Tuesday, August 25, 2009

Malaysia tawar pengajian untuk pelajar miskin negara jiran

Malaysia tawar pengajian untuk pelajar miskin negara jiran

MALAYSIA bersedia menawarkan peluang melanjutkan pengajian kepada pelajar Islam kurang mampu dari Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura di Institut Kemahiran Baitulmal, Institut Profesional Baitulmal, Institut Kemahiran Islam Sarawak (Ikmas) dan Darul Quran di Kuala Kubu Baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata penawaran tempat belajar untuk melahirkan insan cemerlang itu adalah antara enam persetujuan yang dicapai pada mesyuarat khas Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims).

Katanya, Mabims juga bersetuju mewujudkan pejabat maya di semua negara anggota untuk memudah dan mempercepatkan perbincangan berkaitan gerak kerja bersama bagi mengukuhkan kekuatan ummah.

"Kita juga bersetuju menjadikan program Muzakarah Ulama Mabims sebagai acara tahunan yang diadakan bersama mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Mabims dan tahun depan Brunei Darussalam menjadi tuan rumah manakala Projek Bas Belia Mabims pula untuk mendedahkan belia Islam dari negara anggota mengenai program pembangunan belia Islam di Malaysia dan Singapura.

"Mabims juga menubuhkan Majma Kewangan Islam Nusantara (Makin) untuk menilai dan melaksana program perlu bagi pembangunan ekonomi mengikut konsep Islam di setiap negara anggota dengan Akademi Antarabangsa Kajian Kewangan Islam dan Syariah (ISRA) sebagai sekretariatnya untuk tempoh tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

No comments: