Friday, August 28, 2009

Masjid Wilayah anjur diskusi ilmu fekah, hadis

Masjid Wilayah anjur diskusi ilmu fekah, hadis

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

MASJID bukan saja pusat ibadat, tetapi boleh menjadi institusi ilmu kepada umat Islam menceduk sebanyak mungkin kefahaman pelbagai perkara. Oleh itu, Masjid Wilayah, Kuala Lumpur menganjurkan aktiviti ilmu yang dikendalikan mereka yang arif.

Baru-baru ini, jawatankuasa masjid itu menganjurkan dua kelas diskusi iaitu ‘Pemantapan Ilmu Fekah Menerusi Kitab Kifayatul Akhyar’ yang disampaikan Datin Nik Ismah Nik Abdul Rahman serta ‘Pemantapan Ilmu Hadis Menerusi Kitab Sulubussalam’ yang dikendalikan Profesor Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa.

Kedua-dua kelas diadakan di Dewan Seminar Masjid Wilayah itu dijalankan pada hari sama iaitu ilmu fekah pada pagi dan pada petangnya kelas hadis. Dalam kelas fekah, peserta menyentuh topik bersuci termasuk memperincikan hukum mencuci najis.

Pada petangnya dalam kelas hadis, mereka berbincang pengajaran khutbah bertajuk ‘Keistimewaan Ramadan’ antaranya memetik hadis riwayat Abu Hurairah iaitu bersabda Rasulullah bermaksud: “Apabila tiba Ramadan, dibuka pintu syurga serta ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.”

Turut dibacakan beberapa hadis menceritakan kelebihan Ramadan yang tiba selepas dua bulan yang tak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Syaaban.

No comments: