cacamarba mencampuradukkan yang hak dan batil.

Islam tetap menang walaupun tanpa taktik kotor, rasuah atau bahasa indahnya 'tawaran hadiah projek', caci maki dan fitnah, umpat serta mengaib sesama insan. Benarkah politik itu jahat, kejam, dan yang duduk di dalamnya adalah orang berdosa lagi zalim.

Bukankah Rasulullah SAW, sahabat, tabiin juga bergiat aktif dalam gelanggang politik? Jadi, jangan menuduh secara melulu, biarlah Allah menilai keikhlasan amalan masing-masing. Adalah silap dan berdosa memisahkan politik daripada Islam kerana politik sebahagian Islam yang syumul.

Masalahnya, sekali lagi adalah insan yang mewakili Islam itu, ada yang jahat dan berselindung di sebalik Islam serta tidak dinafikan ramai juga ikhlas semata-mata memperjuangkan agama serta keadilan kerana Allah.

Kadang-kadang pada awal perjuangan, hati mereka suci daripada kepentingan diri tetapi berapa ramai berjaya mengekalkan kesucian hatinya dan keikhlasan perjuangannya kerana Allah. Akhirnya, antara orang yang kononnya mewakili Islam dengan parti lawannya, semuanya sama saja daripada sudut sikapnya yang rakus kepada kuasa, dua kali lima, lima kali dua.

Jika kuasa itu hilang, tidak hairan dengan serta-merta kedengaran ada orang politik yang bunuh diri seperti diberitakan media baru-baru ini. Bunuh diri menjadi pilihan orang kafir untuk menyatakan protes mereka terhadap keputusan takdir.

Yang takut mati pula mencuba pelbagai gaya untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan diterima. Ada mencuba nasib dengan mogok lapar, membuat ritual menyalakan lilin sebagai tanda kematian politik demokrasi dibela setengah mati sampai mengalahkan usaha membela Tuhan mereka.

Menyalakan lilin serupa dengan amalan orang Nasrani dan Majusi. Apabila ada penganut Nasrani meninggal dunia maka agama mereka mengajarkan untuk membakar lilin sebagai tanda kematian. Orang Islam dilarang sama sekali mengikuti amalan jahiliah yang bertentangan dengan Islam dalam bentuk apapun seperti larangan umum dalam hadis haramnya tasyabbuh dengan orang musyrik.

Daripada Qais bin Abi Hazim beliau berkata: "Abu Bakar As-Siddiq masuk ke rumah seorang perempuan dari suku Ahmas yang bernama Zainab. Abu Bakar melihat perempuan itu tidak mahu bercakap kemudian Abu Bakar bertanya: Kenapa perempuan itu tidak mahu bercakap? Orang yang berada di situ berkata: Dia berhajat untuk berdiam diri (mogok bercakap). Kemudian Abu Bakar berkata kepadanya: Bercakaplah kamu, kerana perbuatan seperti itu tidak halal, ia termasuk perbuatan orang jahiliah. Kemudian perempuan itu pun bercakap." – (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Al-Khattabi mentafsirkan hadis ini bahawa diam atau puasa bercakap adalah salah satu perbuatan ritual jahiliah. Kemudian selepas Islam datang, ritual itu dilarang dan diperintahkan supaya berzikir atau bercakap yang baik. Jika puasa bercakap pun diharamkan, inikan pula perbuatan memudaratkan diri dengan melakukan perbuatan lebih berat lagi daripada itu seperti mogok lapar.

Rasulullah SAW tidaklah menjalani dakwahnya dengan kemenangan semata-mata bahkan bersilih ganti menang dan kalah ketika berhadapan kezaliman kuffar. Sekali lagi, Allah mahu mengajar manusia hanya Dia Yang Maha Mengetahui perkara ghaib.

Tugas manusia hanya berusaha dan serahkan baik buruknya kepada Allah. Bukan bermakna manusia disuruh menyerah kalah, tapi mereka disuruh untuk menerima kegagalan itu dengan mencari kesilapan sendiri, membina langkah baru yang lebih kreatif, dinamik dan gagah.

Islam sama sekali tidak membenci ahli politik, bahkan mereka diperlukan sebagai pejuang di jalan-Nya untuk menegak amar makruf nahi mungkar. Tidak semestinya ahli politik Muslim itu sempurna dan bersih tanpa silap.

Sikap mahu membela diri dan parti walaupun sedar ia suatu kesilapan adalah perbuatan bertentangan nilai Islam. Perbuatan sebegini adalah semangat asabiyah jahiliah. Semangat perkauman yang menafikan hak orang lain.

Sedangkan Islam melarang sekeras-kerasnya melakukan kezaliman kepada seluruh umat tidak kira suku bangsa dan kepercayaan. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mengambil hak orang lain walaupun sekadar sejengkal tanah, nescaya dia akan diseksa dengan dibenamkan sejauh tujuh lapis bumi." – (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kecenderungan membela diri dan golongan secara membuta tuli sehingga menzalimi orang tidak sehaluan dengan mereka dirakamkan dalam ayat Allah sebagai amalan Bani Israil yang pernah berkuasa dulu.

Maksudnya: "Kemudian kamu (Bani Israil) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa) dan mengusir segolongan daripada kamu dari kampung halamannya, kamu bantu membantu terhadap mereka dengan membuat dosa dan permusuhan; tetapi jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagimu. Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada mu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat." – (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Keadilan perlu ditegakkan tetapi mestilah digandingkan dengan keamanan. Jika menuntut keadilan dengan cara merobek keamanan, adakah ini berbaloi?

Umat Islam yang terbabit dengan politik eloklah bercermin pada sejarah agung cucunda Rasulullah SAW, al-Hasan yang memilih untuk mengalah demi menjaga darah dan kesatuan kaum muslimin yang hampir tumpah kerana perselisihan dengan kumpulan Saidina Muawiyah bin Abi Sufyan.

Dengan bersangka baik kepada keperibadian dan keimanan sahabat, Saidina Muawiyah atas peristiwa itu kerana ramainya golongan munafik yang memainkan isu di sebalik tabir, sepatutnya umat Islam mencari maslahat agung untuk kepentingan agama dan menghindari mudarat lebih besar lagi.

Berusaha dan cekal dengan idealisme adalah baik tetapi berapa ramai yang kecundang kerana menyangka langkah diambil itu betul padahal sebaliknya, disebabkan terburu nafsu dan tidak mengambil kira pandangan Islam, mereka mengorbankan maslahat umum umat yang lebih besar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya." – (Surah Al-Kahfi, ayat 103-104)

Jika setiap pemimpin politik memiliki sifat wali, maka tidak seronoklah gelanggangnya pada kaum munafikin dan kafirin kerana sunyi daripada huru-hara, tetapi pada zaman Umar al-Khattab, seluruh rakyat bebas bersuara sehingga beliau terpaksa menunggu seorang wanita yang lantang memberi nasihat dan bangkangan kepadanya: Wahai Umar, takutlah kepada Allah dalam urusan umatmu. Sehingga menitis air mata khalifah menerima teguran itu.

Maknanya, sifat wali dalam diri ahli politik bukanlah duduk diam dan taat, mengalah pada kezaliman dan reda dengan kejahatan manusia, tetapi menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan cara lembut atau pun lantang mengikut keadaan serta situasi semasa.

Dia hendaklah berwaspada terhadap penasihat yang jahat dan mencari penasihat yang ikhlas dan suka mendengar teguran daripada orang tidak berkepentingan terhadap harta dan kuasanya.

Menceburi bidang politik adalah jihad dan berbaloilah dengan ganjaran akhirat bagi wali Allah, mereka tidak pernah gentar dengan tipu daya jahat penentangnya kerana sentiasa mengingati firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, dia telah mengisytiharkan perang terhadap-Ku." – (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Semua pasti akan mengaku bahawa golongan merekalah yang membela Islam. Sebenarnya mereka tidak berhak mengaku bahkan Allah saja yang Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang bersih hati daripada kepentingan dunia.

No comments: