Kuiz Jejak Rasul 15 TV3 sedia hadiah menarik
DOKUMENTARI Jejak Rasul musim ke-15 terbitan TV3 yang kembali menemui penonton esok bukan saja tampil lebih menarik dan segar, malah memberi peluang kepada pembaca Berita Harian dan penonton TV3 untuk memenangi hadiah menarik menerusi Kuiz Jejak Rasul 15.
Hadiah utama pakej umrah bernilai RM6,000 serta beberapa hadiah iringan, hadiah kedua adalah televisyen LCD, penyaman udara dan hadiah iringan, manakala pemenang ketiga membawa pulang televisyen LCD, sistem home theatre dan hadiah iringan.
Penganjur turut menyediakan 17 hadiah sagu hati berupa telefon azan, pen Quran, al-Quran digital dan lampu Quran.
Penerbit Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Noor Sulaiman, berkata soalan kuiz berdasarkan program Jejak Rasul 15 bertemakan Sirah Anbiya yang disiarkan setengah jam bermula jam 6 petang setiap hari sehingga episod akhir pada 19 September.
Borang penyertaan boleh didapati di halaman agama Berita Harian dan Berita Minggu yang disiarkan setiap hari dan hanya borang asal diterima.
Dokumentari sejarah berkonsepkan travelogue itu mirip Jejak Rasul pertama, tetapi kali ini dijanjikan dengan segmen lebih menarik dan segar.
Jejak Rasul 15 mengupas sejarah nabi dan rasul, juga kisah penuh pengajaran seperti disebut al-Quran dengan paparan warna sari hidup masyarakat tempatan, merangkumi latar sejarah, budaya serta bahasa.
Siri 29 episod itu disokong fakta dan kajian ilmiah meliputi tujuh negara mengambil masa 100 hari penggambaran meliputi Jordan, Palestin, Syria, Turki, Arab Saudi, Mesir dan Yaman membabitkan enam krew diketuai penerbit program, Muhd Amin Yusof, manakala Ahmad Noor selaku pengacara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment