Friday, August 21, 2009

Teater jadi program dakwah di masjid

Teater jadi program dakwah di masjid

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

MASJID bukan saja tempat beribadat, tetapi selayaknya diangkat sebagai pusat komuniti Islam menjalankan aktiviti merapatkan ukhuwah seterusnya melahirkan umat bertamadun yang lebih terbuka.

Dewasa ini, banyak kegiatan masyarakat dibawa ke masjid sekali gus membuka minda semua pihak bahawa pusat ibadat itu sebenarnya berupaya menjadi tarikan utama kepada semua peringkat usia untuk mengunjunginya.

Skop ibadat juga harus dikembangkan, bukan sekadar solat, tetapi menganjurkan kegiatan untuk merapatkan ukhuwah serta menyuntik nilai ilmu juga ibadat yang tidak wajar diketepikan.

Justeru, apabila jawatankuasa Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, Selangor menganjurkan persembahan teater, sambutannya sangat menggalakkan dan antara strategi paling berkesan mengajak lebih ramai mengimarah masjid.

Lebih unik, pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan karya Dinsman itu diadakan selepas solat Isyak di ruang solat dan pasti menjadi antara pendekatan paling berani serta terbuka jemaah masjid itu untuk menerima seni sebagai dakwah.

Pementasan secara monolog oleh pelakon komedi, Sabri Yunus dibantu suara latar oleh penyanyi lagu puisi, Sani Sudin itu menceritakan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, mengenai orang yang tidak berperang bersama Rasulullah. Sabri yang membawa watak Abdullah Ka’ab Malik, sahabat Nabi SAW menceritakan pengalaman tidak menyertai perang Tabuk dan menjadi antara hadis terpanjang.

Hadis itu diakui sangat unik dan istimewa. Ka’ab Malik, penyair dan sahabat Nabi SAW menceritakan kocakan perasaan sama ada berterus terang atau menipu Rasulullah SAW sekali gus menjadikan perwatakan yang dibawa Sabri sangat dramatik dan teaterikal.

Satu lagi pendekatan berani dibawa Dinsman ialah kemunculan Sani yang bermain rebana sambil menyampaikan cerita itu.

Jemaah pada semua peringkat usia termasuk kanak-kanak khusyuk menonton persembahan 45 minit itu dan secara tidak langsung mempelajari hadis yang membawa kesan sangat mendalam terhadap jiwa setiap muslimin.

Idea menyampaikan dakwah melalui seni harus dijadikan kaedah dakwah lebih banyak masjid kerana mampu mentarbiahkan lebih ramai sasaran terutama masyarakat Melayu yang mudah menerima elemen seni.

Dinsman dalam risalah pementasan itu berkata: “Saya melihat usaha ini seperti ustaz mengajar hadis, cuma cara mengajarnya saja berbeza. Namun, yang dipersembahkan itu tetap hadis dan daripada hadis yang panjang ini, pelbagai ilmu dan pengajaran boleh diambil penonton.”

Khalayak melihat lebih terperinci proses dialami seseorang yang bertaubat bersungguh-sungguh dengan penuh penyesalan dan berserah diri kepada Allah.

Terkesan juga di hati penonton betapa hubungan amat dekat Rasulullah dan Allah tatkala Baginda boleh menyerahkan hukuman ke atas sesuatu perkara secara langsung sehingga Allah menjawab kepada permasalahan Ka’ab melalui wahyu.

Pengarah program itu, Zulkifli Mohamad, berkata masyarakat sentiasa mencari hiburan alternatif untuk diterjemahkan sebagai mesej berguna dan dengan persembahan seperti ini, mereka lebih terbuka minda melihat seni sebagai wadah dakwah.

“Ia membuktikan Islam tidak mengongkong hiburan dengan membenarkan ia dilakukan di masjid. Ia anjakan paradigma bahawa seni antara cabang dakwah,” katanya.

Turut menjadikan majlis pada malam itu lebih meriah ialah kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Dr A Samad Said yang mendeklamasikan dua sajak, Orang Tua Dari Sejarah tulisannya pada 2002 dan karya pada 1999 berjudul Setinggan Ramadan.

No comments: