Tuesday, August 25, 2009

Fahaman Syiah, Islam liberal gugat akidah

Fahaman Syiah, Islam liberal gugat akidah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Wahhabiyah tak sesuai diamal kerana dikhuatiri boleh pecah belah ummah

FELO Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady mendedahkan sejak kebelakangan ini aliran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman Syiah dan Islam liberal mula menyerang negara menyebabkan sebahagian masyarakat terpengaruh.

Beliau yang menjadi ahli panel pada Wacana Ilmu bertajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran akhbar Berita Harian dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini melahirkan kebimbangan masyarakat dan negara akan berdepan pelbagai masalah jika perkara itu tidak didedahkan.

"Ramai yang mempertikaikan kita menggunakan kitab lama, kononnya tidak moden yang lebih menggerakkan masyarakat kepada aliran Islam liberal. Kita bimbang jika masyarakat tidak didedahkan dengan fahaman betul mengenai Ahli Sunnah yang menjadi pegangan Majlis Agama Negeri dan Fatwa Kebangsaan, kita akan berdepan pelbagai masalah termasuk boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Sejauh mana fahaman Syiah, aliran Wahabi dan Islam liberal mempengaruhi pemikiran umat Islam, Pengarah Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin berkata, sukar menafikan wujud segelintir umat Islam negara ini dipengaruhi unsur bertentangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan mazhab Syafi'ie.

Beliau berkata, setakat ini Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) serta pihak keselamatan melalui peruntukan undang-undang dan dasar kerajaan berjaya membendung penularan fahaman berkenaan.

"Pelbagai tindakan pencegahan dilakukan Jakim dan Jain bagi mengelakkan fahaman itu menjadi serius sama ada melalui fatwa dikeluarkan, majlis penerangan di pelbagai peringkat masyarakat dan tindakan undang-undang terhadap penganut fahaman berkenaan," katanya.

Beliau berkata, fahaman Syiah dan Islam liberal bahaya terhadap umat Islam kerana alasan yang berbeza.

Syiah diharamkan di negara ini melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 berdasarkan percanggahan dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 3 Mei 1996 membuat keputusan menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Memperakukan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Antara penyelewengan yang dikenal pasti dalam ajaran Syiah ialah imam adalah maksum, khalifah diwasiatkan secara nas, menolak ijmak ulama, menolak qiyas dan mengamalkan nikah mutaah.

Sementara fahaman Wahhabiyah pula tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Itu adalah hasil daripada perbincangan beberapa kali pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Semua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan itu tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat.

Razali berkata, mengenai Islam liberal pula setakat ini tidak wujud mana-mana individu atau organisasi di Malaysia yang menubuhkan apa-apa kumpulan atas nama Islam liberal seperti berlaku di Indonesia.

Bagaimanapun katanya, wujud fenomena liberal dalam kalangan organisasi dan individu tertentu yang sentiasa dipantau serta dikaji oleh pihak berkuasa agama.

Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-74 pada 25- 27 Julai 2006 membincangkan "Aliran Pemikiran Islam Liberal" dan memutuskan aliran itu adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

"Antara kesesatan pemikiran itu ialah berpegang kepada konsep pluralisme agama, meragui ketulenan al-Quran, menggesa tafsiran baru konsep ibadat, mempertikaikan kredibiliti Nabi SAW dan mempertikaikan hukum-hakam yang muktamad," katanya.

Beliau berkata, ajaran sesat dan sebarang ajaran baru menyalahi tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini yang berpegang kepada akidah Asya'irah-Maturidiyyah dan fiqh Syafi'ie, sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam.

Katanya, penyebaran ajaran sesat akan menggugat akidah serta syariah Islam sementara aliran seperti Wahhabiyyah boleh menimbulkan kekeliruan dan berakhir dengan krisis perpaduan jika tidak dibendung dan ditangani.

Berdasarkan rencana Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah di laman web Jakim bertarikh 19 Disember 2006, pada prinsipnya fahaman Wahabi membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini sejak berkurun lama berakar umbi dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Orang awam yang kurang mahir selok belok mazhab lebih baik bertaklid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru mengenai akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang dikemukakan Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan Ibnu Taimiyyah sendiri.

Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakkan kerana kesan globalisasi ilmu di dunia hari ini.

No comments: