Tuesday, May 26, 2009

Perspektif Ikim: Sifat asabiyyah cetus perpecahan, lemahkan ummah

Perspektif Ikim: Sifat asabiyyah cetus perpecahan, lemahkan ummah

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Masyarakat wajar ambil iktibar daripada sejarah silam sewaktu keruntuhan kerajaan Islam

SARANAN supaya menjaga kepentingan kesatuan bagi menolak sifat taksub dan kebanggaan terhadap kaum serta bangsa bertujuan melarang persengketaan atau berpecah belah kerana bergerak sendirian tidak akan membawa sebarang manfaat.

Perkara itu dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai." – (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Pujangga Iqbal (1877 – 1938) pernah mengemukakan falsafah pembentukan ketakwaan diri setiap insan yang akhirnya dapat membentuk kesatuan antara mereka.

Katanya, setiap orang mengisi peribadinya dengan ketakwaan lalu setiap seorang daripada insan yang bertakwa itu meleburkan dirinya dalam diri (Zat) Yang Agung, iaitu Allah. Maka dengan demikian, setiap diri bergabung menjadi satu kerana kesatuan kepercayaan, malah matlamat kesatuan mereka juga sama. Di dunia mereka memperoleh kemenangan, sehingga dapat melaksanakan amanah serta kewajipan dipikul, iaitu sebagai khalifah Allah yang memakmurkan bumi dengan sebaiknya.

Dalam ayat itu juga, Allah menegaskan seterusnya bahawa Dia mengurniai hamba-Nya yang beriman, nikmat yang bermakna persaudaraan dan kesatuan antara mereka. Mereka dulu saling bermusuhan dan dengan nikmat Islam, hati mereka disatukan Allah.

Sesungguhnya kesatuan dan persaudaraan menghimpunkan segala kebaikan dan kesejahteraan, sebaliknya perpecahan, permusuhan dan kebencian menghancurkan kebaikan yang tercipta selain menyebabkan tenaga serta jiwa disia-siakan begitu saja.

Contoh terbaik dapat dilihat pada apa yang berlaku pada kabilah seperti 'Aus dan Khazraj yang sentiasa bersengketa dan berperang sesama sendiri. Kedua-dua kabilah itu pernah terbabit dalam peperangan yang berlarutan selama 120 tahun dan sedemikian banyak nyawa terkorban dengan sia-sia.

Namun, apabila datangnya Islam dibawa Nabi SAW segala bentuk persengketaan, kebencian, permusuhan dan perbalahan berjaya dipadamkan begitu saja. Mereka diajar Nabi SAW mengenai persaudaraan yang melewati batasan kaum, kabilah serta keluarga.

Demikian juga mereka dididik supaya saling kasih-mengasihi, bantu-membantu, kuat-menguatkan, mudah memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan, sentiasa rela berkorban dan mengutamakan kepentingan saudara mereka melebihi diri sendiri.

Persaudaraan atas dasar keimanan yang menjadi ikatan antara mereka itulah yang membolehkan mereka lahir sebagai masyarakat teladan sepanjang zaman. Mereka juga melakar kejayaan penting dan membantu usaha Nabi SAW membina masyarakat serta negara yang utuh seperti Madinah daripada segenap sudut; kemasyarakatan, siasah, pertahanan dan ketenteraan serta ekonomi.

Jelaslah asas utuh dan bermakna bagi perpaduan serta kesatuan yang mahu dibentuk hanyalah keimanan. Perpaduan atas dasar tauhid ini akan kekal bertahan selama-lamanya kerana ia dihubungkan secara langsung kepada Yang Maha Berkuasa.

Dengan itu juga kita dapat melihat bagaimana masyarakat sesebuah negara cuba disatukan atas asas lain selain keimanan, misalnya asabiyyah, akhirnya mengalami bibit-bibit perpecahan dan akhirnya runtuh sama sekali.

Barangkali kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa menimpa Bani Umayyah pada zaman kelemahan dan keruntuhannya, iaitu pada zaman pemerintahan al-Walid II bin Yazid (125 hijrah/743 masihi) hingga zaman Marwan II bin Muhammad (127-132 hijrah/744-50 masihi).

Selain memiliki keperibadian, akhlak dan kecenderungan yang buruk serta tidak menjalankan tugas pemerintahan dengan penuh tanggungjawab, al-Walid II bin Yazid, khalifah Bani Umayyah ke-11 misalnya juga mengamalkan dasar memihak kepada orang Arab lalu menimbulkan permusuhan serta perpecahan di kalangan rakyat.

Hakikatnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan kegemilangan dasar pemerintahannya cuba mewujudkan keamanan dan kestabilan serta menghapuskan dasar perkauman diamalkan sebelum baginda, antaranya dengan menggalakkan perkahwinan antara orang Arab dengan bukan Arab. Namun, keadaan kembali sebagaimana sebelumnya, apabila beliau meninggal dunia.

Khalifah Yazid III bin al-Walid yang memperlihat kecenderungan terhadap suku tertentu seperti Yaman dan khalifah sebelumnya pula berpihak kepada suku Qais (suku Yaman dan Qais adalah orang Arab yang berasal dari Syria).

Pada zaman pemerintahan Marwan II bin Muhammad, beliau kembali mengamalkan dasar memihak kepada suku Qais dan keadaan itu menimbulkan permusuhan lebih sengit antara suku Qais dengan suku Yaman.

Selain itu, Kerajaan Bani Umayyah pada zaman kejatuhannya juga terpaksa menghadapi siri pemberontakan, ancaman dan penentangan oleh pelbagai wilayah iaitu Syam, Jazirah, Iraq, Mesir, Yaman dan Khurasan.

Penduduk Khurasan membuat beberapa tuntutan kepada Kerajaan Bani Umayyah termasuklah kerajaan perlu mengamalkan ajaran Islam tanpa wujud diskriminasi antara Arab dengan bukan Arab dan kerajaan tidak wajar sama sekali menghalang pemaduan antara orang Arab dengan bukan Arab di Khurasan.

Di samping semua kelemahan dan dasar merugikan itu, kerajaan Bani Umayyah juga bertindak mewujudkan dasar membeza-bezakan golongan mawali (bukan Arab) dengan orang Arab, khususnya dalam bidang ketenteraan.

Tiada satu pun jawatan tinggi atau rendah diberikan kepada golongan mawali. Malah, semua tentera Arab didaftar dan dibayar gaji manakala golongan mawali hanya berkhidmat sebagai tentera infanteri dan tidak didaftar dalam diwan (Jabatan Tentera) dan tidak dibayar gaji.

Hari ini, kita masih lagi dapat melihat bagaimana sifat asabiyyah terhadap bangsa dan kaum menyelubungi umat Islam, khususnya di dunia Arab dan disebabkan sifat asabiyyah itulah persoalan kesatuan serta perpaduan kelihatan seolah-olah hanya tinggal sebagai impian kosong.

Amat menyedihkan juga, kerana sifat asabiyyah mendorong berlakunya pertelagahan dan perbalahan yang tidak sewajarnya, termasuk dalam keadaan genting seperti soal menghentikan penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam, misalnya di Palestin.

Bagi Malaysia sendiri, pengalaman dilalui masyarakat silam dan kini harus dijadikan panduan. Sememangnya kesatuan dan perpaduan penting bagi menjamin keamanan serta kestabilan. Namun harus disedari bahawa akar yang mengasaskan kesatuan itulah yang akan menentukan hala tuju serta kesudahannya, iaitu sama ada ia akan kekal berdiri dengan utuh atau hanya berupaya bertahan untuk tempoh waktu tertentu cuma.

Penulis ialah pegawai penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: