Thursday, July 9, 2009

Mengambil iktibar daripada pengembaraan

Mengambil iktibar daripada pengembaraan

KATAKANLAH (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul itu). (al-An'am: 11)

HURAIAN

Penjelajahan dan pengembaraan di muka bumi dengan tujuan meninjau, memerhati, merenungi dan mengambil iktibar dengan tujuan mengenal sunnatullah yang terlukis di dalam peristiwa-peristiwa dengan kesan-kesan sejarah yang nyata dan terpampang di tempatnya amat dituntut.

Pengembaraan dan kebenaran yang disaksikan sendiri oleh mata melihat kesan-kesan sejarah ini akan lebih memberi kesedaran dan keinsafan kepada umat Islam.

Umat Islam akan lebih berhati-hati agar peristiwa dan bala bencana yang menimpa umat-umat nabi terdahulu tidak mengenai mereka.

Penjelajahan dan pengembaraan pada masa kini juga perlulah mengikut satu metodologi yang baru yang bertujuan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan menjadikannya sebagai satu didikan kepada umat Islam. Program tersebut akan membantu membawa dan memimpin umat Islam dari keadaan jahiliah ke mercu kejayaan.

KESIMPULAN

Umat Islam digalakkan mengembara dan menjelajah di seluruh pelosok muka bumi Allah ini untuk melihat kesan-kesan sejarah balasan terhadap umat-umat nabi dahulu kala yang mendustakan rasul-rasul mereka dan mengambil pelajaran daripadanya.

Selain itu, program pengembaraan dan penjelajahan ini akan membawa umat Islam ke mercu kejayaan sekiranya mereka melaksanakannya berdasarkan landasan yang betul iaitu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

No comments: