Bersama Abdurrahman Haqqi
MEMPELAJARI dan memahami maksud 99 nama serta sifat Allah mampu tingkat takwa ummah. - Gambar Hiasan |
Umat Islam perlu berikhtiar, berakhlak mulia berpandukan sifat dan nama-Nya yang agung
NASYID al-Asma al-Husna yang sering bergema di telinga kita adalah motivasi rohani yang siap menghancurluluhkan hati supaya sentiasa ingatkan Ilahi, Sang Pencipta. Dalam nasyid itu ada permohonan yang tidak akan ditolak Allah SWT. Nas'aluka ya man huwallahu.
Al-asma al-husna adalah gabungan dua kata bahasa Arab al-asma dan al-husna.
Al-asma jamak ism ertinya nama, manakala al-husna adalah ialah nama yang berasal daripada al-hasan, baik atau indah. Jadi al-asma al-husna adalah nama baik atau indah.
Allah berfirman maksudnya: "Hanya milik Allah al-asma al-husna , maka bermohon kepada-Nya dengan menyebut nama itu." (Surah al-A'raf: 180
Dalam ayat ini tersirat apabila kita benar-benar mengenal dan memahami nama dan sifat Allah SWT serta berupaya menjadikannya sebagai sumber landasan hidup, maka dengan sendirinya keimanan kita tetap terjaga.
Al-asma al-husna ialah sifat Allah SWT yang sempurna. Dalam hadis Abu Hurairah, ia berjumlah 99 nama iaitu 100 kurang satu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)
Daripada sudut bahasa hadisnya, sebahagian ulama berpendapat ia bukan penetapan nama Allah hanya 99 nama (takhshir), tetapi penerangan atau ikhbar kerana jika kita perhatikan nama dan sifat- Allah SWT, ia melampaui angka 99.
Al-Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya yang menjelaskan al-Asma al-Husna bertajuk Kitab al-Asna fi Syarh al-Asma al-Husna, menghimpun lebih 200 nama dan sifat. Imam Tabtabai dalam tafsir al-Mizan mengumpulkan lebih 127 nama dan sifat. Ibn Barjam al-Andalusi menghimpunkan 132 nama dan sifat. Bahkan Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyebutkan ada yang sudah mengumpulkan sampai 1000 nama dan sifat.
Sebenarnya, jumlah nama dan sifat Allah SWT yang kita baca dan dengar 99 itu hasil ijtihad ulama kerana dalam hadis Abu Hurairah tidak ditentukan secara nyata nama-Nya dan juga tidak ada perinciannya.
Pada akhir abad kedua hingga awal abad ketiga Hijrah, tiga periwayat hadis berijtihad dalam mengungkap 99 nama dan sifat itu. Mereka ialah al-Walid Muslim, Abdul Malik al-Shan'ani dan Abdul Aziz Hashim.
Mereka memerhati -ayat al-Quran, sunah Nabi dan pendapat ulama yang hidup pada zaman itu, akhirnya mengumpulkan 99 nama dan sifat. Daripada hasil usaha tiga periwayat hadis ini, susunan dan kumpulan 99 al-asma al-husna al-Walid Muslim (195H) paling terkenal seperti yang banyak ditemui hari ini yakni bermula daripada ar-Rahman disudahi al-Sabur.
Untuk mengetahui nama dan sifat Allah SWT, ulama menetapkan syarat seperti disebutkan Ibn Utsaimin dalam kitab al-Jami' li Asma Allah al-Husna.
Antara syarat itu, ar-Ridwani menjelaskan, nama berkenaan mesti mempunyai landasan nas al-Quran atau hadis sahih; ia boleh dibuktikan secara ilmiah serta sesuai dengan kaedah bahasa Arab; ia menggunakan isim mutlaq yang tidak disandarkan dengan kata lain; ia mesti mengandungi nama dan sifat yang sempurna; dan nama itu harus menunjukkan sifat Allah.
Dalam buku Asma'ul Husna for Success in Business & Life karangan Dr Muhammad Syafi'i Antonio (2009), seorang Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) menulis: "Bahawa karakter atau sifat yang kita sukai bersifat universal. Rata-rata umat manusia menyukai sifat baik dan benci dengan sifat buruk. Bahkan orang yang bersifat buruk pun sebenarnya tidak suka dengan sifat mereka, ternyata ada hubungan antara sifat baik dengan keberhasilan seseorang dan sifat buruk dengan kegagalan. Mereka yang berjaya lazimnya adalah orang yang mempunyai integriti, pekerja rajin, pantang menyerah, suka belajar, kreatif dan sifat baik lain. Sebaliknya, orang gagal biasanya mempunyai sifat pemalas, takut gagal, miskin ilmu, pemarah, kasar dan seterunya. (halaman 6)
Kesukaan dan kebencian manusia terhadap sifat tertentu di atas adalah kesepakatan sejagat.
Agustian (2007) menyatakan kesepakatan itu berasal daripada suara hati manusia yang pada dasarnya juga bersifat universal.
Dengan catatan manusia sudah bebas daripada belenggu fikiran. Hati dan fikiran yang jernih akan mampu mengenal pasti sifat mulia. Seperti ada daya tarikan, seseorang menyukai sifat baik berkenaan tanpa mampu menjelaskan mengapa atau alasan menyukainya.
Mengapa orang sukakan sifat yang baik? Mengapa pula tidak menyukai perbuatan buruk? Jawapan bagi pertanyaan ini dapat diberikan melalui pendekatan spiritual atau kerohanian.
Suara hati atau hati nurani adalah pancaran daripada sifat Ilahi yang sudah dipasang ke dalam tubuh manusia.
Sumbernya satu iaitu Allah SWT kerana itu, sifat berkenaan mempunyai ikatan yang erat. Seperti ada daya graviti, kita selalu tertarik dengan sifat terbaik yang dimiliki individu. Hal ini terjadi kerana sifat terbaik sebenarnya juga ada dalam diri kita.
Jauh sebelum teori moden mengungkap sifat baik bagi kejayaan seseorang, Allah SWT menerangkan dalam diri manusia ada sifat berkenaan yang dihembuskan-Nyadan bagi memahami sifat itu, Allah SWT memperkenalkan menerusi sifat yang dimiliki-Nya.
Semua sifat itu terungkap dalam al-Quran. Sifat inilah yang disebut al-asma al-husna atau nama baik atau indah. Kalangan ulama menyusun sifat berkenaan dalam pelbagai versi dan paling popular adalah 99 nama atau sifat Allah SWT itu.
Mengimani nama Allah SWT antara tiang keimanan kepada-Nya yang mencakupi keimanan ada Allah SWT; keimanan dengan rububiyyah; keimanan dengan uluhiyyah dan keimanan terhadap nama dan sifat Ilahi.
Dalam Islam, amalan mengetahui, memahami dan meyakini nama serta sifat Allah SWT memang berada pada kedudukan sangat tinggi. Seseorang tidak mungkin menyembah Allah SWT dengan sempurna sehingga dia mengetahui dan yakin dengan nama dan sifat-Nya. Berlandaskan pengetahuan dan keyakinan terhadap nama dan -sifat-Nya itulah, seseorang dapat menyertakan mata hatinya saat menyembah kepada Allah SWT.
Meyakini al-asma al-husna termasuk sebahagian daripada tauhid. Oleh itu, bagi memahami nama dan sifat-Nya harus menurut yang sesuai bagi Allah SWT tanpa tahrif (merubah lafaz dan menyelewengkan makna sebenar); tanpa taktil (pengingkaran seluruh atau sebahagian sifat dan zat Allah SWT); tanpa takyif (menanyakan bagaimana kewujudan fizikal Allah SWT) dan tanpa tamtsil (menyamakan Allah SWT dengan makhluk-Nya).
Pada hakikatnya, al-asma al-husna adalah milik Allah SWT semata-mata. Kita sebagai makhluk, hanya diperintah untuk berikhtiar dan berakhlak mulia berpandukan sifat dan nama-Nya yang agung. Apa pun ikhtiar kita pasti ada kekurangan. Segala usaha kita pasti banyak kesalahan. Namun, berdiam diri tanpa ikhtiar, jauh lebih silap lagi. Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment