Persoalan Agama: Wajib kaffarah jika melanggar sumpah
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
Islam larang perbuatan bawa keburukan serta berusaha yakinkan orang lain dengan niat menipu
Apakah benar niat seseorang yang bersumpah itu boleh menjadi kenyataan jika dia melanggar sumpah berkenaan? Contohnya dia berkata: "Ini sumpah aku dengan Allah. Kalau aku melanggarnya, aku tidak akan bau syurga." Apakah ada cara baginya untuk membatalkan sumpah itu dan adakah dia perlu bertaubat.
Insan Bingung
Kelantan
Sumpah ataupun dalam bahasa Arab disebut al-yamin dan kata jamaknya ialah al-Aiman. Allah SWT berfirman dalam ayat ke- 224 surah al-Baqarah, maksudnya: "(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah SWT dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah SWT sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui".
Dari sudut syarak, sumpah bererti menguatkan sesuatu dengan menyebut nama ataupun sifat Allah SWT. Cuma bezanya sumpah berbanding keazaman adalah sumpah mengandungi syarat-syarat yang wajib dipenuhi. Antara syarat sahnya sumpah adalah dengan menyebut salah satu nama Allah SWT ataupun salah satu dari sifat-sifat-Nya. Ini berdasarkan sebuah hadis diriwayatkan Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT melarang kalian bersumpah dengan dengan nama ayah kalian, barang siapa bersumpah hendaklah dengan nama Allah SWT ataupun berdiam. (Muttafaq alaih )
Seseorang yang bersumpah dengan menggunakan nama yang lain selain Allah SWT, maka dia sudah melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT Sabda Nabi SAW maksudnya: "Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah SWT, maka dia sudah melakukan perbuatan kufur ataupun syirik kepada-Nya." Riwayat al-Bukhari no 6204, al-Tirmizi no 1574 ).
Dalam ayat ke-94 surah al-Nahl, Allah SWT memberikan amaran terhadap perbuatan sumpah yang tidak mendatangkan kebaikan. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan berasakan balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak)."
Ibn Jarir mentafsirkan ayat ini dengan berkata: Makna dari ayat ini ialah janganlah seseorang menjadikan sumpahnya yang diucapkan sebagai penipuan untuk memenuhi janji kepada seseorang yang sudah dijanjikan supaya mereka mempercayai kalian padahal kalian sudah menipu mereka sebenarnya. (Tafsir Ibn Jarir, tafsir ayat ke-94 surah al-Nahl ).
Sumpah jenis ini dikenali dengan nama al-yamin al-ghamus kerana ia menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka. Hukum sumpah jenis ini yang membabitkan pengambilan hak orang secara zalim ataupun penipuan untuk melegakan sesuatu pihak adalah haram, kerana ia termasuk dalam bentuk satu pengkhianatan.
Namun, dalam kes ditanya, saya melihat satu keazaman oleh saudara untuk melakukan sesuatu perkara sama ada ia adalah ibadat fardu ataupun yang sunat. Sekiranya ia adalah fardu, maka tiada sumpah dalam perkara yang wajib, manakala apabila ia bersumpah melakukan yang sunat, maka hukumnya bertukar menjadi wajib.
Apabila saudara meninggalkan perkara sunat yang sudah saudara bersumpah melakukannya, maka saudara diwajibkan melakukan kaffarah sumpah iaitu pembatalan sumpah yang membabitkan salah satu ketetapan ini:
1. Memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan yang biasanya diberikan kepada keluarga, atau;
2. Memberi kepada mereka pakaian, atau;
3. Membebaskan seorang hamba, atau ;
4. Sekiranya dia tidak mampu maka wajib ke atasnya berpuasa selama tiga hari.
Dalam keadaan ini, seseorang itu tidak dibenarkan menebus dengan berpuasa selagi dia mampu mengerjakan salah satu ketetapan di atas.
Ini berpandukan kepada firman Allah SWT dalam ayat ke-89 surah al-Maidah: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu".
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur. Wallahu a'lam.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment