Gejala sosial dikira ancaman jahiliah era moden
Oleh Masmawi Abdullah
Kerajaan perlu menambah baik sistem pendidikan untuk bentuk sahsiah generasi muda
BENARKAH jahiliah masih membelenggu pemikiran dan pengalaman umat Islam masa kini? Apakah kita faham pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya? Jahiliah adalah perkara penting untuk kita fahami kerana ia musuh Islam sepanjang masa.
Pastinya orang yang hidup dalam zaman moden dan serba canggih hari ini mengakui dirinya Islam tetapi secara tiada sedar masih melakukan amalan jahiliah disebabkan tidak mengenal konsep dan ciri jahiliah sebenarnya baik melalui al-Quran, hadis atau bahan sejarah.
Saidina Umar al-Khatab pernah menjelaskan: "Sesungguhnya ikatan Islam yang kukuh akan terungkai satu demi satu apabila di kalangan umat Islam tidak mengenal apa itu jahiliah."
Jahiliah bererti bodoh, sesat, biadap, dungu, tidak mengetahui, tidak berilmu, keliru atau melakukan sesuatu tanpa pengertian dan pengetahuan. Tanggapan umum pula, jahiliah ialah keadaan yang berlaku sebelum kedatangan Islam atau dikenali sebagai zaman pra-Islam.
Ini biasanya ditujukan kepada masyarakat Arab di Semenanjung Arab sebelum Rasulullah SAW diutuskan. Umumnya membatasi pengertian jahiliah pada gejala syirik atau paganisme (tanpa agama), primitif, krisis keruntuhan akhlak yang melanda masyarakat Arab pada ketika itu.
Menurut pendapat Muhammad al-Qutb dalam bukunya, Jahiliah Abad ke-20 menggambarkan konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, tetapi disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.
Sayyid Qutb pula dalam bukunya, Petunjuk Sepanjang Jalan menyebut: "Masyarakat jahiliah ialah masyarakat yang tidak tulis pengabdiannya kepada Allah. Ini bermaksud pengabdian yang menjelma dalam kepercayaan atau keyakinan dalam syiar, lambang, peribadatan dan dalam peraturan serta undang-undang."
Usaha memperjelaskan pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya, al-Quran menggambarkan beberapa ciri untuk menjadi panduan sifat dan ciri-ciri jahiliah itu.
Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu)." (Surah al-Fath, ayat 26)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendakkan lagi kepada hukum jahiliah? Padahal kepada orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah." (Surah al-Maidah, ayat 50)
Beberapa ciri jelas untuk mengkategorikan beberapa golongan dalam erti kata masih jahiliah iaitu:
Tidak mengikut hidayah Allah.
Alim ulama menyatakan dalam aspek ini, golongan itu terdiri daripada orang yang tidak beriman kepada Allah. Mereka sentiasa menyengutukan Allah dan seterusnya tidak melaksanakan syariat Islam. Keadaan ini seterusnya melahirkan manusia syirik, kufur, kafir serta orang tidak mempunyai pegangan hidup.
Hidup mengikut hawa nafsu.
Orang hidup di dunia berdasarkan hawa nafsu yang membawa keburukan tanpa kawalan. Golongan itu tidak mempunyai ciri keperibadian Muslim dalam kehidupannya sebagai hamba Allah. Allah sudah memberi peringatan yang tepat bagi golongan ini.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menetapkan hukum seperti diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu." (Surah al-Maidah, ayat 49)
Jika manusia mengikut kehendak nafsu, mereka terdorong melakukan perkara keji. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan akal fikiran semata-mata dan tidak berteraskan kebenaran. Ini sekali gus menjadikan manusia semakin jauh daripada hidayah Allah.
Adanya golongan pemusnah Islam.
Golongan itu sentiasa berusaha memusnah kesucian agama Islam melalui pelbagai cara sama ada secara fizikal, mental atau spiritual. Musuh Islam sentiasa berusaha menjatuhkan kekuatan umat Islam secara bersepadu. Jika umat Islam tidak mempunyai keimanan dan keyakinan kepada Allah sudah tentu terjerumus ke arah kebinasaan dan Islam musnah.
Justeru, orang Islam yang tidak menyedari diri mereka sudah diperguna dan diperalatkan golongan itu menjadi faktor terhadap keruntuhan Islam seluruhnya. Bagi orang yang jahil sudah tentu mereka tidak dapat membezakan dengan jelas perkara ini.
Gejala keruntuhan akhlak.
Memang tidak dapat disangkal lagi gejala keruntuhan akhlak dan moral adalah ciri orang jahiliah. Lantaran demikian, beberapa keadaan berlaku di sekeliling kita sedikit sebanyak memberikan `tempias' terhadap perkara itu.
Ternyata sekali kualiti masyarakat semakin merosot. Pelbagai gejala keruntuhan akhlak seperti pergaulan bebas, bohsia, dadah, rempit, zina, bohjan, pengkid, lepak, judi, hiburan yang mengasyikkan, arak, khalwat dan dadah melanda remaja mutakhir ini.
Berdasarkan faktor itu, ternyata ciri jahiliah sedang merebak dan meresap dalam diri umat Islam. Tindakan segera merangkumi aspek kesedaran dan pendidikan perlu dilaksanakan kerana kejahilan akan memberi kesan terhadap manusia.
Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism, krisis berlaku dalam masyarakat berpunca daripada tiga faktor iaitu kekeliruan dalam ilmu pengetahuan, kehilangan adab dan lahirnya pemimpin Islam yang tidak berkelayakan, tidak mempunyai nilai moral, intelektual dan kerohanian yang tinggi.
Oleh demikian, usaha kita untuk menyelesaikan pengaruh jahiliah perlu bersandarkan kepada maruah, sejarah serta identiti tersendiri kerana Al-Maududi menyarankan: "Masalah utama yang perlu diselesaikan ialah kedudukan dan status manusia di alam ini."
Penghapusan jahiliah di kalangan manusia daripada aspek pemikiran, pengalaman dan daya tindak adalah perlu. Ini juga memerlukan satu sistem pendidikan Islamik yang mampu menggarap manusia sebagai insan mempunyai rohani, fikiran, perasaan serta keseimbangan. Kesedaran semula umat Islam mestilah tepat bagi membentuk kesedaran menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik, sosial dan budaya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment