Thursday, August 20, 2009

PPZ ambil pendekatan berhikmah galak korporat tunai zakat

PPZ ambil pendekatan berhikmah galak korporat tunai zakat
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my

PUSAT Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu menyusun strategi dan pelan tindakan sesuai untuk mendekati badan korporat supaya jumlah kutipan zakat ditingkatkan setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom, berkata langkah itu perlu memandangkan hanya 16 daripada 60 institusi kewangan yang berpotensi membayar zakat perniagaan menunaikan tanggungjawab itu, sekali gus menjejaskan program membantu golongan asnaf di negara ini.

Katanya, 60 institusi itu membabitkan 22 bank perdagangan, 17 institusi perbankan Islam, 15 bank pelaburan dan enam institusi pembangunan kewangan.

"Hasil kutipan zakat berkenaan membolehkan lebih banyak program membantu golongan asnaf dilaksanakan dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

"PPZ perlu menggunakan pendekatan berhikmah mendekati badan korporat, syarikat swasta dan institusi kewangan supaya sasaran kutipan zakat perniagaan terus meningkat setiap tahun," katanya pada majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Agihan sempena Bulan Zakat Peringkat Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi PPZ, Datuk Mustafa Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Dr Sohaimi Mohd Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Pada majlis itu, Jamil Khir menerima zakat perniagaan daripada lapan institusi perniagaan membabitkan tiga institusi kewangan, tiga koperasi dan dua syarikat perniagaan yang keseluruhannya berjumlah RM2.32 juta.

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) paling banyak membayar zakat perniagaan bagi 2008 berjumlah RM1.7 juta diikuti Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (RM190,120.75); Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (RM167,853); Bank Simpanan Nasional (RM100,000); Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd (RM87,835); Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (RM44,649.60); Kinetic Chemical (M) Sdn Bhd (RM25,000) dan Perbadanan Nasional Berhad (RM10,000).

Pada majlis itu juga, Baitulmal MAIWP menyampaikan bantuan zakat RM27.9 juta bagi program bantuan pelajaran, perniagaan, perubatan dan kebajikan untuk sepanjang tahun ini kepada beberapa institusi, termasuk rumah anak yatim.

Antaranya bantuan bulanan kepada 7,035 keluarga asnaf berjumlah RM25.1 juta untuk tempoh setahun yang disalurkan menerusi BSN, bantuan peralatan persekolahan untuk 2,000 pelajar (RM1.03 juta); bantuan rawatan haemodialisis kepada 32 pesakit (RM900,000) dan bantuan sewa rumah kepada 3,623 keluarga miskin yang disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (RM440,099).

PPZ-MAIWP juga dianugerahkan sijil Malaysia Book of Records sebagai institusi zakat pertama di negara ini yang menerbitkan mini album cakera padat yang mengandungi lagu, syair dan bacaan ayat suci al-Quran sebagai kaedah dakwah berkaitan tanggungjawab membayar zakat.

No comments: