Friday, August 28, 2009

Tabung Haji pastikan jemaah Malaysia bebas H1N1

Tabung Haji pastikan jemaah Malaysia bebas H1N1

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my

JEMAAH haji Malaysia akan menjalani peperiksaan kesihatan lebih teliti bagi memastikan mereka bebas jangkitan Influenza A (H1N1) sebelum dibenarkan menjalani ibadat haji tahun ini.

Langkah berkenaan diambil berikutan tindakan kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan visa kepada jemaah jika gagal mengemukakan sijil kesihatan yang dikeluarkan negara masing-masing menunjukkan mereka bebas penyakit kronik.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pasukan perubatan Tabung Haji diminta membuat pemeriksaan terbaik tahap kesihatan jemaah dan memastikan mereka bebas penyakit kronik dan H1N1.

Bagaimanapun, katanya Malaysia tidak bimbang dengan peraturan baru itu kerana kerajaan Arab Saudi sedia maklum dan memuji pelaksanaan ibadat haji membabitkan pengurusan, pentadbiran dan pengawasan kesihatan jemaah Malaysia yang diuruskan Tabung Haji.

“Malaysia sudah lama mematuhi peraturan (menjaga kesihatan jemaah) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Tabung Haji dengan setiap jemaah haji dan umrah disuntik serta disahkan dalam buku khas kesihatan. Sijil kesihatan tidak menjadi masalah kerana kita sudah ada.

“Mungkin peraturan tambahan itu untuk menghindari jangkitan H1N1 bagi menjaga jemaah negara lain,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Agensi AP dilaporkan menyebut jemaah haji dan umrah tahun ini disyaratkan memiliki sijil kesihatan mengesahkan mereka bebas penyakit kronik sebagai usaha Arab Saudi menangani jangkitan selesema babi.

Arab Saudi juga melarang orang dewasa berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak bawah 12 tahun, selain mensyaratkan jemaah menunjukkan bukti disuntik vaksin selesema di negara masing-masing.

Jamil berkata, Malaysia memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan jemaah sehingga mereka berangkat ke tanah Suci untuk menunaikan haji atau umrah.

Katanya, Tabung Haji juga menyediakan pasukan perubatan dengan membuka bilik operasi di Makkah dan Madinah setiap tahun sepanjang musim haji untuk memberi rawatan kesihatan kepada jemaah Malaysia.

“Tetapi, saya hendak ingatkan bakal haji yang akan ke Tanah Suci tahun ini supaya menjaga kesihatan. Saya juga bimbang kalau ada rombongan jemaah sakit (dijangkiti H1N1), dia boleh memberi kesan kepada jemaah lain dan tak dapat menunaikan haji

“Apapun kita berdoa kepada Allah supaya semua jemaah haji kita berada dalam keadaan sihat apabila berangkat ke Tanah Suci nanti,” katanya.

No comments: